E-mail: KimPutra.94@gmail.com

MELAYU SRIVIJAYA: Keagungan Sebuah Survival



SRIVIJAYA: Keagungan Melayu, Survival dan Undangan Islam ke Nusantara.


Srivijaya merupakan sebuah Empayar Melayu Purba yang wujud ratusan tahun lampau di Sumatera. Srivijaya dikenali dengan berbagai nama seperti Sanfotsi atau San Fo Qi oleh orang Cina, Yavadeh (Pali), Zabaq (Arab) dan Melayu (Khmer).

Srivijaya dipercayai diasaskan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa, seperti yang tercatat dalam Prasasti Kedukan Bukit bertarikh 605 saka (683 Masihi) bersama 20,000 angkatan tentera dari Minanga Tamwan ke Metayap.

Walaupun masih terdapat perdebatan, sejarawan umumnya meyakini bahawa Sri Jayanasa berasal dari Tanah Melayu dan Minanga Tamwan juga terletak di Tanah Melayu.

*(Atas persepakatan tersebut, membuktikan bahawa Parameswara bukanlah pelarian politik, sebaliknya pemerintah yang meninggalkan ibu kotanya ke kawasan taklukan yang lain, seperti Sultan Mahmud Shah yang meninggalkan Kota Melaka dan berundur ke Johor dan Kampar yang masih di bawa kuasa baginda)

Srivijaya merupakan empayar besar yang menguasai Sumatera, Tanah Melayu membawa ke Champa.

Srivijaya berkembang sebagai kuasa maritim yang menguasai perdagangan di Selat Melaka dan Selat Sunda.

Pusat bandar utama Srivijaya ialah Palembang, Muara Jambi, Kedah dan Chaiya.

Ketika era kegemilangannya, Srivijaya merangkumi 15 negeri iaitu
1) Chou-Ju-Kua; Pong-fong (Pahang)
2) Tong-ya-nung (Terengganu)
3) Ling-ya-si-kia (Langkasuka)
4) Kilan-tan (Kelantan)
5) Fo-lo-an (Dungun)
6) Ji-lo-t'ing (Cherating)
7) Ts'ien-mai (Semawe,Semenanjung)
8) Pa-t'a (Sungai Paka, Utara Semenanjung)
9) Ta-ma-ling (Tambralinga/Ligor/Nakhon Sri Thammarat)
9) Kia-lo-hi (Krabi)
10) Pa-lin-fong (Palembang)
11) Sin-t'o (Sunda)
12) Lan-wu-li (Lamuri di Aceh)
13) Kien-pi (Jambi)
14) Si-lan (Kemboja).

Pengaruh Srivijaya meluas sehingga berlaku penghijrahan masyarakat Melayu ke Madagascar, Borneo dan Filipina (Sulu dan Visayas).
Pada kurun ke-10, Kerajaan Tondo yang berada di bawah pengaruh Srivijaya ditubuhkan di Manila.

Candi Borobodor dan Universiti Nalanda yang merupakan pusat pengajian agama Buddha dibina ketika kegemilangan Empayar Srivijaya.

Kejatuhan Srivijaya bermula akibat serangan Rajendra Chola I pada 1025 yang menyebabkan ibu kota Srivijaya di Kadaram (Kedah) ditawan dan Maharaja Sri Sangrama Vijayatunggavarman ditawan.

Kekuasaan Srivijaya mulai melemah apabila banyak negeri taklukannya ditawan dan membebaskan diri lalu membentuk kekuasaan politik baru seperti Kediri dan Singhasari.

Menjelang tahun 1292, Kerajaan Srivijaya jatuh sepenuhnya dan menggugah tradisi pemerintahan Istana Melayu. Namun, pada 1324 seorang putera warisan Srivijaya bernama Sang Nila Utama telah mendirikan Kerajaan Temasek/ Singapura Lama.

Serangan Siam antara tahun 1330-1334 memaksa pewaris Sang Nila Utama, iaitu Parameswara untuk mengundur diri dan mengasaskan Kesultanan Melayu Melaka.
Kesultanan Melayu Melaka tumbang setelah diserang oleh Portugis dari Barat dan mewariskan:

1) Kesultanan Johor
1528-kini: Bermula dari Sultan Alaudin Riayat Shah Ibni Sultan Mahmud Shah Melaka, namun Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Ibrahim Shah merupakan Sultan terakhir dari keturunan Diraja Melaka yang mangkat pada 1699 tanpa waris.
Takhta diwarisi oleh Wangsa Bendahara bermula dengan Sultan Abdul Jalil IV dan berakhir denga Sultan Ali pada 1877.
Seterusya takhta Johor dipegang oleh Wangsa Temenggung bermula pemerintahan Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim Ibni Temenggung Abdul Rahman.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar merupakan Sultan Johor ke-25 dan Sultan ke-5 dari Wangsa Temenggung bermula tahun 2010.

Sultan Ibrahim  Johor

2) Kesultanan Perak
1528-kini: Bermula dengan Sultan Mudzaffar Shah Ibni Sultan Mahmud Shah Melaka sebagai Sultan Pertama. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Ghafarullahulah Shah merupakan Sultan Perak ke-34 yang bermula 3 Februari 1984.



Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Perak
3) Kesultanan Pahang
1470-kini: Bermula dengan Sultan Muhammad Shah Ibni Sultan Mansur Shah Melaka sebagai Sultan Pertama, namun pemerintahan langsungdari keturunan Diraja Melaka secara faktanya tamat pada tahun 1617 apabila Sultan Ahmad Shah Ibni Sultan Abdul Kadir Alaudin Shah ditawan oleh Sultan Iskandar Muda dari Aceh.
Pahang kemudiannya diletakkan dibawah pemerintahan Sultan Johor sehingga tahun 1699. Bermula tahun 1688, Wangsa Bendahara telahpun menguasai pemerintahan Negeri Pahang oleh Tun Habib Abdul Majid Bin Sayyid Zainal Abidin Bin Sayyid Abdullah Al-Idrus sehinggalah perlantikan Tun Abdul Jalil Bin Tun Habib Abdul Majid sebagai Sultan Johor pada 1699.
Pada tahun 1882, Bendahara Wan Ahmad secara rasmi ditabalkan sebagai Sultan Pahang Wangsa Bendahara pertama dengan gelaran Sultan Ahmad Muazzam Shah Ibni Raja Bendahara Tun Mutahir.
Kini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'Adzam Shah merupakan Sultan Pahang ke-5 dari Wangsa Bendahara.

Sultan Haji Ahmad Al-Musta'in Billah Pahang
Empayar Melayu Srivijaya yang mula diasaskan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa telah melalui detik-detik kegemilangan yang agung. Demi memastikan kelangsungan warisan keagungan Empayar Melayu Srivijaya bertahan sebagai bukti kehebatan bangsa Melayu, titisan zuriat diraja agung ini terpaksa mengharungi pelbagai peristiwa getir. Meskipun telah lahir bermacam-macam Kesultanan Melayu sebagai pewaris Srivijaya, ternyata Kesultanan Melayu Perak merupakan survival tunggal yang masih bertahan.

Istimewa tentang Empayar Srivijaya ialah, seorang Maharajanya telah mengutus surat kepada Khalifah Islam meminta disebarkan dakwah Islam di jajahannya, jauh beratus tahun lebih awal dari permintaan Maharaja Mutsuhito Meiji dari Jepun.

Pada tahun 100 Hijrah (718 Masihi), Maharaja Sri Indravarman telah menghantar sepucuk surat kepada Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang berbunyi:

" Dari Raja segala Raja (Malik Al-Amlak)- yang berketurunan seribu raja, yang kandangnya berisi beribu gajah, dan kawasan taklukannya adalah dua sungai, yang mengairi tanam-tanaman, wangi-wangian, pohon pala, dan kapur barus, yang harumnya semerbak 12 batu jauhnya. Kepada Raja Arab, yang tidak menyekutukan tuhan selain tuhan yang satu (Allah), beta telah menghantar hadiah yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan, dan beta berharap agar anda mengirim seseorang yang dapat mengajarkan ajaran Islam dan undang-undangnya."
*( Catatan Ibnu Rabbih: 860-940M)

Kerabat Diraja Bergelar Ulama

~BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM~
SALAM SATU AKIDAH: AL-FALAH DIDAHULUKAN,IBADAH DIUTAMAKAN


Semenjak kebelakangan ini, rakyat mula mempertikaikan kedudukan ekslusif Raja-Raja Melayu beserta kerabat diraja yang lain. Perkara ini berkaitan dengan sikap dan akhlak Raja-Raja Melayu dan kerabat mereka yang dilihat kurang mempraktikkan dan tidak mengambil berat ajaran Islam. Disebalik kekalutan dan kepincangan dalam institusi Raja-Raja Melayu, terselit bermacam-macam kisah berharga yang tersembunyi dan ditelan dek zaman. Institusi diraja sering dipandang tinggi kerana kehidupan mewah mereka, tetapi tidak ramai yang mengetahui kisah segelintir kerabat dan Sultan sendiri yang sangat kuat berpegang pada ajaran Islam dan dianggap ulama' oleh masyarakat yang mengenali mereka.

1) Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Muzaffar Shah (Sultan Melaka Ke-6, 1456-1477)

~ Diputerakan sebagai Raja Abdullah, baginda merupakan putera kepada Sultan terdahulu,iaitu Sultan Muzzaffar Shah. Baginda merupakan seorang pemerintah yang sangat mencintai ilmu agama sehingga mendalami ilmu tasauf. Apabila kitab Ad-Dar Manzum karangan Maulana Abu Ishaq tiba di Melaka, baginda sendiri datang untuk belajar dengan Maulana Abu Bakar. Kemudiannya baginda mengarahkan agar kitab tersebut diterjemah kedalam bahasa Melayu oleh Makhdum Patakan di Pasai. Baginda gemar merujuk permasalah agama ke Negeri Pasai kerana kerajaan tersebut terkenal dengan kekananan dalam segi keagamaan. Undang-Undang Melaka disifatkan sangat mirip dan menerima pengaruh Islam yang sangat besar. Qadhi Besar Melaka pada waktu pemerintahan baginda ialah Sayyid Yusof Ibni Sayyid Abdul Aziz. Baginda Sultan Mansur Shah menurut catatan Tom Pires ialah seorang yang suka merujuk orang-orang tua dalam permasalahan,mementingkan keselamatan empayar dan mementingkan kesepaduan rakyat. Baginda juga bijak dalam mengembangkan agama Islam dengan cara perkahwinan. Raja-raja negeri yang ditawan selalunya dikahwinkan dengan puteri-puteri baginda. Selain itu,baginda juga mewujudkan hubungan dengan kerajaan luar melalui perkahwinan.

2) Sultan Alauddin Riayat Shah Ibni Sultan Mansur Shah (Sultan Melaka Ke-7, 1477-1488)

~ Diputerakan sebagai Raja Hussein, baginda merupakan putera kepada Sultan Mansur Shah dan Raden Galuh Cendera Kirana. 
Baginda dikenali sebagai pemerintah yang mencontohi Sayidina Umar Al-Khattab dalam menjalankan pemerintahannya. Baginda merupakan seorang Sultan yang warak dan adil serta dianggap sebagai wali Allah. Baginda sering keluar menyiasat keadaan rakyatnya terutama pada waktu malam. Besar kemungkinan baginda merupakan Raja Melayu pertama yang mengerjakan haji. Baginda amat terkenal dan diingati oleh rakyat kerana keberanian baginda demi menjaga keamanan negeri. Baginda mangkat dalam umur 30-an dan bergelar Marhum Berdarah Putih. Makam baginda ditemui di Pagoh,Muar Johor. Pada nisan baginda tertulis; "Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, inilah kubur yang cemerlang,Sultan yang suci, Almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah Ibni Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Muzaffar Shah, rahmat dan kesejahteraan barang terlimpah ke atas rohmu wahai wali Allah yang terpilih."

3) ) Raja Kechil Tengah Sultan Muda Raja Ahmad Shah Waliullah Johan Berdaulat Ibni Sultan Abdul Malik Mansur Shah 

~ Baginda merupakan Pawang Di-Raja Negeri Perak Darul Ridzuan yang bertanggungjawab dalam mengelola adat-istiadat pertabalan Sultan. Baginda terkenal sebagai putera raja yang sangat warak dan dianggap sebagai wali Allah. Baginda dilaporkan ghaib tanpa jejak. Dari keturunan baginda lahirnya 9 orang Sultan Perak termasuk Sultan Azlan Shah.


4) Sultan Zainal Abidin Muazzam Shah III Ibni Sultan Ahmad Muazzam Shah II (Sultan Terengganu Ke-11, 1881-1918)


~ Terkenal sebagai Sultan yang mahir dalam bidang agama dan menguasai ilmu bahasa Arab, baginda merupakan Sultan yang sangat komited dalam menegakkan amalan Islam di negeri baginda. Almarhum Tuanku Sultan terkenal dengan penggubalan Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu (Ittiqan Al-Muluk Bi Taqdil Il Suluk) dan amat rapat dengan Ulama' Mekah dari Patani iaitu Sheikh Muhammad Bin Ismail Al-Fathani dan Sheikh Ahmad Bin Muhammad Zain Al-Fathani.

5) Sultan Alaeddin Suleiman Shah Ibni Raja Muda Musa Ibni Sultan Sultan Abdul Samad (Sultan Selangor Ke-5, 1898-1938)




Kitab Pohon Ugama: Bahagian Rukun Iman

~ Sultan Selangor ini amat dikenali dan dikagumi oleh rakyat jelata kerana ketinggian ilmu agama. Baginda amat menyanjungi dan gemar berdamping dengan ulama' dari Patani yang dilantik sebagai Sheikhul Islam Negeri Selangor iaitu Tengku Mahmud Zuhdi Bin Tengku Abdur Rahman Al-Fathani. Baginda juga sering membawa ulama' tersebut mengikuti rombongan baginda ke luar negeri bagi mendapatkan nasihat. Baginda juga telah mengarang dua kitab agama, iaitu Kitab Pohon Ugama: Bahagian Rukun Iman dan Kitab Melatih Kanak-kanak Laki-laki dan Perempuan Agama Islam sehingga mendapat pujian Tengku Mahmud Zuhdi Al-Fathani. Baginda juga dikenali sebagai Sultan yang sering memberi khutbah dalam Solat Jumaat dan Solat Sunat Aidilfitri dan Aidiladha.


6) 
Sultan Iskandar Shah  Ibni Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah (Sultan Perak Ke-30, 1918-1938) 



Risalah Iskandar Shah (dari sembangkuala.wordpress)

~ Raja Alang Iskandar Shah Ibni Raja Idris Shah Ibni Raja Alang Iskandar Ibni Sultan Muda Raja Ahmad Waliullah Johan Berdaulat. Cicit kepada Raja Ahmad Waliullah ini terkenal dengan sifat prihatin dan mesra dengan rakyat. Baginda juga dikagumi dengan keperibadiannya yang sangat menekankan kehidupan beragama dan merupakan antara Sultan yang bergelar Ulama'. Baginda pernah menitahkan kepada seluruh isi Negeri Perak bahawa celakalah seorang lelaki yang tidak menghadiri Solat Jumaat tanpa sebab. Baginda juga telah melantik Sheikh Muhammad Saleh dari Minangkabau sebagai Sheikhul Islam dan menjalankan kerja-kerja dakwah di Teluk Intan. Baginda juga telah mengarang sebuah kitab agama yang berjudul Risalah Iskandar Shah dengan menggunakan nama pena Faqir. Baginda juga terkenal dengan sikapnya yang suka menguji para ulama' Negeri Perak terutama dalam peristiwa pada bulan Ramadhan yang menyaksikan ketegasan Haji Nawawi Mohd Tahir yang menolak titah baginda untuk berbuka puasa sebelum masuk waktunya. Sikap mesra dan prihatin terhadap rakyat diwarisi oleh putera-puteri baginda,seperti Sultan Idris Al-Mutawakkil Allahi dan Raja Muda Ahmed Siffuddin. Baginda digelar Marhum Kadasallah.

7) Raja Kechil Sulong Perak Sheikh Raja Datuk Seri Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah (1958-2012)

~ Raja Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah Ibni Sultan Yussuff Izzuddin Ghafarullahulah Shah Ibni Sultan Abdul Jalil Nasruddin Mukhtaram Shah Ibni Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah Ibni Raja Bendahara Alang Iskandar Ibni Raja Kechil Tengah Sultan Muda Raja Ahmad Waliullah Johan Berdaulat, iaitu keturunan ke-6 secara langsung kepada Raja Ahmad Waliullah. 

Mendapat pendidikan berkaitan ekonomi dan undang-undang, baginda turut mendapat pendidikan tasauf dari ajaran Tariqad Naqshabandiya Haqqiya dari Sheikh Sayyid Muhammad Nazim 'Adil al-Haqqani (Mufti Besar Cyprus dan Imam Tariqad Naqshabandiya Haqqiya). Baginda terkenal dengan imej sebagai satu-satunya putera raja yang berserban. Baginda juga sering dilihat dalam majlis-majlis ilmu dan zikir. Kemangkatan baginda pada 30 Mac 2012 hanyalah beberapa jam selepas selesai mengikuti majlis zikir.


8) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Ibni Sultan Ismail Petra (Sultan Kelantan Ke-9, 2010-Sekarang)

~ Dilahirkan pada tahun 1969 sebagai Tengku Muhammad Faris Petra merupakan putera sulung kepada Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis. Baginda merupakan Pemerintah Kelantan ke-47 jika dikira dari Dinasti Awal Langkasuka, Dinasti Chermin, Dinasti Champa-Jembal, Dinasti Datu Pattani, dan Dinasti Muhammadi. Baginda ialah Sultan Kelantan ke-9 bermula dari Sultan Ahmad Ibni Raja Muhammad Ibni Sultan Mansur Riayat Shah I dari Terengganu.
Baginda terkenal dengan sifat zuhud dan mesra rakyat. Disayangi rakyat bukan sahaja di Kelantan Darul Naim, bahkan seluruh rakyat Malaysia menyanjungi dan menyayangi Sultan bergelar Ulama ini. Rakyat Malaysia sering membayangkan satu perubahan besar dalam struktur sosial masyarakat bakal berlaku kelak apabila Baginda Al-Sultan menaiki takhta tertinggi di Malaysia iaitu sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia. Sultan Muhammad V telah membawa perubahan besar dalam hubungan seorang Sultan dengan rakyatnya apabila baginda pernah membuka pintu istananya dan mempelawa seluruh isi negeri untuk bersama-sama baginda dalam Maljis Iftar,Solat Sunat Tarawih dan Qiamullail di Istana Kubang Kerian. Baginda juga pernah bersama-sama melaksanakan ibadah korban dan sering dilihat berjubah seperti rakyat biasa. Baginda telah berusaha melakukan perubahan dan memperbetulkan imej institusi beraja di Kelantan yang sering dilanda konflik dalaman. Sering dilihat memuliakan para ulama dan orang tua, baginda Al-Sultan sendiri gemar mengunjungi dan begitu menghormati Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang terkenal dengan kewarakan beliau.




MELAYU: Sejarah Yang Dipertikaikan!

~BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM~
SALAM SATU AKIDAH: AL-FALAH DIDAHULUKAN,IBADAH DIUTAMAKAN


Sebagai peminat sejarah, ada beberapa perkara yang masih saya musykilkan. 

Ini kerana sejarah kita telah dibentuk mengikut acuan penjajah yang kita sendiri tahu mereka suka menggelapkan sejarah bangsa lain. 

Sesiapa yang tahu jawapan,mohon untuk membantu saya.

1) Asal usul Melayu bermula dari siapa?
(maksud saya, kalau bangsa Arab Musta'ribah kita tahu dari jurai Nabi Ismail A.S , kalau Bani Israel dari Nabi Ya'akub A.S , Anglo dari kumpulan Viking etc, Chinese,Mongol,Japan,Korean ada istilah khusus bagi merujuk satu kumpulan bangsa besar mereka, tetapi Melayu dari mana? )

2) Adakah Melayu ini satu sub dari satu bangsa besar, atau merupakan induk bagi sub-sub yang lain?

3) Ketika para Firaun sibuk membina piramid dan mengamalkan pengawetan mayat, ketika Tamadun India dan Tamadun China sedang rancak membangun, adakah orang-orang Melayu yang tinggal di laluan yang sibuk dilalui kedua-dua kuasa besar itu, masih memakai cawat, tidak tahu berkomunikasi, menconteng di dinding-dinding gua?

4) Mengapa jika menggunakan Google's Maps, carian Mount Ophir akan merujuk terus kepada Gunung Ledang,Muar,Johor,Malaysia ? Direkodkan dalam rekod-rekod sejarah dan dalam kitab Bible, Mount Ophir merupakan kawasan/tempat bagi Nabi Sulaiman A.S mendapatkan bekalan emas,batu-batu berharga dan spesis-spesis haiwan liar yang tidak terdapat di kawasan Barat.

5) Mengapa kita diajar dalam buku-buku teks dan filem-filem sejarah bahawa orang-orang Melayu ketika zaman kegemilangan Melaka berperang menggunakan senjata tradisional? Sedangkan melalui catatan sejarah yang dirujuk oleh ramai sarjana Barat,jurna-jurnal sejarah yang ditulis pada abad moden dan filem-filem sejarah Melayu yang dibuat oleh bangsa asing mengambarkan Melayu telah mempunyai teknologi ketenteraan yang hebat?

6) Adakah Islam mulai masuk ke Nusantara dan Tanah Melayu lewat kurun ke 11-12 Masehi? Bukankah masyarakat Arab telah lama mengenali kapur barus sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi? Bukankah kapur barus disebut sebagai 'kafur' iaitu kata serapan dari perkataan bukan Arab? Jika bekalan kapur barus didapati dari India, sudah tentu sebutan/perkataan bagi merujuk kepada kapur barus sudah berubah.

7) Adakah kota-kota yang didirikan oleh bangsa Melayu dibina daripada kayu semata-mata? Mustahil orang-orang Melayu hanya pandai membina candi-candi dari batu bata, tetapi tidak untuk bangunan lain. Mustahil juga Melayu hanya pandai membina bangunan daripada batu hanya ketika era pengaruh Hindu-Buddha sahaja, tak kan ilmu dan kemahiran itu hilang apabila Islam bertapak?

8) Mengapa kita sering disogokkan dengan sikap buruk Sultan Mahmud Shah Melaka?
Adakah baginda bersikap terburu-buru menghukum mati keluarga Tun Mutahir tanpa siasatan? *Memandangkan sejarah kita telah menerima campur tangan penjajah,tidak mustahil keperibadian baginda digelapkan sebagaimana nasib yang menimpa Aurangzeb putera Shah Jahan.

9) Adakah cubaan pengkhianatan Tun Mutahiir merupakan fitnah dan rekaan semata-
mata? Mengapakah warisan Kesultanan Melaka dibayangi warisan kekeluargaan Tun Mutahir?
[* Raja Muzzafar Ibni Sultan Mahmud Shah berkahwin dengan Tun Terang (anak Tun Fatimah Binti Tun Mutahir dan Tun Ali) dan memegang jawatan sebagai Raja Muda,iaitu bakal pewaris Sultan Melaka, tetapi Raja Alaudin (putera Tun Fatimah dan Sultan Mahmud Shah) tiba-tiba dilantik sebagai Sultan Muda dan bakal pengganti Sultan sehingga akhirnya mengasaskan Kesultanan Johor manakala Raja Muzzafar kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Perak.]

10) Adakah benar dan jika benar mengapa Sultan Mahmud Shah mengeluarkan titah agar anakandanya Sultan Ahmad Shah dibunuh sedangkan ketika itu Sultan Ahmad Shah merupakan Sultan yang hampir berjaya menguatkan pemerintahan dari sebarang konflik politik?

11) Aneh, mengapa Sultan Mahmud Shah menyerahkan alat-alat kebesaran Kesultanan Melayu Melaka yang penting-penting seperti Pontoh Naga dan Pontoh Ular Lidi,Puan,Batil Emas,Keris Panjang dan Keris Taming Sari kepada Raja Muzzafar sedangkan baginda sedang bertakhta sebagai Sultan Kampar?

12) Adakah pada 24 Ogos 1511 Empayar Melaka jatuh ke tangan Portugis atau hanya Kota Melaka? Kerana sebuah peta bertarikh 1747 (gambar ini) telah merujuk Semenanjung Tanah Melayu sebagai 'Kingdom of Malacca' dan terdapat nama tempat Malacca dengan Dutch (Belanda) sebagai penguasa.Juga pantun jihad juga hanya menyebut Kota Melaka bukan kerajaan ataupun kesultanannya; ''..jika roboh Kota Melaka.."

13) Mengapakah pihak penjajah British tidak menghapuskan Kesultanan Melayu di negeri-negeri yang dijajahnya? British boleh lakukannya seperti mereka menghapuskan sistem beraja di India,ataupun seperti Belanda menghapuskan hampir kesemua kesultanan di Indonesia kerana mereka mampu dengan kekuatan ketumbukan yang kuat,tetapi mengapa mereka tidak melakukannya?

14) Adakah sistem penggiliran untuk jawatan Yang Di-Pertuan Agong adalah sistem yang baru mencecah usia 56 tahun ini merupakan idea baru dalam tradisi beraja di Tanah Melayu?Dalam manuskrip Undang-Undang Kedah yang berusia ratusan tahun ada diceritakan sistem persis sistem Yang Di-Pertuan Agong.

~ 14 persoalan ini belum ditambah dengan berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus persoalan lain dan persoalan-persoalan lanjutan dari hujahan jawapan persoalan utama.
~ Sesiapa yang mempunyai jawapan atau perkongsian bolehlah berkongsi dengan saya. Terima Kasih :)

Hikayat Muhammad Ali Hanafiah: Sastera Syiah?



Hikayat Muhammad Ali Hanafiah merupakan Sastera Syiah?

Hikayat Muhammad Ali Hanafiah terkenal dalam pensejarahan Melayu kerana menurut Tun Seri Lanang didalam kitabnya, Sulatus Salatin atau juga dikenali sebagai kitab Sejarah Melayu, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah ini dibaca kepada tentera-tentera Melaka bagi meniup semangat perjuangan menentang penjajahan Portugis.

Dipetik dari entri Hikayat Muhammad Ali Hanafiah dari ms.wikipedia.org (http://ms.wikipedia.org/wiki/Hikayat_Muhammad_Ali_Hanafiah)

Kisah pada malam sesudah Feringgi melancarkan serangannya yang pertama ke atas Melaka, seperti yang tersebut di bawah ini
Maka Sultan ahmad pun menghimpunkan orang, dan suruh berhadir senjata. Maka hari pun malamlah, maka segala hulubalang dan segala anak tuan-tuan semuanya bertunggu dibalai rong. Maka kata segala anak tuan-tuan itu, Apa kita buat bertunggu dibalai rong diam-diam sahaja? Baik kita membaca hikayat perang, supaya kita beroleh faedah daripadanya. Maka kata Tun Muhammad Onta, benar kata tuan-tuan itu, baiklah Tun Indera Sagara pergi memohonkan Hikayat Muhammad Hanafiah, sembahkan mudah-mudahan dapat patik-patik itu mengambil faedah daripadanya. Kerana Feringgi akan melanggar esok hari. Maka Tun Indera Sagara pun masuk mengadap Sultan Ahmad. Maka segala sembah orang itu semuanya dipersembahkannya kebawah duli Sultan Ahmad. Maka oleh Sultan Ahmad dianugerahi Hikayat Amir Hamzah, maka titah Sultan Ahmad pada Tun Indera Sagara, katakan kepada segala anak tuan-tuan itu, hendak pun kita anugerahkan Hikayat Muhammad Hanafiah, takut tiada akan ada berani segala tuan-tuan itu seperti Muhammad Amir Hamzah pun padalah maka kita beri Hikayat Hamzah. Maka Tun Indera Sagara pun keluarlah membawa Hikayat Hamzah, maka segala titah Sultan Ahmad itu semuanya disampaikannya pada segala anak tuan-tuan itu, maka semuanya diam, tiada menyahut. Maka kata Tun Isap pada Tun Indera Sagara, persembahkan ke bawah duli yang dipertuan, seperti Muhammad Hanafiah, patik-patik itu adalah seperti hulubalang berani. Maka oleh Tun Indera Sagara segala kata Tun Isap itu semuanya dipersembahkannya kepada Sultan Ahmad, maka baginda pun tersenyum maka titah Sultan Ahmad, benar katanya itu. Maka dianugerahi pula Hikayat Muhammad Hanafiah.

Siapa Muhammad Ali Hanafiah? 

Beliau ialah Muhammad Bin Ali Bin Abi Thalib, iaitu anak kepada Sayidina Ali R.A dengan isteri yang dinikahinya selepas kematian Sayidatina Fatimah Bin Muhammad Rasulullah.

Ibu Muhammad Bin Ali ialah Haulah (Ada juga yang menyebut Khaulah) dari Bani Hanifah.
Beliau digelar Al-Hanafiah sempena kabilah ibunya.

Dalam kitab Hikayat Muhamad Ali Hanafiah mengandungi unsur-unsur ajaran Syiah Kaisaniah iaitu mempertahankan hak Hassan R.A dan Hussien R.A sebagai Khalifah dan perincian dendam melampau terhadap Muawiyah R.A dan puteranya,Yazid.
Turut diceritakan Hussein menyembuhkan sayap malaikat, Muawiyah tidak mahu beristeri tetapi akhirnya berkahwin dengan wanita tua dan dendam Yazid kerana ditolak pinangan dari dua wanita yang menikahi Hassan dan Hussein.

Juga dalam kitab ini diceritakan bahawa Muhammad Ali Hanafiah meninggal akibat terperangkap di dalam sebuah gua.

Syiah Kaisaniah:

Diasaskan oleh Mukhtar Bin Ubau Al-Thaqafi (khadam kepada Muhammad Bin Ali R.A Bin Abi Thalib) dan Kaisan (Khadam kepada Sayyidina Ali, dan diwarisi oleh Muhammad Ali Hanafiah).
Mereka mempertahankan hak kekhalifahan Hassan dan Hussein. Selepas kesyahidan kedua-duanya, Kaisan dan Mukhtar bermati-matian mempertahankan hak kekhalifahan kepada Muhammad Ali Hanafiah.

Terdapat 2 kelompok daripada Kaisaniah :

1. Yang mendakwa bahawa Muhammad Ali Hanafiah masih belum mati kerana beliau menyelamatkan diri ke sebuah daerah Radhwa (sebuah kawasan pergunungan) ketika diburu pemerintah kerana disebabkan oleh pengikut-pengikutnya yang melampau. Beliau dipercayai masih lagi hidup dan bersembunyi disana. Beliau akan keluar pada hari kiamat sebagai Imam Mahdi.

2. Mereka yang memperjuangkan hak kekhilafahan Muhammad Ali Hanafiah semasa beliau masih lagi hidup. Dan hak tersebut berpindah-pindah kepada orang lain selepas kematiannya.




*Gambar sekadar hiasan
(Ruj: pmram.org)

DRACULA:Dari Wallacia ke Turki

DRACUL: Membesar Dalam Suasana Islam di Istana 

Topkapi Uthmaniyyah?



Vlad Tepes
Radu The Charming

Pada 1436,pemerintah wilayah Wallacia, Vlad II Dracul turun takhta dan digulingkan pada 1442 oleh para penentangnya. Namun beliau kembali ke Wallachia selepas dijamin oleh pemerintah Turki Uthmaniyyah, Sultan Murad II dengan syarat perlu membayar jizyah.


Beliau kemudian menghantar dua orang putera dari isteri keduanya, Vlad III dan Radu III ke istana Uthmaniyyah sebagai mentaati dan menunjukkan kesungguhan kesetiaan beliau dalam perjanjian pakatan dengan kerajaan Uthamniyyah untuk meraih takhta wilayah Wallacia secara total.

Kedua-dua putera ini dihantar sebagai pelayan istana. Bagaimanapun putera-putera dari isteri pertamanya, Mircea II dan Vlad Călugărul tetap tinggal di Wallachia. Keadaan ini diduga sebagai faktor kebencian Vlad III terhadap Turki Uthmaniyyah dan ayahnya sendiri.

Namun,akhirnya Vlad III dan Radu III dibebaskan dan diberi pelajaran-pelajaran ketenteraan dan ilmu logik,Quran dan belajar bahasa Turki dan Parsi.

Radu III akhirnya memeluk Islam. Pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih, ia dikurniakan gelaran Bey, serta mengetuai pasukan Janissari.


Namun,pada tahun 1448 Vlad II Dracul dibunuh oleh musuh ketatnya, John Hunyandi,Pemerintah Hungary manakala Mircea II dibutakan dan ditanam hidup-hidup.
Kerajaan Turki Uthmaniyyah segera menghantar pasukan tentera bagi merebut semula wilayah Wallacia dan menjadikan Vlad III sebagai pemerintah baru,namun tewas. John Hunyadi menepatkan Vladislav II sebagai pemerintah Wallacia.

Vlad III bergerak ke Moldavia dan mendapatkan perlindungan dari bapa saudaranya,Bugdan II. Namun,pada 1451 Bogdan II telah dibunuh. Vlad III bergerak ke Hungary. John Hunyadi menjadikan Vlad III sebagai penasihatnya kerana pengalaman Vlad III di Turki.

Pada 1456, John Hunyadi bergerak ke Beograd untuk merebut wilayah itu dari Turki Uthmaniyyah. Vlad II bergerak ke Wallacia dengan tujuan merebut wilayah tersebut lalu membunuh Vladislav II.

Ia berjaya merebut kembali takhta Wallacia dan membunuh para bangsawan dan keluarga mereka. Ia membunuh dengan kaedah menyula sebatang pancang sebesar lengan seorang dewasa ke dalam dubur mangsa. Kerana itu ia dijuluki Vlad Ţepeş (Vladthe Impaler/ Vlad Sang Penyula).

Sultan Muhammad Al-Fatih menghantar pasukan tentera untuk menewaskan Vlad III Ţepeş. Pasukan Janissari di bawah pimpinan Radu III berjaya menewaskan Vlad Ţepeş yang akhirnya melarikan diri ke Hungary. Radu III dilantik sebagai wakil Sultan di Wallacia dan dianugerahi Bey of Wallacia.

Namun,pada 1475 Radu III mati secara mengejut dan memberi ruang kepada Vlad Ţepeş untuk merampas kembali wilayah Wallacia. Namun penguasaannya hanya sementara apabila ia dikatakan dibunuh oleh pembunuh upahan pada 1477.

Khabar Duka Dari Langit


Angin bertiup perlahan menyapa sebatang tubuh yang sedang menunggang unta itu. Lelaki itu baru usai mendirikan solat Asar. Di Padang Arafah itu, pada petang Jumaat yang tenang dalam musim Haji Wida' lelaki itu didatangi sahabatnya, si penghuni langit.
"..Pada hari ini telah Kami sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah kami cukupkan nikmat Kami kepada kamu, dan telah Kami redha Islam itu agama kamu.." (Al-Maidah:3)
Dia berasa kurang jelas. Ditariknya tali untanya, 'Adba. Perlahan-lahan ia turun dan bersandar pada untanya itu.
" Wahai Muhammad, pada hari ini telah disempurnakan urusan agama kamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan Allah dan begitu juga apa yang terlarang oleh-Nya. Kumpulkanlah para sahabatmu, sesungguhnya semakin dekat perpisahan aku denganmu di sini (dunia ini)." 
Muhammad S.A.W terdiam mendengar perkhabaran dari Jibrail A.S itu. Seusai itu, baginda bergegas pulang ke Makkah dan akhirnya menuju ke Madinah. Tiba di Madinah, para sahabat R.A dikumpulkan, dan baginda membacakan wahyu yang diterimanya itu. Mendengar itu, para sahabat berteriak kegembiraan.
" Agama kita telah sempurna! Agama kita telah sempurna!."
Bagaikan halilintar mendengar itu, jantung Abu Bakar R.A bagaikan mahu terhenti. Matanya berair. Cuba ditahan. Ia lantas berpaling dan bergegas pulang ke rumah. Pintu dikunci. Ia mengurung diri dalam kesedihan berlinang air mata. Kelakuannya memeranjatkan para sahabat. Demi itu, sebahagian sahabat berkumpul di hadapan rumahnya.
" Wahai Abu Bakar, apakah yang membuatkanmu berkeadaan sebegini? Seharusnya engkau berasa gembira kerana agama kita telah sempurna."
Abu Bakar diam. Lidahnya agak berat mahu mengkhabarkannya. Sebak menguasai diri.
" Wahai sahabatku sekalian, kamu semua tidak sedar tentang musibah yang melanda kamu. Apabila sesuatu itu telah sempurna, maka akan terlihat pula kekurangannya. Jika Islam telah sempurna, bererti makin hampir tibanya waktu untuk Rasulullah S.A.W meninggalkan kita. Hassan dan Hussin akan menjadi yatim, para isterinya akan menjadi janda."


Mereka tergamam. Bagaikan tidak percaya. Seketika kemudian, seorang demi seorang mula mengalirkan air mata. Tangisan mereka akhirnya menjadi kuat dan sampai kepada pengetahuan Rasulullah S.A.W lantas baginda bergegas menuju rumah Abu Bakar.
" Wahai sahabatku, apakah yang membuatkan kalian menangis?" Tanya baginda. Ali Ibnu Abi Thalib R.A segera menjawab. " Ya Rasulullah, Abu Bakar mengatakan bahawa dengan turunya wahyu ini, maka mendekatlah waktu engkau untuk meninggalkan kami. Apakah benar ya Rasulullah?"
Riak wajah baginda tiba-tiba berubah. Lantas baginda menjawab, ''Ya benar. Apa yang diperkatakan oleh Abu Bakar adalah benar, dan masanya hampir tiba untuk aku meninggalkan kalian untuk selama-lamanya."

Sebaik mendengar pengakuan Rasulullah, lemah longlai lutut Abu Bakar. Ia kembali menangis sehingga akhirnya pengsan. Umar Ibnu Al-Khattab R.A terdiam. Bagaikan berhenti nadinya saat itu. Ia tertunduk tidak percaya. Uthman Ibnu Affan R.A terduduk. Mengalir air matanya mengenangkan apa yang bakal berlaku. Tubuh Ali menjadi kaku, lemah anggota tubuh mendengar kenyataan itu. Air mata bagaikan tidak mahu berhenti. Suasana menjadi hening. Masing-masing terdiam tanpa bicara. Tidak pasti dan enggan percaya pada sebuah pengakuan jujur dari mulut Sang Nabi.

Hari-hari yang dilalui kelam bagaikan cahaya mentari tidak sampai ke permukaan bumi Madinah ketika itu. Tiada senyuman terukir di wajah para penghuni Daulah Islamiah itu. Masing-masing khuatir dan tidak mahu waktu yang dijanjikan itu menjelma.


Suatu hari, usai solat berjemaah di masjidnya, Rasulullah S.A.W meminta agar para sahabat berkumpul.
Dengan langkah yang perlahan tetapi masih tampak ketegasan dan kewibawaannya, baginda melangkah menuju mimbar baginda. Baginda berhenti sejenak. Menatap tiap-tiap wajah yang berada di hadapan matanya. Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Dalam nada tenang tetapi cukup sempurna untuk didengar, baginda mula berucap.
" Segala puji bagi Allah, ya Muslimin. Sesungguhnya aku ini adalah seorang nabi yang diutus untuk menyeru manusia ke jalan yang lurus dengan izin-Nya. Aku ini adalah sebahagian dari kalian, bagaikan saudara kandung yang kasih sayangnya bagaikan kasih seorang ayah. Oleh itu, kalian mempunyai hak untuk menuntut daripadaku, sesiapa yang ingin berbuat demikian silalah bangun dan ke mari membalasi aku sebelum aku dituntut di akhirat nanti."
Baginda mengulangi seruan itu. Masing-masing tertunduk diam. Tiada yang mahu berdiri. Tidak sanggup rasanya hati untuk menuntut apa-apa dari baginda. Seruan diulang sekali lagi. Tiba-tiba, 'Ukasyah Bin Mushan bangkit berdiri. Setiap mata yang ada di situ tertumpu padanya. Masing-masing terkejut.
" Demi ayah dan ibuku ya Rasulullah, andai engkau tidak mengumumkan ini berkali-kali, nescaya aku tidak akan bangkit berdiri dan tidak ingin aku mengatakan hal ini pada hari ini. Sesungguhnya dalam Peperangan Badar, aku berada bersamamu ya Rasulullah. Pada waktu itu, aku mengikutimu dari belakang. Setelah hampir, aku lantas turun dan menghampirimu dengan maksud agar aku dapat mencium pehamu. Tetapi saat itu, engkau mencabut tongkatmu dan memukul untamu untuk berjalan cepat, tetapi engkau juga telah memukulku di bahagian rusukku. Aku mahu tahu wahai Rasulullah, adakah engkau sengaja memukul aku atau engkau sebenarnya mahu memukul unta itu?"
Hadirin terpampang. Terkejut dengan tindakan 'Ukasyah. Wajah baginda masih tenang dan tetap dengan senyuman yang ibarat tidak pernah lekang dari wajahnya itu. " 'Ukasyah, Rasulullah sengaja memukulmu." Ujar baginda. Wajah dialihkan menghadap Bilal Ibnu Rabbah R.A, pembantu setianya itu. " Bilal, pergi ke rumah puteriku Fatimah, dan ambilkan tongkatku ke mari." Bilal patuh. Ia menuju ke rumah Fatimah sambil tangannya berada di atas kepalanya. " Duhai, Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk diqisas."

Setibanya di rumah Sayyidatina Fatimah R.A, beliau memberi salam dan menyatakan tentang perintah Rasulullah. Fatimah bertanya tentang tujuan kegunaan tongkat itu, tetapi Bilal tidak menjawab. Memahami itu, Fatimah menyerahkan tongkat ayahandanya kepada Bilal. Beliau lantas kembali ke masjid dan menyerahkan tongkat tersebut kepada Rasulullah. Baginda mengambilnya dan menyerahkan kepada 'Ukasyah.



Suasana gempar. Masjid Nabawi sedikit riuh. Masing-masing terkejut dengan apa yang bakal berlaku. Abu Bakar dan Umar yang menyaksikan itu segera bangun dan mendekati Rasulullah dan 'Ukasyah. " Wahai 'Ukasyah, usahlah engkau qisas Rasulullah, pukullah kami sebagai gantinya." Abu Bakar dan Umar berusaha menahan 'Ukasyah dan merelakan diri mereka sebagai gantinya. Namun Rasulullah melarang. " Wahai Abu Bakar dan Umar, duduklah. Allah telah menyediakan tempat buat kalian." Ujar baginda. Abu Bakar dan Umar akur. Terpaksa duduk.

 Ali yang sedari tadi mendiamkan diri kini bangun. " Wahai 'Ukasyah, engkau mengetahui bahawa aku sering berada di samping Rasulullah, oleh itu pukullah aku dan jangan qisas Rasulullah." Sekali lagi baginda melarang. " Wahai Ali, duduklah. Allah telah menetapkan tempatmu dan Dia mengetahui isi hatimu." Ali akur. Dipaksa diri untuk duduk.

Tiba-tiba Hassan dan Hussin, kedua-duanya putera Ali bangun ke hadapan. " Wahai 'Ukasyah, bukanlah engkau tidak mengetahui, sesungguhnya kami ini cucu Rasulullah. Qisaslah kami sekiranya kamu ingin mengqisas Rasulullah." Rasulullah memandang cucu-cucunya itu. " Wahai  putera buah hatiku, duduklah kalian." Baginda kembali berpaling menghadap 'Ukasyah. " Wahai 'Ukasyah, pukullah aku sekiranya kamu ingin memukul."

'Ukasyah memandang baginda. Lantas ia bersuara, " Rasulullah memukulku saat itu aku tidak memakai baju." Mendengar itu, Rasulullah segera menanggalkan bajunya. Melihat baginda berbuat demikian, air mata tidak dapat ditahan. Setiap mata yang ada saat itu tidak henti-henti mengalirkan air mata. Sedih membayangkan tubuh yang mulia itu akan dipukul dengan tongkatnya sendiri.

Tiba-tiba 'Ukasyah datang memeluk dan mencium Rasulullah. Sambil menangis ia berkata;
" Aku tebus dirimu dengan jiwaku ya Rasulullah. Siapakah yang sanggup memukulmu ya Rasulullah. Aku melakukan ini semata-mata kerana ingin menyentuh tubuhmu dengan tubuhku, dan aku mengharapkan agar Allah memelihara diriku kerana berkat kemuliaanmu ya Rasulullah."

Baginda tersenyum. Wajah dikalihkan menghadap para hadirin yang terkesima mendengar penjelasan 'Ukasyah. " Wahai Muslimin, sekiranya kalian ingin melihat ahli syurga, pandanglah wajah 'Ukasyah ini." Tersenyum-senyum baginda mengucapkan itu. Para sahabat tersenyum gembira. Masing-masing berdiri dan bersalaman dengan 'Ukasyah.
"Wahai 'Ukasyah, sungguh engkau benar-benar beruntung kerana memperolehi darjat yang tinggi dan mendapatkan teman paling mulia di syurga kelak, engkau memiliki Rasulullah sebagai temanmu di syurga."

Nasab Muhammad S.A.W

Nama : Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Muttalib Bin  Hashim Bin Abdul Manaf Bin Qusai Bin Kilab Bin Murrah Bin Ka'ab Bin Luay Bin Ghalib Bin Fahr Bin Malik Bin An-Nadr Bin Kinanah Bin Khuzaiman Bin Mudrikah Bin Elias Bin Mudar Bin Nizar Bin Ma'ad Bin Adnan Bin Add Bin Humaisi Bin Salaman Bin Aws Bin Buz Bin Qamwal Bin Ubai Bin Awwam Bin Nashid Bin Haza Bin Bildas Bin Yadlaf Bin Tabikh Bin Jahim Bin Nahish Bin Makhi Bin Ayd Bin Abqar Bin Ubayd Bin Ad-Daa Bin Hamdan Bin Sanbir Bin Yath Rabi Bin Yahzin Bin Yalhan Bin Arami Bin Ayd Bin Deshan Bin Aizar Bin Afnad Bin Aiham Bin Muksar Bin Nahith Bin Zarih Bin Sani Bin Wazzi Bin Adwa' Bin Aram Bin Haidir (Kedar) Bin Ismail A.S (Ishmael) Bin Ibrahim A.S (Abraham) Bin Azar

Bapa : Abdullah Bin Abdul Muttalib Bin Hashim Bin Abdul Manaf Bin Qusai
Ibu : Aminah Binti Wahab Bin Abdul Manaf Bin Qusai

Keputeraan: 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 20 April 571M hari Isnin