E-mail: KimPutra.94@gmail.com

Susur Masa Kesultanan Perak

Berikut ialah susur masa untuk memahami hubungan kekeluargaan antara Kesultanan Melaka, Perak, Johor dan Kelantan.

p/s: Semua perkiraan tahun dari 1267-1488 ada ca, atau perkiraan sekitar yang hampir tepat mengikut rekod.

1267:
Paduka Sri Sang Tawal, putera kepada Maharaja Jawaka Raja Sankrata menjadi Maharaja Grahi. Memiliki beberapa anakanda termasuk Raja Singhadhiraja, Raja Bharubasa, Puteri Linang Cahaya, Puteri Chandana dan Puteri Adruja Wijayamala Singha (Paduka Che Siti Wan Kembang I)

1295:
Grahi tewas kepada Siam (Bangsa Thai). Sang Tawal mengasaskan Langkasuka.

1324:
Sri Maharaja Sang Utama Parameswara (Parameswara I), Batara Sri Tribhuwana menjadi Raja Temasek/Singapura lama. Baginda merupakan putera kepada Maharaja Sang Sapurba. Parameswara I memiliki dua putera:
1) Raja Kechil Besar, kemudian menggantikan ayahandanya sebagai Raja Temasek. 
2) Raja Kechil Muda, kemudian menjadi Bendahara

1339:
Raja Bharubhasa menaiki takhta Langkasuka, mengantikan ayahandanya Raja Sang Tawal yang mangkat. Raja Bharubhasa kemudian bergelar Paduka Sri Sultan Mahmud Shah, Raja Langkasuka. Langkasuka menaungi negeri-negeri kecil termasuk negeri Chermin-Jiddah dan Patani.
Sultan Mahmud kemudian mengasaskan pusat pentadbiran di Bukit Panau. Memiliki beberapa orang anakanda termasuklah 
1) Maharaja Kumara Radin Mas Ariya di-Gunung (Radin Mas Pamari, Raja Chermin)
2) Sultan Muhammad Tahir (Raja Patani)
3) Siti Zubaidah (Dewi Nareswari) yang popular dalam Syair Siti Zubaidah dan berkahwin dengan Raja Champa, Sultan Zainal Abidin.



1344:
Paduka Seri Rama Adikerma, anakanda Dharmaraja (Parameswara II) lahir.

1345:
Langkasuka tewas kepada Siam (Bangsa Thai). Dipaksa membayar ufti.

1357:
Tentera Majapahit pimpinan Gadja Mada menewaskan Siam (Bangsa Thai). Langkasuka dinaungi Majapahit.

1362: 
Sultan Mahmud Shah mangkat. Radin Mas Pamari menaiki takhta menjadi Sultan Baki Shah. 
Sultan Baki Shah memiliki beberapa orang anakanda termasuklah;
1) Sultan Sadik Muhammad Shah
2) Raja Kemas Jiwa Sang Aji Jaya Ningrat 
3) Puteri Selindung Bulan, yang menikahi Sayyid Hussain Jamadil Kubra dan dikurniakan dua putera, 
    A) Sayyid Ali Nurul Alam
         a) Wan Hussain menjadi pateh (seakan menteri) di Majapahit.
         b) Sharif Abdullah menjadi Raja Champa
         c) Wan Demali Alimuddin menjadi Pateh Karmawijaya dan kemudian Laksamana di Bentan. 
    B) Sayyid Muhammad Kubungsuan bergelar Udaya Ningrat. 

1366:
Sri Maharaja Sang Utama Parameswara menerima pengesahan daripada Maharaja China sebagai pemerintah Temasek/Singapura lama yang sah dan berdaulat. Berjaya mengurangkan ancaman Siam.

1372:
Parameswara I mangkat. Anakandanya, Raja Kechil Besar menaiki takhta bergelar Paduka Seri Pekerma Wira Diraja. Melantik adindanya, Raja Kechil Muda menjadi Bendahara bergelar Tun Perpatih Permuka Berjajar.

1386:
Pekerma Wira mangkat. Anakandanya menaiki takhta bergelar Paduka Seri Rana Wira Kerma. Wira Kerma mempunyai seorang putera, Dharmaraja (Desia Raja) dan seorang puteri.

1388:
Raja Tengah, cucunda Raja Muda Seri Rama Adikerma lahir. 

1399:
Paduka Seri Rana Wira Kerma mangkat. Anakandanya, Dharmaraja menaiki takhta bergelar Paduka Seri Maharaja Parameswara (Parameswara II). Parameswara II memiliki dua putera, Raja Muda Paduka Seri Rama Adikerma dan Seri Wangsa Di-Raja

1401:
Temasek diserang oleh Majapahit, atas pengkhianatan pembesar negeri bernama Sang Rajuna Tapa yang berdendam atas kematian puterinya yang dihukum bunuh kerana fitnah.
Parameswara II berundur ke tanah besar, dan akhirnya mendirikan Kesultanan Melaka.

1405:
Parameswara II menerima lawatan rombongan wakil Maharaja China.

1411:
Parameswara II dan rombongan diraja mengunjungi Maharaja China di Nanking.

1412: 
Anakanda saudara Parameswara II, Bendahara Sri Amar Di-Raja dihantar membuat kunjungan hormat ke China.

1413:
Bendahara Sri Amar Di-Raja sekali lagi dihantar membuat kunjungan hormat ke China.
Parameswara II mangkat. Digantikan oleh anakandanya, Raja Muda Paduka Seri Rama Adikerma bergelar Paduka Seri Rama Adikerma Raja.

1414:
Paduka Rama Adikerma Raja melakukan kunjungan diraja ke Peking, China.

1416:
Paduka Rama Adikerma Raja memeluk Islam, menjadi Paduka Seri Sultan Iskandar Shah.

1418:
Sultan Baki Shah mangkat. Anakandanya menaiki takhta sebagai Sultan Sadik Muhammad Shah. Memindahkan pusat pemerintahan ke Ninggiri. 

1419:
Paduka Seri Sultan Iskandar Shah membuat kunjungan diraja ke Peking, China selama tiga tahun.

1422: 
Rombongan diraja Sultan Iskandar Shah kembali ke Melaka dari China.

1423:
Sultan Iskandar Shah mangkat. Digantikan oleh cucundanya, Raja Tengah Ibni Raja Besar Muda Ahmad, bergelar Paduka Seri Sultan Muhammad Shah. Sultan Muhammad Shah memiliki beberapa anakanda, termasuklah;
1) Raja Mambang
2) Raja Mahkota
3) Raja Hitam Ibrahim
4) Raja Abu Kasim
5) Raja Fatimah, mengahwini pemerintah Siak, Sultan Ibrahim (Megat Kudu) Ibni Paduka Seri Maharaja Parameswara Siak. 

1424:
Sultan Muhammad Shah membuat kunjungan diraja ke Peking, China bagi memaklumkan kemangkatan ayahandanya.


1429:
Sultan Sadik Muhammad Shah mangkat. Adindanya, Raja Kemas Jiwa Sang Aji Jaya Ningarat menaiki takhta sebagai Sultan Iskandar Shah.

1432:
1) Sultan Iskandar Shah mengisytiharkan kerajaannya sebagai Majapahit II.
2) Sultan Iskandar Shah melantik anakanda saudaranya, Sayyid Nurul Alam menjadi Perdana Menteri Kelantan-Majapahit II bergelar Pateh Aria Gadja Mada. 

November 1433:
Sultan Muhammad Shah, adindanya Radin Bala dan rombongan diraja bertolak ke China.

Mei 1434:
Sultan Muhammad Shah dan rombongan diraja tiba di Peking, China.

1435: 
1) Sultan Muhammad Shah dan rombongan diraja meninggalkan China, kembali ke Melaka.

2) Kelahiran Hang Tuah Bin Hang Mahmud di Bentan

1442:
Kelahiran Raja Abdullah, putera kepada Raja Abu Kasim Ibni Sultan Muhammad Shah.

1443:
Putera bongsu Sultan Muhammad Shah, Raja Hitam Ibrahim lahir.

1444:
Sultan Muhammad Shah mangkat. Baginda digantikan oleh putera bongsunya, Raja Hitam Ibrahim yang baru berusia setahun sebagai Sultan Ibrahim Dewa Shah apabila bonda Sultan Muhammad Shah menolak pemilihan Raja Abu Kasim sebagai pemerintah baru. Pemerintahan Melaka dipangku oleh Raja Rokan yang merupakan nenda dari sebelah ibu kepada Sultan Ibrahim Dewa Shah. 

1445
1) Pemberontakan penyokong Raja Abu Kasim sehingga menyebabkan Sultan Ibrahim Dewa Shah terbunuh, dan digelarkan sebagai Sultan Abu Syahid Ibrahim. Raja Abu Kasim menaiki takhta bergelar Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah Ibni Sultan Muhammad Shah.

2) Dibawah pimpinan Tun Perak Bin Bendahara Seri Wak Raja Tun Perpatih Sendang, tentera Melaka berjaya menyekat serangan Siam.


1450:
Kelahiran Sharif Hidayatullah, putera kepada Sharif Abdullah Bin Sayyid Ali Nurul Alam dan isterinya, Ratu Mas Rara Santang (Sharifa Muda'im). 

1456:
1) Tun Perak Bin Bendahara Seri Wak Raja Tun Perpatih Sendang dilantik menjadi Bendahara Melaka dengan gelaran Bendahara Paduka Raja, menggantikan Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali Bin Bendahara Seri Amar Diraja.

2) Kelahiran Raja Husain Ibni Raja Abdullah Ibni Sultan Muzaffar Shah. 

1459:
Sultan Muzaffar Shah mangkat. Baginda digantikan oleh anakandanya yang berusia 17 tahun, Raja Abdullah sebagai Sultan Mansur Shah.
Sultan Mansur Shah mempunyai beberapa orang isteri, termasuklah;
1) Puteri Wanang Seri Lela Wangsa, dikurniakan beberapa anakanda termasuklah;
    A) Raja Muda Muhammad
    B) Raja Ahmad
2) Li Po
    A) Paduka Mimat
3) Raja Perempuan Besar Raden Galoh Chandra Kirana
    A) Raja Muda Sulaiman 
4) Adinda kepada Bendahara Paduka Raja
    A) Raja di-Baroh
    B) Raja Husain  
5) Tun Sadah Binti Sri Nara Diraja Tun Ali
    A) Raja Maha Dewi, mengahwini Sultan Ibrahim dari Siak.
    B) Raja Chandra

1467:
Siam menakluki Kelantan-Majapahit II. Sultan Iskandar Shah berundur ke Champa dan mangkat. Baginda digantikan oleh anakandanya, Sultan Mansur Shah yang kemudian berjaya merebut kembali kerajaannya.

1470:
1) Tun Besar Bin Bendahara Paduka Raja Tun Perak dibunuh atas arahan Raja Muda Muhammad Ibni Sultan Mansur Shah. Bagi menuntut keadilan secara terhormat tanpa menderhaka kepada sultan, Bendahara Paduka Raja Tun Perak menuntut agar Raja Muda Muhammad dilucutkan hak menjadi waris takhta Melaka. 

2) Raja Muda Muhammad dihantar untuk dirajakan di Pahang. Raja Muda Muhammad menjadi pengasas Kesultanan Pahang bergelar Paduka Seri Sultan Muhammad Shah Ibni Sultan Mansur Shah. Sultan Muhammad Shah menikahi Mengindra Puteri Binti Sultan Mansur Shah, Sultan Kelantan dan dikurniakan beberapa anakanda termasuklah;
   A) Raja Jamil
   B) Raja Muzaffar
   C) Raja Wati

3) Raja Sulaiman Ibni Sultan Mansur Shah dilantik menjadi Raja Muda Melaka.

1471:
Anakanda Sayyid Ali Nurul Alam, iaitu Sharif Abdullah menjadi Raja Champa, bergelar Sultan Maulana Sharif Abu Abdullah Mahmud Umdatuddin (Wan Bo Tri Tri). Pernikahannya dengan Ratu Mas Rara Santang dikurniakan dua putera;
1) Sharif Hidayahtullah (Sunan Gunung Jati), yang menikahi Nyai Kawunganten dan dikurniakan beberapa anakanda termasuklah;
     A) Ratu Wulung Ayu
     B) Maulana Hasanuddin @ Pangeran Sabakingkin
2) Wan Abul Muzaffar Waliullah, memiliki beberapa orang anakanda termasuklah;
     A) Datu Kelantan Nik Jamaluddin, memiliki dua putera;
         a) Raja Loyor
         b) Raja Ekok
     B) Nik Mustafa 

1474:
1) Laksamana Tun Tuah Bin Hang Mahmud dihukum mati oleh Sultan Mansur Shah, namun Bendahara Paduka Raja Tun Perak menyelamatkan Tun Tuah dengan menyuruh Tun Tuah hidup dalam buangan tanpa pengetahuan sultan.

2) Temenggung Hang Jebat membuat amukan dan menawan istana sultan. Raja Muda Sulaiman terbunuh.

3) Raja Husain Ibni Sultan Mansur Shah dilantik menjadi Raja Muda.

1475:
1) Wakil pemerintah Melaka di Terengganu, Tun Telanai Bin Bendahara Paduka Raja Tun Perak dibunuh atas arahan Sultan Muhammad Shah dari Pahang.

2) Sultan Muhammad Shah mangkat. Takhta Pahang diambil alih oleh anakandanya, Raja Jamil bergelar Paduka Seri Sultan Abdul Jamil Shah buat seketika sebelum bertindak melepaskan takhta buat anakandanya, Paduka Seri Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Abdul Jamil.

3) Raja Ahmad Ibni Sultan Mansur Shah, adinda kepada Sultan Muhammad Shah bertindak memangku pemerintahan Pahang, dan akhirnya menguasai takhta sebagai Sultan Pahang yang sah, bergelar Paduka Seri Sultan Ahmad Shah Ibni Sultan Mansur Shah.

1477:
Sultan Mansur Shah mangkat. Raja Muda Husain menaiki takhta bergelar Paduka Seri Sultan Alaudin Riayat Shah dalam usia 21 tahun.

1488:
Sultan Mahmud Shah menaiki takhta Kerajaan Melaka setelah ayahandanya, Sultan Alaudin Riayat Shah Ibni Sultan Mansur Shah mangkat sekitar usia 32 tahun di Pagoh, Johor.

1497:
Sultan Ahmad Shah Ibni Sultan Mansur Shah menyerahkan takhta Pahang kepada cucunda saudaranya, Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Abdul Jamil Shah.

1499: 
Kerajaan Melaka berjaya menakluki Kelantan. Putera-puteri Sultan Mansur Shah (Kelantan) ditawan dan dibawa ke Melaka, termasuk Raja Gombak, Puteri Unang Kening/Kemuning, Puteri Unang Jupa dan Puteri Unang Jobak.

1500:
Perkahwinan antara Sultan Mahmud Shah (Melaka) dan Puteri Unang Kening, Puteri Unang Jupa dan putera Melaka, Puteri Unang Jobak dan Sang Naya Hang Nadim.

1505:
Kelahiran Raja Muzaffar, putera kepada Sultan Mahmud Shah dan isteri ketiga baginda, Puteri Unang Kening. Raja Muzaffar turut mempunyai saudara seibu yang lain;
1) Raja Nara
2) Raja Sri Dewi, menikahi sepupunya Raja Mansur Ibni Sultan Gombak
3) Raja Fatimah, menikahi dua pupunya, Sultan Khoja Ahmad Shah Ibni Raja Abdullah, Sultan Siak
4) (puteri), menikahi Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang 

1510:
1) Sultan Mahmud Shah berkahwin dengan Tun Fatimah Binti Tun Mutahir, janda kepada Tun Ali Bin Tun Mutahir.
2) Sultan Mahmud Shah turun takhta, digantikan oleh Raja Muda Ahmad sebagai Sultan Muda Ahmad.

1511:
Melaka jatuh ke tangan Portugis. Raja Muzaffar baru berusia 6 tahun ikut serta anggota kerabat diraja berundur meninggalkan Melaka.

1513:
1) Sultan Muda Ahmad dibunuh atas arahan Sultan Mahmud Shah, atas pengaruh para pembesar. Dimakamkan di Kopak, Bentan.
2) Pada usia 8 tahun, Raja Muzaffar dilantik menjadi Raja Muda.
2) Kelahiran adinda berlainan ibu, Raja Kechil Besar Raja Alaudin, putera Sultan Mahmud Shah dan Tun Fatimah.
3) Dilucutkan jawatan sebagai Raja Muda dan digantikan oleh Raja Alaudin yang baru berusia 40 hari.

1519:
Sultan Mansur Shah mangkat. Takhta Pahang beralih kepada Raja Muzaffar dan bergelar Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Muhammad Shah. Baginda menikahi sepupunya, Raja Putri Olah dan dikurniakan beberapa orang anakanda termasuklah;
1) Raja Jainad
2) Raja Ismail
3) Raja Puspa Dewi

1520:
Perkahwinan antara Raja Muzaffar yang berusia 15 tahun, dan saudara tirinya Tun Trang Binti Tun Ali, anak Raja Perempuan Tun Fatimah dan suaminya yang terdahulu. Dikurniakan;
1) Raja Ahmad, mengahwini puteri Sultan Zainal Abidin Al-Kahar dari Aceh
    A) Sultan Alauddin Mansur Shah, Sultan Acheh VIII
2) Raja Abdul Jalil
3) Raja Dewi
4) Raja Fatimah
5) Raja Khadijah
6) Raja Tengah

1522:
Raja Gombak, yang merupakan bapa saudara Raja Muzaffar menaiki takhta Kelantan sebagai Sultan Gombak Ibni Sultan Mansur Shah.

1526:
Sultan Gombak mangkat. Digantikan oleh cucundanya, Raja Ahmad sebagai Sultan Ahmad Shah Ibni Raja Mansur, putera Raja Mansur Ibni Sultan Gombak dan isterinya, Raja Sri Dewi Binti Sultan Mahmud Shah, saudara perempuan seibu sebapa dengan Raja Muzaffar Shah.

1528:
1) Raja Muzaffar mengasaskan Kesultanan Perak dalam usia 23 tahun, bergelar Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I Ibni Sultan Mahmud Shah.

2) Sultan Mahmud Shah meninggalkan Kopak, Bentan menuju ke Kampar, Sumatera.

3) Raja Alaudin mengasaskan Kesultanan Johor dalam usia 15 tahun, menjadi sultan pertama dan bergelar Sultan Alaudin Riayat Shah Ibni Sultan Mahmud Shah.

1529:
Sultan Johor, Sultan Alaudin Riayat Shah berkahwin dengan Raja Kesuma Dewi Binti Sultan Mansur Shah, Sultan Pahang. Dikurniakan:
1) Raja Muzaffar @ Radin Bahar
2) Raja Kechil Besar Mahmud, mengahwini Raja Khalijah Binti Sultan Zainal Abidin, puteri Sultan Pahang.
3) Raja Putri Fatimah, mengahwini Sultan Mansur Shah II Ibni Sultan Zainal Abidin, Sultan Pahang. Kemudian berkahwin dengan Raja Umar Bin Raja Ahmad.
4) (puteri), mengahwini Sultan Mansur Shah I Ibni Sultan Muzaffar Shah, Sultan Perak.
1530:
1) Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Alaudin Riayat Shah mangkat di Kampar, Sumatera.

2) Sultan Pahang, Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Muhammad Shah mangkat. Baginda digantikan oleh puteranya, Raja Jainad sebagai Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah.

1542:
Sultan Muzaffar Shah (Pahang) mangkat. Takhta diserahkan kepada adindanya, Raja Ismail yang bergelar Paduka Seri Sultan Zainal Abidin. Baginda mengahwini:
1) Raja Putri Dewi Binti Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka
    A) Raja Mansur
    B) Raja Jamal
    C) Raja Khalijah, mengahwini Raja Kechil Besar Mahmud Ibni Sultan Alauddin Riayat Shah dari                 Johor.
    D) Raja Putri Bongsu
2) Tun Kemala Binti Bendahara Sri Buwana
    A) Raja Kadir

1547:
Sultan Ahmad Shah (Kelantan) mangkat, digantikan oleh anakandanya Raja Mansur sebagai Sultan Mansur Shah. Sultan Mansur Shah merupakan saudara kandung kepada Paduka Che Siti Wan Kembang II.

1549:
Sultan Muzaffar Shah (Perak) mangkat dalam usia 44 tahun di Tanah Abang dan dimakamkan di Teluk Bakong. Digantikan oleh anakanda baginda, Paduka Seri Sultan Mansur Shah I.

1555:
Sultan Zainal Abidin (Pahang) mangkat. Anakandanya Raja Mansur menaiki takhta sebagai Paduka Seri Sultan Mansur Shah II. Mengahwini:
1) Raja Putri Fatimah Binti Sultan Alaudin Riayat Shah, puteri Sultan Johor
    A) Raja Saleh, Nataraja Shah
    B) Putri Kechil Besar Raja Putri Putih, mengahwini Raja Asif Ibni Sultan Khoja Ahmad, putera Sultan Siak.
2) Putri Bakal Binti Raja Ahmad, dari Terengganu.
    A) Raja Jalal
    B) Raja Jalil
    C) Raja Putri Tengah
    D) Raja Putri Dewi  

1560:
Sultan Mansur Shah II (Pahang) mangkat. Dua orang adindanya, menaiki takhta Pahang sebagai pemerintah bersama, iaitu Raja Jamal sebagai Paduka Seri Sultan Abdul Jamal Shah Ibni Sultan Zainal Abidin, dan Raja Kadir sebagai Paduka Seri Sultan Abdul Kadir Alaudin Shah Ibni Sultan Zainal Abdidin.

1561:
Sultan Kelantan yang merupakan cucunda saudara Sultan Muzaffar Shah (Perak), iaitu Sultan Mansur Shah mangkat. Digantikan oleh puteranya, Sultan Ibrahim Shah.

1564:
Sultan Johor, Sultan Alauddin Riayat Shah Ibni Sultan Mahmud Shah mangkat dalam usia 51 tahun di Aceh. Takhta diambil alih oleh puteranya, Raja Muzaffar bergelar Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah II.

1564:
Sultan Johor, Sultan Alaudin Riayat Shah mangkat dalam usia 51 tahun di Aceh.





1565:
Takhta Kesultanan Kelantan beralih dari Sultan Ibrahim Shah Ibni Sultan Mansur Shah kepada Raja Umar Ibni Raja Ahmad dari Terengganu. 

1570:
1) Sultan Muzaffar Shah II (Johor) mangkat. Puteranya menaiki takhta sebagai Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Shah.

2) Raja Umar Ibni Raja Ahmad meninggalkan Kelantan. Takhta Kelantan kembali kepada Sultan Ibrahim Shah.

1571:
1) Raja Umar Ibni Raja Ahmad mengahwini bonda Sultan Abdul Jalil Shah, Sultan Johor.

2) Sultan Abdul Jalil Shah, Sultan Johor telah mangkat.

3) Raja Umar menaiki takhta Johor sebagai Paduka Seri Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II.
  
1577: 
Sultan Mansur Shah I Ibni Sultan Muzaffar Shah mangkat (ghaib). Anakanda baginda menaiki takhta sebagai Sultan Ahmad Tajuddin Shah.

1578:
Nik Mustaffa Bin Wan Abul Muzaffar menaiki takhta Champa sebagai Sultan Abdul Hamid Shah.

1579:
Sultan Ibrahim Shah (Kelantan) mangkat. Baginda digantikan oleh Raja Loyor Bin Nik Jamaluddin, cucunda Raja Champa Sultan Maulana Sharif Abu Abdullah Mahmud Umdatuddin Ibni Sayyid Ali Nurul Alam. Raja Loyor bergelar Sultan Adiluddin. 

1580: 
Cucunda Sultan Muzaffar Shah (Perak), Raja Mansur Ibni Raja Ahmad Ibni Sultan Muzaffar Shah menaiki takhta sebagai Sultan Acheh ke-8, bergelar Sultan Alauddin Mansur Shah. 

1584: 
Sultan Ahmad Tajuddin Shah mangkat. Adinda baginda menaiki takhta sebagai Sultan Tajul Ariffin Shah Ibni Sultan Mansur Shah.

1585: 
Sultan Alauddin Mansur Shah Ibni Raja Ahmad, Sultan Aceh mangkat dibunuh pesaing politik.

1590:
Sultan Abdul Jamal Shah dan Sultan Abdul Kadir Alaudin Shah, pemerintah bersama Pahang mangkat. Kemungkinan dibunuh. Raja Ahmad Ibni Sultan Abdul Kadir Alaudin Shah menaiki takhta bergelar Paduka Seri Sultan Ahmad Shah II.

1592:
Sultan Ahmad Shah II (Pahang) digantikan oleh kekanda sulungnya, Sultan Abdul Ghaffur Muhiuddin Shah Ibni Sultan Abdul Kadir Alaudin Shah. Baginda menikahi:
1) Raja Putri Zohra Binti Sultan Saiful Rijal, dari Brunei.
     A) Raja Muda Abdullah, mengahwini Putri Perak, puteri Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Muzaffar Shah dari Perak.
          a) Raja Putri Fatimah Puteh, mengahwini Sultan Muzaffar Shah III Jalilullah, Sultan Perak.
2) Paduka Seri Sultan Shah Alam Binti Sultan Bahadur Shah, (Raja Ungu/Phra Nang Chao Ying), Raja Perempuan Patani
    A) Paduka Seri Raja Kuning (Phra Nang Chao Ying), Raja Perempuan Patani

1594: 
Sultan Tajul Ariffin Shah mangkat. Cucunda saudara baginda, Raja Ali menaiki takhta sebagai Sultan Alauddin Shah Ibni Raja Kechil Lasa Inu Ibni Sultan Ahmad Tajuddin.

1597:
1) Takhta Kelantan beralih kepada Sultan Muhammad Ibni Sultan Ibrahim.

2) Sultan Johor, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II mangkat. Puteranya, Raja Mansur menaiki takhta sebagai Paduka Seri Sultan Alauddin Riayat Shah III.

1602:
Takhta Kesultanan Kelantan kembali kepada Sultan Adiluddin Ibni Nik Mustaffa. Berakhirnya pemerintahan keturunan secara langsung daripada Paduka Raja Sang Tawal. 

1603: 
Sultan Alauddin Shah Ibni Raja Kechil Lasa Inu mangkat. Digantikan oleh Raja Mukaddam, bergelar Sultan Mukaddam Shah. Baginda ialah cucunda Sultan Mansur Shah I Ibni Sultan Muzaffar Shah dari puteri baginda yang berkahwin dengan kerabat diraja Aceh.

1605:
Sultan Adiluddin mangkat. Takhta Kelantan diambil alih oleh adindanya, Raja Ekok sebagai Sultan Samiruddin.

1613:
Aceh menyerang Johor. Sultan Alauddin Riayat Shah III ditawan dan dibawa ke Aceh.

1614:
1) Sultan Johor, Sultan Alauddin Riayat Shah III kembali memerintah Johor.

2) Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghaffur Muhiuddin Shah mangkat dibunuh oleh anakandanya yang akhirnya menaiki takhta sebagai Paduka Seri Sultan Alauddin Riayat Shah. Turut terbunuh ialah Raja Muda Pahang, Raja Muda Abdullah Ibni Sultan Abdul Ghaffur Muhiuddin Shah.

1615:
1) Aceh menakluki Johor dan Pahang.

2) Sultan Alauddin Riayat Shah III mangkat. Takhta Johor diambil alih oleh adindanya, Raja Abdullah sebagai Paduka Seri Sultan Abdullah Mu'ayat Shah. 

3) Sultan Pahang, Sultan Alauddin Riayat Shah diusir. Aceh melantik Raja Bujang, putera Sultan Alauddin Riayat Shah III, dari Johor sebagai Sultan Pahang bergelar Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Shah III.

1617:
1) Sultan Abdul Jalil Shah III diusir dari Pahang oleh Aceh. Pahang ditabdir oleh Aceh.
2) Mantan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah II ditawan dan dibawa ke Aceh, bersama putera-puteri baginda, Raja Mughal dan Raja Putri Kamarliah. Di Aceh, Raja Mughal dikahwinkan dengan Putri Sri Alam Binti Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Shah, Sultan Aceh. 

1619: 
Sultan Mukaddam Shah mangkat. Adinda bongsu Sultan Alauddin Shah, Raja Mansur menaiki takhta Perak sebagai Sultan Mansur Shah II Ibni Raja Kechil Lasa Inu.

1623:
Sultan Johor, Sultan Abdullah Mu'ayat Shah mangkat. Takhta Johor diserahkan kepada Sultan Abdul Jalil Shah III. Pahang disatukan dibawah pemerintahan Johor. 

1624:
Sultan Abdul Jalil Shah III berkahwin dengan Phra Nang Chao Ying Paduka Seri Raja Kuning Binti Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin Shah, Raja Perempuan Patani. 


1627: 
Sultan Mansur Shah II ditawan ke Aceh. Aceh melantik adinda Sultan Mukaddam Shah, Raja Mahmud sebagai Sultan Perak ke-8 bergelar Sultan Mahmud Shah I.

1630: 
Sultan Mahmud Shah I mangkat. Anakanda baginda, Raja Kobat menaiki takhta bergelar Sultan Salehuddin Shah Ibni Sultan Mahmud Shah.

1632:
Phra Nang Chao Ying Paduka Seri Raja Kuning Binti Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin Shah, Raja Perempuan Patani sekali lagi berkahwin, dengan Yang Dipertuan Muda, anakanda Sultan Alauddin Riayat Shah III yang ketika itu menjadi wakil pemerintah di Terengganu.

1635: 
Sultan Salehuddin Shah mangkat di Aceh. Keturunan langsung dari Kesultanan Melaka dalam Kesultanan Perak berakhir.

1636: 
1) Sultan Aceh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Shah mangkat. Baginda digantikan oleh menantunya, putera diraja dari Pahang iaitu Raja Mughal bergelar Paduka Seri Sultan Iskandar Thani Alauddin Mughayat Shah.

2) Kesultanan Aceh melantik Raja Muzaffar, kerabat diraja Siak yang juga merupakan menantu Raja Kechil Lasa Inu Ibni Sultan Ahmad Tajuddin sebagai Sultan Perak ke-10. Baginda bergelar Sultan Muzaffar Shah II Jalilullah Ibni Raja Mahmud. Pertabalan baginda memulakan Dinasti Siak dalam Kesultanan Perak yang hanya mewarisi darah Kesultanan Melaka melalui waris ibu.

1641:
Sultan Iskandar Thani Alauddin Mughayat Shah mangkat. Takhta Aceh diserahkan kepada permaisuri baginda, Putri Sri Alam bergelar Paduka Seri Sultanah Ratu Safiatuddin Tajul Alam Shah Johan Berdaulat Binti Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Shah. 

1649:
Phra Nang Chao Ying Paduka Seri Raja Kuning Binti Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin Shah, Raja Perempuan Patani mangkat.

1654:
Sultan Muzaffar Shah III Jaliullah mangkat. Puteranya, Raja Mahmud ditabal menjadi sultan bergelar Paduka Seri Sultan Mahmud Iskandar Shah Auliallah. 

1675:
Ratu Safiatuddin Tajul Alam mangkat tanpa waris. Baginda telah menamakan Seri Para Puteri Binti Malik Mahmud Qithul Kahar Shah, keturunan dari Sultan Alauddin Qahar, Sultan Aceh III sebagai pengganti. Seri Para Puteri bergelar Paduka Seri Sultanah Nurul Alam Naqiatuddin Shah.

1677:
Sultan Abdul Jalil Shah III mangkat. Takhta Johor diserahkan kepada anakanda Raja Bajau Ibni Sultan Abdullah Mu'ayat Shah, bergelar Paduka Seri Sultan Ibrahim Shah Ibni Yamtuan Muda Raja Bajau.

1678:
Sultanah Aceh, Sultanah Nurul Alam mangkat. Baginda digantikan oleh puterinya, Puteri Raja Setia yang bergelar Paduka Seri Sultanah Inayat Zakiatuddin Shah.

1688:
Sultanah Aceh, Sultanah Inayat Zakiatuddin Shah mangkat. Takhta Aceh diserahkan kepada Paduka Seri Baginda Sultanah Zainatuddin Kamalat Shah. 

1685:
Sultan Ibrahim Shah mangkat. Takhta Johor diserahkan kepada anakandanya, Paduka Seri Sultan Mahmud Shah II.

1699:
1) Sultan Mahmud Shah II mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama di Kota Tinggi, Johor. Kesultanan Johor dari keturunan Kesultanan Melaka berakhir. Kesultanan Johor dari Dinasti Bendahara bermula dengan pertabalan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV Ibni Dato' Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid. Menandakan bermulanya era pemerintahan Johor dari keturunan campuran Melayu-Arab.

2) Sultanah Aceh, Sultanah Zainatuddin Kamalat Shah diturunkan takhta. Menandakan berakhirnya era pemerintahan empat Sultanah Aceh. Takhta Aceh diserahkan kepada bangsawan keturunan Arab, Sultan Badrul Alam Sharif Hashim Jamaluddin. Menandakan bermulanya era pemerintahan Aceh dari keturunan campuran Melayu-Arab.


Rujukan:
1) http://www.royalark.net/Malaysia/malacca2.htm
2) http://www.royalark.net/Malaysia/kelantan.htm
3) http://www.royalark.net/Malaysia/pahang2.htm
4) http://www.royalark.net/Malaysia/perak.htm
5) http://sejarahbangsamelayuyanghilang.blogspot.my/2011/12/adruja-wijayamala-singa-puteri-wirawati.html 



0 comments: