E-mail: KimPutra.94@gmail.com

NEGARA MAJU: MELAYU BELUM BERSEDIA.



Wawasan 2020 mungkin hanya tinggal mimpi indah. Bagaimana tidaknya menjadi sekadar angan-angan, jika rakyatnya masih belum bersedia mencapai taraf negara maju.

Masakan tidak, sifat malas dan tidak cekap sentiasa merajai jiwa. Beratur depan mesin ATM punya lama, bila tiba giliran baru terhegeh-hegeh keluarkan kad. Mengapa tidak disedia sedari awal ketika beratur? Contoh lainnya, tunggu sehingga cawan berkulat baru hendak dibasuh. Selalunya budaya ini berlaku di asrama - tidak kira institusi pengajian tinggi mahupun sekolah.

Itu mukadimah. 



Barah bangsa ialah sikap beriktikad bahawa hanya ideologi dan doktrin parti politik mereka sahaja yang betul. Kesetiaan kepada kumpulan atau individu semata-mata. Ini tidak boleh berlaku. Obses terhadap satu pihak semata-mata. Tidak sedia membuka minda? Pantang berbeza pandangan, kalau ukhwah itu terlihat zahir ibarat tali panjang, mahu dikerat-kerat dicincang dibakar hangus menjadi debu ditabur di lautan gamaknya. 


Jika bekerja, habuannya mestilah lebih dari usaha. Kita ini jenisnya manja. Perlu duduk dalam bilik berpendingin hawa, mana boleh berpeluh. Kerja mesti pegang pen, itupun sekadar menconteng-conteng. Kerja conteng-conteng pun gajinya perlulah lumayan, kurang-kurang RM20K baru setimpal. Jika menjadi pembesar rakyat, perlulah rakyat yang datang menghadap membawa hadiah. Duit pembesar mana boleh sentuh, nanti ikat perut katanya. Oh ya, rakyat janganlah mengeluh, pembesar penat menjaga rakyat, sampai berdengkur ketika bersidang. Maklumlah, penat berkerja pula mahu bersidang, mana cukup tidur. Di dewan sidanglah tempat tidur. Iyalah, kenalah berkerja keras, orang-orang besar mana dapat subsidi. Rakyat kena bersyukur, kerja kuat jangan mengeluh. Rakyat ada masa bercucuk tanam menternak ayam, ada juga sumber makan tambahan. Orang-orang besar sibuk, tidak sempat menambah sumber makan. Isteri-isteri rakyat boleh sediakan bekal, jimat wang. Isteri-isteri orang besar mana sempat memasak, perlu ikut suami ke mana sahaja, punya bosan sampai main singgung-menyinggung. 

Tapi, bukan semua jenis tidak turun padang. Ada juga yang rajin turun ke padang. Kadang-kadang tidak cukup padang, jalan pun diserbunya. Iyalah, buat kerja katanya. Tidak cukup jalan awam, pagar-pagar dan pintu-pintu persendirian juga perlu dirempuh. Inilah kuat berkerja namanya. Orang kata kalau komited dan berdedikasi menjaga rakyat, kenalah jelajah seluruh negara. Sampaikan dan buktikan kegigihan itu. Kalau panas tidak mengapa, bawalah kipas tangan sendiri. Dari siang sampai ke malam kena berkerja untuk rakyat. Setiap padang, jalan, markas sampailah ke kampus perlu dijejak. Bukan menunjuk sangat, tapi iyalah kerja menjaga rakyat kan. Pembesar begini bagus, gaji tidak perlu besar-besar, cukuplah seringgit. Semangat berkhidmat untuk rakyat perlulah diterapkan dalam diri ahli keluarga. Anak dan isteri juga perlu berkhidmat untuk rakyat. Biar keluarga ada pangkat, baru orang hormat. Cuma, bukan minta dihormat, kebiasaanya begitu bagi yang berkhidmat untuk rakyat. Kuat bekerja sampai akhirnya baru terfikir masa untuk keluarga. Tidak mengapa, kerja tetap kerja. Demi rakyat, cantas saja perosak. Senang cerita. 


Itu baru bab kerja, belum masuk bab sikap bangsa yang 'terlalu pemurah lagi pengasih'. Terlalu diikutkan sangat kehendak rakan sekutu. Berilah apa saja milik bangsa asalkan sokongan tetap ada. Persoalannya, adakah sokongan itu wujud? Haih, mungkin berpegang pada prinsip biar tiap yang mematah tegak yang memijak henyak, pelukan dan ciuman untuk sekutu bukan seagama itu tetap dipertahankan meskipun berbeza bangsa dan agamanya. Meski pakatan yang terjalin itu rapuh, kadang tidak setia, selalunya dikhianati, lawan tetap lawan. Berilah nama tuhanmu, kafirlah musuh politikmu, biarlah terbuka aurat anak isterimu, asalkan kesepakatan itu terjalin. Ceh. Hari ini dikikis sedikit demi sedikit benteng keamanan dan keharmonian, dicarik kestabilan sosial, dibogelkan nilai integriti, direntap erti perpaduan, diapi-apikan perbezaan, dijauh-jauhkan persamaa. Oh, tahaluf siyasi. Maaf saya terlupa. Tahaluf siyasi tidak mengapa, jangan berpakat mahupun berbaris dalam mewujudkan perikatan ataupun blok persamaan politik. Ini bahaya. Katanya pengkhianatan agama. Eh? Oh iya, asalkan terma itu dalam bahasa Arab, tidak mengapa tidak bersalah, wajib diikuti gamaknya. 


Demi rakyat, tidak apalah agaknya untuk berpecah tiga. Janji selesa di kerusi kuasa. Agaknya sudah lupa, kerusi empuk lama-lama keras juga. Sadis lagi, kerusi boleh patah juga. Aduhlah kelompok ini, Raja-Raja pula gelisah diatas takhta. Masakan tidaknya, akarnya rapuh sedangkan ia pepohon yang merendang melindungi mereka. Menangislah Paduka Sultan melihat rakyat bangsanya berpatah arang berkerat rotan, tidak mahu menjadi seperti kiambang yang bertaut kembali sesudah biduk berlalu. Entah-entah apa yang baginda risaukan sebenarnya sedang terjadi, iaitu ada insan Melayu yang menjadi kuda Trojan, memudahkan musuh masuk ke dalam benteng bangsa
.

Benarlah, mereka ini hanya menghitung hari untuk terus bertahan ditampuk kuasa. 1,2, 3. Mungkin pada yang ke-4, kita bukan lagi siapa-siapa di tanah sendiri. Sudahlah tidak mahu menjaga tanah bangsa, dikorek pula kubur bangsa. 



Pena Papan Kekunci.

0 comments: