E-mail: KimPutra.94@gmail.com
Showing posts with label Suatu ketika... Show all posts

Adruja: Puteri Singa Pemenggal Kepala

gambar hiasan

Kerajaan Grahi merupakan sebuah kerajaan Melayu lama yang tertegak di utara Semenanjung Tanah Melayu.

Ketika pemerintahan Maharaja Grahi ketiga, Raja Sang Tawal (Sultan Muhammad), lahir seorang puteri yang bakal memahat sejarah agung bangsa Melayu. Dipercayai bahawa ketika itu, masyarakat Grahi sebilangannya masih beragama Hindu, atau sekurang-kurangnya masih kuat dengan pengaruh Hindu.

Puteri kesayangan Raja Sang Tawal ini bernama Adruja Wijayamala Singha yang bererti 'Raja besar,seroja sakti sang singa'. Kerana sikapnya yang tegas dan garang, baginda puteri digelar 'Dewi Urduga'.

Saudara kandung Adruja ialah Raja Bharubhasa, Raja Singhadiraja, Puteri Cendana dan Puteri Linang Cahaya.

Kelahiran Adruja ialah ketika Kerajaan Grahi diancam serangan Siam Sukhothai dibawah pemerintahan Raja Rama Khamheang. Nenda Adruja, iaitu Raja Sakranta pernah menghalang perluasan kuasa yang dilakukan oleh Raja Rama Khamheang.

Adruja dibesarkan dengan minat yang sangat mendalam terhadap ilmu perang. Sejak kecil lagi, puteri ini mahir menunggang kuda, memanah dan bermain kelewang (sejenis senjata). Biarpun bersikap seperti lelaki, Adruja mempunyai minat terhadap wangi-wangian dan memiliki wangian khas yang diperbuat daripada campuran kayu cendana dan bunga melur.

Meningkat remaja, dalam usia belasan tahun Adruja telah mengikuti ayahandanya berangkat ke medan perang, dan menjadi pembawa bendera Kerajaan Grahi. Adruja bertindak sebagai pendamping dan merawat ayahandanya setiap kali berlaku peperangan.

Melihatkan keadaan angkatan perang Grahi yang tidak mempunyai samangat juang yang tinggi, Adruja mengemukakan cadangannya membentuk satu pasukan khas yang terdiri daripada golongan wanita. Hal ini bagi membantu pertahanan Grahi, selain untuk membela nasib kaum wanita yang sering diperkosa oleh tentera Sukhothai apabila berlaku pencerobohan.

Raja Sang Tawal pada awalnya menolak cadangan tersebut, namun berubah fikiran dan akhirnya menerima. baginda juga berusaha mengahwinkan puteri kesayangannya, namun Adruja menolak dengan keras.

Setelah mendapat perkenan, Adruja memulakan usahanya mengumpul wanita untuk menubuhkan pasukan khas yang dicita-citakannya. Namun usahanya ditolak dan tidak mendapat sambutan. Berang dengan respon dari kaum wanita, Adruja memarahi dan memprovok mereka dengan mengungkit perbuatan tentera Sukhothai yang ingin menjarah bumi Grahi. Hasilnya, 41 orang wanita (janda muda) menyahut seruan Adruja dan akhirnya tertubuh satu pasukan khas bernama Pasukan Seri Wijayamala.

Raja Sang Tawal dan para menterinya sedang berbincang dan melihat selembar peta perang saat Adruja masuk menghadap. Daun tingkap istana dikuak, kelihatan sepasukan wanita bersenjata siap berkumpul kemas di halaman istana. Sekumpulan panglima memperlekehkan kemampuan pasukan Seri Wijayamala dan menyebabkan Adruja murka. Adruja menarik salah seorang panglima lalu dibawa ke jendela istana. Beliau kemudian memerintahkan seorang pengikutnya mara ke hadapan dan memanah ke arah panglima tersebut. Panah membelah angin dan melekat di daun tingkat, hanya sejengkal dari muka panglima tersebut.
Keberanian dan kecekapan Adruja serta pasukannya menyebabkan semua panglima terdiam.

Suatu hari, pasukan tentera Sukhothai menceroboh sebuah perkampungan di pinggir Kota Grahi. Kealpaan tentera Grahi menyebabkan tentera Sukhothai menjarah seisi kampung. Nyaris, pasukan Seri Wijayamala menyedari dan membuat serangan balas menyebabkan pasukan tentera Sukhothai tewas.

Mendengar berita kekalahan tersebut, Raja Rama Khamheang murka dan memerintahkan pasukan tentera untuk memerangi Kerajaan Grahi atas pimpinan baginda sendiri. Persiapan dilakukan dan mereka mula bergerak ke selatan menuju Grahi.

Persidangan tergempar diadakan. Raja Sang Tawal memutuskan untuk memimpin tentera keluar menyekat dan memerangi Rama Khamheang sebelum tiba di Kota Grahi. Adruja diarahkan untuk tinggal di Kota Grahi dengan tegas.

Seawal pagi, ketika tentera Grahi telah keluar menuju medan perang, Kota Grahi dikejutkan dengan pencerobohan pasukan tentera Sukhothai. Raja Rama Khamheang telah membahagikan tenteranya kepada dua kumpulan, satu untuk berhadapan dengan tentera Grahi dan satu lagi menceroboh Kota Grahi.

Melihat kekecohan tersebut, Adruja memerintahkan pasukan Seri Wijayamala untuk memukul undur pasukan Sukhothai di dalam kota. Persaingan sengit berlaku dan ramai penduduk kota terbunuh. Akhirnya pasukan Seri Wijayamala berjaya mempertahankan Kota Grahi dan membunuh tentera Sukhothai.

Marah dan kecewa dengan kerosakan dan pembunuhan yang berlaku, Adruja memimpin Seri Wijayamala menuju ke medan perang sebagai pasukan tambahan untuk membantu Raja Sang Tawal. Adruja mengikat kain kuning di kepalanya dan memerintahkan ahli Seri Wijayamala mengikat kain hijau di kepala masing-masing.

Ternyata, pasukan Raja Sang Tawal terpukul teruk memandangkan pasukan tentera Sukhothai memiliki pasukan tentera bergajah. Gajah perang terlatih ternyata menyebabkan pasukan Grahi hampir-hampir kalah.
Dengan persediaan yang ada, pasukan Seri Wijayamala mula membuat serangan balas dan menguatkan semula kekuatan pasukan Grahi.

Dalam kekecohan perang, Adruja dan beberapa orang dari pasukannya mengatur langkah mencari Rama Khamheang. Mereka mendekati gajah tunggangan Rama Khamheang dan melontar tombak lalu menyebabkan Rama Khamheang terbunuh. Jasadnya terjatuh dari rengga (binaan khas seperti tandu diatas gajah).

Adruja lantas mendapatkan jasad tersebut lalu menusuk dengan kelewang (yang diberi nama Kilantan) menyebabkan perut Rama Khamhenag terburai dan menusuk sehingga ke tengkoraknya. Tindakannya menyebabkan segala organ raja itu pecah lalu kelewangnya dicabut. Dengan sekali tetakan, kepala Raja Rama Khamheang terputus dari badannya.

Adruja lantas memerintahkan pasukannya mengherat jasad tanpa kepala itu untuk dibuang ke laut. Tentera Sukhothai yang berang cuba untuk menghalang namun dibunuh oleh pasukan Seri Wijayamala yang lain.
Belalai gajah-gajah perang dicantas menyebabkan tunggangan perang tersebut bertindak liar akibat kesakitan dan merempuh pasukan Sukhothai sendiri.

Pasukan Sukhothai mengalami mimpi ngeri, bukan sahaja kalah teruk bahkan raja mereka turut maut dengan ngeri dan tiada jasad untuk disemadikan. Kepala Rama Khamheang dibawa pulang ke Grahi sebagai tanda kekalahan Sukhothai. Beberapa bulan kemudian, sekumpulan sami dari Sukhothai menuju Grahi. Mereka membawa 10 pedati berisi emas dan perak untuk menebus kembali kepala Rama Khamheang.
Monumen Raja Rama Khamheang

Kemangkatan Raja Rama Khamheang yang dibunuh dengan kejam telah menyebabkan anakandanya, Raja Loethai bersumpah untuk menghapuskan bangsa Melayu dari Grahi. Setelah lengkap persiapan dibuat, baginda memimpin pasukan Sukhothai memerangi Grahi.

Akhirnya, Kerajaan Grahi tumbang apabila tewas diceroboh oleh tentera Sukhothai. Raja Sang tawal berserta kerabat, pembesar dan pemgikutnya berundur dan mendirikan Kota Mahligai. Baginda ditabal sebagai pemerintah Langkasuka. Pemerintahan Raja Sang Tawal kemudiannya digantikan oleh puteranya, Raja Bharubhasa. Ketika pemerintasan Raja Bharubhasa, Langkasuka mula diislamkan secara meluas.

Sebelum mangkat, Raja Sang Tawal telah menganugerahkan sebuah negeri kepada Adruja Wijayamala Singha. Negeri ini dikenali sebagai Kerajaan Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau juga dikenali sebagai Kesultanan Kisaran Payung.

*(Dipercayai Kerajaan Kisaran Payung ini terletak di jajahan Kuala Krai.)

Di sini, Adruja digelar sebagai Cik Siti Wan Kembang yang kemudiannya menjadi gelaran rasmi kepada pemerintah perempuan di wilayah tersebut.

Adruja Wijayamala Singha mangkat setelah sepuluh tahun memerintah Kesultanan Kisaran Payung. Saudara kandungnya, Raja Bharubhasa melepaskan takhta Langkasuka dan ditabalkan sebagai Sultan Serendah Sekebun Bunga-Kisaran Payung dengan gelaran Sultan Mahmud Shah. Adinda baginda, Raja Singadhiraja menaiki takhta Langkasuka dan bergelar Sultan Sulaiman.

Kerajaan Serendah Sekebun Bunga-Kisaran Payung diperintah selama beberapa generasi oleh keturunan Raja Bharubhasa, sehinggalah waris terakhir, Wang Kembang Binti Sultan Ahmad menjadi Raja Perempuan.
Adruja Wijayamala dan Wan Kembang Sultan Ahmad

Cik Siti Wang Kembang II telah menukar nama kerajaan ini menjadi Serendah Sekebun Bunga-Cerang Tegayung dan menjadi waris terakhir Raja Bharubhasa. Kemangkatan Cik Siti Wan Kembang II tanpa meninggalkan waris menyebabkan Kesultanan Jembal mengambil alih dan meletakkan negeri ini sebagai sebahagian daripada wilayah Kesultanan Jembal.

Sumber:
(http://sejarahbangsamelayuyanghilang.blogspot.com/2011/12/adruja-wijayamala-singa-puteri-wirawati.html)

MAHARAJA: Pemanggil Islam ke Bumi Jepun

Nama: Maharaja Mutsuhito
*(Digelar Maharaja Meiji selepas kemangkatannya)

Lahir: 3 November 1852
Mangkat: 30 Julai 1912
Pemerintahan: 3 Februari 1867-30 Julai 1912
Ayahanda: Maharaja Komei
Bonda: Gundik Diraja Nakayama Yoshiko
Pasangan: Maharani Shoken

Baginda merupakan Maharaja Jepun Ke-122 yang memerintah Negara Matahari Terbit dan menaiki takhta ketika berusia 15 tahun.
Baginda merupakan individu yang bertanggungjawab membawa Jepun ke arah pembangunan dan pemodenan.

Pada 6 November 1867, baginda telah memindahkan ibu negara Jepun dari Kyoto ke Edo (kini Tokyo).

Ketika sedang sibuk membangunkan Jepun, baginda merasakan bahawa Jepun masih kekurangan sesuatu. Atas kesedaran itu, sepucuk surat diutus kepada Khalifah Abdul Hamid II, Khalifah Islam dari Dinasti Uthmaniyyah di Istanbul,Turki.
Khalifah Abdul Hamid II

“Kita berdua adalah Maharaja Timur, dan sudah tentu menjadi tuntutan keperluan sesama kita dan rakyat kita, untuk bersahabat dan saling berhubung, sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat Barat sesama mereka, tatkala Barat itu juga melihat kita sebagai ’satu’ iaitu ‘orang Timur’. Beta melihat orang Barat menghantar misionari mereka ke negara ini untuk menyebarkan agama mereka kerana kebebasan beragama yang ada di sini…
Beta melihat tuan tidak melakukan perkara yang sama. Beta mahu tuan menghantar pendakwah-pendakwah ke negeri ini untuk mengajar dan menyebarkan agama tuan, yang boleh menjadi asas ikatan moral antara kita!”.
*(petikan dari artikel Saiful Islam)
Delegasi Ertugrul

Pada 14 Julai 1889, delegasi Islam dari Istanbul berlayar menuju ke Jepun. Diketuai oleh Kapten Ali Bey dan kapal Ertugrul, bersama 607 anak kapal dan 57 pegawai mereka tiba di Yokohama pada 7 Jun 1890.

Pada 15 September 1890, delegasi Ertugrul memulakan pelayaran pulang walaupun dihalang keras oleh pihak Jepun memandangkan musim taufan sedang melanda.
Pada pagi 16 September 1890, Ertugrul yang sedang melalui detik-detik cemas melanggar terumbu di persekitaran Pulai Oshima dan karam.

Ertugrul bukan sahaja karam bersama 1001 kenangan perjalanannya, hadiah-hadiah dari Maharaja, ia turut tenggelam bersama mesej-mesej umat Islam kepada Khalifah di Istanbul.

Monumen memperingati delegasi Ertugrul

MELAYU SRIVIJAYA: Keagungan Sebuah Survival



SRIVIJAYA: Keagungan Melayu, Survival dan Undangan Islam ke Nusantara.


Srivijaya merupakan sebuah Empayar Melayu Purba yang wujud ratusan tahun lampau di Sumatera. Srivijaya dikenali dengan berbagai nama seperti Sanfotsi atau San Fo Qi oleh orang Cina, Yavadeh (Pali), Zabaq (Arab) dan Melayu (Khmer).

Srivijaya dipercayai diasaskan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa, seperti yang tercatat dalam Prasasti Kedukan Bukit bertarikh 605 saka (683 Masihi) bersama 20,000 angkatan tentera dari Minanga Tamwan ke Metayap.

Walaupun masih terdapat perdebatan, sejarawan umumnya meyakini bahawa Sri Jayanasa berasal dari Tanah Melayu dan Minanga Tamwan juga terletak di Tanah Melayu.

*(Atas persepakatan tersebut, membuktikan bahawa Parameswara bukanlah pelarian politik, sebaliknya pemerintah yang meninggalkan ibu kotanya ke kawasan taklukan yang lain, seperti Sultan Mahmud Shah yang meninggalkan Kota Melaka dan berundur ke Johor dan Kampar yang masih di bawa kuasa baginda)

Srivijaya merupakan empayar besar yang menguasai Sumatera, Tanah Melayu membawa ke Champa.

Srivijaya berkembang sebagai kuasa maritim yang menguasai perdagangan di Selat Melaka dan Selat Sunda.

Pusat bandar utama Srivijaya ialah Palembang, Muara Jambi, Kedah dan Chaiya.

Ketika era kegemilangannya, Srivijaya merangkumi 15 negeri iaitu
1) Chou-Ju-Kua; Pong-fong (Pahang)
2) Tong-ya-nung (Terengganu)
3) Ling-ya-si-kia (Langkasuka)
4) Kilan-tan (Kelantan)
5) Fo-lo-an (Dungun)
6) Ji-lo-t'ing (Cherating)
7) Ts'ien-mai (Semawe,Semenanjung)
8) Pa-t'a (Sungai Paka, Utara Semenanjung)
9) Ta-ma-ling (Tambralinga/Ligor/Nakhon Sri Thammarat)
9) Kia-lo-hi (Krabi)
10) Pa-lin-fong (Palembang)
11) Sin-t'o (Sunda)
12) Lan-wu-li (Lamuri di Aceh)
13) Kien-pi (Jambi)
14) Si-lan (Kemboja).

Pengaruh Srivijaya meluas sehingga berlaku penghijrahan masyarakat Melayu ke Madagascar, Borneo dan Filipina (Sulu dan Visayas).
Pada kurun ke-10, Kerajaan Tondo yang berada di bawah pengaruh Srivijaya ditubuhkan di Manila.

Candi Borobodor dan Universiti Nalanda yang merupakan pusat pengajian agama Buddha dibina ketika kegemilangan Empayar Srivijaya.

Kejatuhan Srivijaya bermula akibat serangan Rajendra Chola I pada 1025 yang menyebabkan ibu kota Srivijaya di Kadaram (Kedah) ditawan dan Maharaja Sri Sangrama Vijayatunggavarman ditawan.

Kekuasaan Srivijaya mulai melemah apabila banyak negeri taklukannya ditawan dan membebaskan diri lalu membentuk kekuasaan politik baru seperti Kediri dan Singhasari.

Menjelang tahun 1292, Kerajaan Srivijaya jatuh sepenuhnya dan menggugah tradisi pemerintahan Istana Melayu. Namun, pada 1324 seorang putera warisan Srivijaya bernama Sang Nila Utama telah mendirikan Kerajaan Temasek/ Singapura Lama.

Serangan Siam antara tahun 1330-1334 memaksa pewaris Sang Nila Utama, iaitu Parameswara untuk mengundur diri dan mengasaskan Kesultanan Melayu Melaka.
Kesultanan Melayu Melaka tumbang setelah diserang oleh Portugis dari Barat dan mewariskan:

1) Kesultanan Johor
1528-kini: Bermula dari Sultan Alaudin Riayat Shah Ibni Sultan Mahmud Shah Melaka, namun Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Ibrahim Shah merupakan Sultan terakhir dari keturunan Diraja Melaka yang mangkat pada 1699 tanpa waris.
Takhta diwarisi oleh Wangsa Bendahara bermula dengan Sultan Abdul Jalil IV dan berakhir denga Sultan Ali pada 1877.
Seterusya takhta Johor dipegang oleh Wangsa Temenggung bermula pemerintahan Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim Ibni Temenggung Abdul Rahman.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar merupakan Sultan Johor ke-25 dan Sultan ke-5 dari Wangsa Temenggung bermula tahun 2010.

Sultan Ibrahim  Johor

2) Kesultanan Perak
1528-kini: Bermula dengan Sultan Mudzaffar Shah Ibni Sultan Mahmud Shah Melaka sebagai Sultan Pertama. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Ghafarullahulah Shah merupakan Sultan Perak ke-34 yang bermula 3 Februari 1984.



Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Perak
3) Kesultanan Pahang
1470-kini: Bermula dengan Sultan Muhammad Shah Ibni Sultan Mansur Shah Melaka sebagai Sultan Pertama, namun pemerintahan langsungdari keturunan Diraja Melaka secara faktanya tamat pada tahun 1617 apabila Sultan Ahmad Shah Ibni Sultan Abdul Kadir Alaudin Shah ditawan oleh Sultan Iskandar Muda dari Aceh.
Pahang kemudiannya diletakkan dibawah pemerintahan Sultan Johor sehingga tahun 1699. Bermula tahun 1688, Wangsa Bendahara telahpun menguasai pemerintahan Negeri Pahang oleh Tun Habib Abdul Majid Bin Sayyid Zainal Abidin Bin Sayyid Abdullah Al-Idrus sehinggalah perlantikan Tun Abdul Jalil Bin Tun Habib Abdul Majid sebagai Sultan Johor pada 1699.
Pada tahun 1882, Bendahara Wan Ahmad secara rasmi ditabalkan sebagai Sultan Pahang Wangsa Bendahara pertama dengan gelaran Sultan Ahmad Muazzam Shah Ibni Raja Bendahara Tun Mutahir.
Kini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'Adzam Shah merupakan Sultan Pahang ke-5 dari Wangsa Bendahara.

Sultan Haji Ahmad Al-Musta'in Billah Pahang
Empayar Melayu Srivijaya yang mula diasaskan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa telah melalui detik-detik kegemilangan yang agung. Demi memastikan kelangsungan warisan keagungan Empayar Melayu Srivijaya bertahan sebagai bukti kehebatan bangsa Melayu, titisan zuriat diraja agung ini terpaksa mengharungi pelbagai peristiwa getir. Meskipun telah lahir bermacam-macam Kesultanan Melayu sebagai pewaris Srivijaya, ternyata Kesultanan Melayu Perak merupakan survival tunggal yang masih bertahan.

Istimewa tentang Empayar Srivijaya ialah, seorang Maharajanya telah mengutus surat kepada Khalifah Islam meminta disebarkan dakwah Islam di jajahannya, jauh beratus tahun lebih awal dari permintaan Maharaja Mutsuhito Meiji dari Jepun.

Pada tahun 100 Hijrah (718 Masihi), Maharaja Sri Indravarman telah menghantar sepucuk surat kepada Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang berbunyi:

" Dari Raja segala Raja (Malik Al-Amlak)- yang berketurunan seribu raja, yang kandangnya berisi beribu gajah, dan kawasan taklukannya adalah dua sungai, yang mengairi tanam-tanaman, wangi-wangian, pohon pala, dan kapur barus, yang harumnya semerbak 12 batu jauhnya. Kepada Raja Arab, yang tidak menyekutukan tuhan selain tuhan yang satu (Allah), beta telah menghantar hadiah yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan, dan beta berharap agar anda mengirim seseorang yang dapat mengajarkan ajaran Islam dan undang-undangnya."
*( Catatan Ibnu Rabbih: 860-940M)

"Ni pergi dulu.."

            "Weh,kami balik dululah ye dah nak masuk waktu Maghrib ni..Esok kita main lagi." Ucap Zirah sambil melangkah pulang seiring langkah kaki kakaknya,Dayah.
"Ok! Esok datang lagi tau!" Laung Kim sambil menutup pintu.
"Weh Kim! Kau tutup pintu tu buat apa? Muni nak masuklah.Kau tinggal je akak kau kat luar?" Jerit Zirah sedikit berang melihat gelagat Kim yang tidak menghiraukan kakaknya yang masih berada di luar rumah.
Pintu masih  terkatup rapi.Tiada sebarang reaksi.
Tangannya dipaut dari belakang. "Zirah,kau tak tahu ke aku dah pindah? Aku tak duduk dalam rumah ni dah." Tiba-tiba Muni menyapa dari belakang. " Eh? Bila kau pindah? tak tahu pun?" Terpinga-pinga Zirah apabila Muni kata begitu.
Matanya redup.Sayu memandang wajah temannya itu."Aku dah pindah belakang masjid.Datanglah ziarah aku."Senyum tawar menghiasi bibir pucat itu.
        " Astarghfirullahal'azim!"  Zirah mengucap panjang sebaik tersedar dari tidur.Rintik-rintik peluh di dahinya disapu."Ya Allah,mimpi ni lagi." Satu keluhan halus dilepaskan."Muni.." Air matanya menitik lagi.
------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Mak datang tau hari selasa nanti. Ni nak mak ada waktu Ni nak exam."Ujarnya tatkala melabuhkan punggung ke dalam kereta.
"Ye,mak datang nanti..Mak datang dengan Abah petang tu." Senyuman mengiringi tatkala janji diutarakan.
Kereta Kia Citra hitam itu lantas bergerak meninggalkan teratak yang mula didiami kira-kira 19 tahun lalu.
Pandangan mata tua mereka akhirnya berkalih memandang sesama sendiri.Terasa sunyi petang Aidiladha itu apabila anak-anak telah pulang.
              Keesokan harinya, seusai solat Juma'at,Anum dan keluarganya bersiap-siap untuk pulang ke kampung suaminya di Kelantan.Beg-beg pakaian disumbat kedalam buntut kereta.Segala barang keperluan disiapkan dan disimpan.Khuatir tertinggal.Enjin kereta dihidupkan.Mobil itu mengundur kebelakang,dan menjadikan rumah teres dua tingkat itu di kirinya.Kepingan cermin disebelah penumpang diturunkan perlahan.Anum memandang adik-adiknya yang sedari tadi setia membantunya.
       "Jaga rumah elok-elok tau.Selasa nanti mak datang,jangan bergaduh pulak.Kalau ada apa-apa telefon Kak Num tau?" Bersungguh-sungguh Anum berpesan kepada adik-adiknya.
         Muni dan Kim hanya diam.Sesekali kepala dianggukkan.Senyuman tidak lekang dari wajah kedua-dua beradik itu. "Eh? Comel je aku tengok si Muni ni.Sebelum-sebelum ni biasa je?" Bisik hati kecil Anum.Hatinya sedikit pelik pada apa yang dilihatnya.Namun semua itu dibiarkan terbang ditiup angin.
         "Kim,jom buat kek lapis?Kamu bancuh macam biasa,nanti Ni kukuskan,boleh?" soalan diaju sebaik kaki melangkah masuk."Kek lapis?boleh je.'' lampu hijau diberikan.Peralatan dan keperluan yang dibawa dari rumah emak dikeluarkan.Plastik tepung digunting.Adunan diputar dengan tekun.
          "Muni! dah siap!" Laungan nyaring dari ruang tamu menyentap lamunan si gadis itu.Penat menyediakan bahan-bahan perwarna dan alatan mengukus tadi,tidak sedar jauh benar dia berkhayal.
          " Ala Kim,warna kuning dah habislah,nak buat macam mana ni?" Berkerut dahinya apabila bahan pewarna kuning telah habis."Emm..kita tak ada pewarna lain ke?" soal Kim teragak-agak.Muni lantas menuju ke kabinet dapur.satu per satu daun pintu dikuak.Tiba-tiba pandangan matanya tertancap pada satu botol berdekatan sinki.
           "Kim!ni ada la.Perwarna perisa keladi,warna ungu,ok tak?"Kim hanya mengangguk.''Boleh juga,kita cuba tengok best tak warna kek kita nanti.Hahaha."Ujar kim teruja."Tapi tak pelik ke nanti kek ni?" Kim akhirnya bersuara apabila bancuhan telah siap diwarna dengan empat warna berbeza dalam empat mangkuk bersaiz sederhana."Tak apa,ni kek kita,biar je.hahaha" Balas Muni sambil tertawa kecil.
Detik-detik berlalu menyaksikan Muni sibuk mengukus kek di dapur.Kim pula sedang sibuk melayari laman sosial "Facebook" diruang tamu."Kim,kamu nak makan apa malam ni?Kita beli je la ye?Ni penat la nak masak.Sat lagi ni keluar dengan kawan Ni,terus je pergi beli.kamu nak apa?"."Apa yang ada kat kedai tu?" soalan dijawab dengan soalan."Emm..burger ada,nak try laksam mee tak? Ni suka laksam mee kat kedai tu,sedap! Nanti Ni bawa kamu makan kat situ." Soalan dijawab bersungguh-sungguh."Ye ke?Emm..Tak nak laksam mee lah kalau macam tu..hahaha..tunggu Muni bawa Kim je nanti baru nak try..hehe..malam ni nak burger je..daging tau!haha." Dalam menjawab sempat lagi mengusik.

         Buku-buku yang bertaburan di ruang tamu itu dikemas semula.Rakan-rakanya akan tiba sebentar lagi.Akim masih menghadapkan wajahnya pada skrin komputer riba."Khusyuknya adik aku ni dengan laptop tu..ish,fikir nak STPM je minggu depan." Monolog sendiri tanpa ada yang mendengari.Bibirnya tiba-tiba mengukir senyuman.Lucu agaknya melihat adiknya itu.
         "Assalamualaikum!" Lamunannya terhenti apabila salam diberi.Bergegas ia membuka pintu.Seulas senyuman dihadiahkan buat para tetamu.Teman-teman yang dinanti telah tiba.Hatinya berbunga-bunga dikunjungi rakan-rakan baiknya itu.Kek lapis dikeluarkan dan dipotong-potong."Hmm..makan le ye,jangan tengok je..ni le kek yang aku janjikan dulu,tapi tak berapa sedap pulak kali ni." Dalam menjemput terdengar sedikit keluhan."Ish Muni ni,asyik tak sedap je,dari semalam bila masak kata tak sedap." Kim bermonolog sendirian.
        "Kim,nak ikut tak?Kami nak pergi pasar malam ni."Muni bertanya sambil bersiap-siap."Tak nak lah,macam le tak tahu yang Kim ni tak suka berjalan-jalan." Kim hanya tersengih-sengih menolak ajakan kakaknya itu.Muni mula merungut dengan perangai Kim.Untuk seketika Kim terpaksa mendengar leteran kakaknya itu.
"Ni tak ada jangan nak main api pulak tau.Tak payah nak masak apa-apa,Ni beli dekat pasar malam je nanti." Beriya-iya Muni berpesan.
"Alahai Muni,pesan macam apa je.Adik kau ni bukannya budak kecil lagi la."Ard bersuara sambil ketawa.Lucu melihat gelagat kawan baiknya itu.
"Eh,kecil tak kecil,aku sayang adik aku ni.Dia ni suka sangat masak Maggi la,goreng telur la."
"Ye Muni,Kim tak main api.Kim duduk depan TV ni je." Kim menjawab bagi meredakan kerisauan hati kakaknya saat itu.Seketika kemudian,bunyi enjin kereta kedengaran meluncur keluar dari tempat parkir kereta.
"Kim,bagi Ni online kejap.Asyik kamu je.Bolehlah,nanti kamu online je le." Ni bersungguh-sungguh mahukan adiknya memberi ruang untuk dia online Facebook.Lama benar rasanya dia tidak online.Komputer riba bertukar tangan.Jari jemari pantas menekan-nekan papan kekunci.
''exam dh tgl shari je lg....luse dh nk exam...arap2 dpt la jwb....x la aq blerrr....''
Status posted.Cepat-cepat  butang logout ditekan.Komputer riba diserah kembali."Kim,malam ni bagi Ni tidur atas tilam kuning tu.Malam ni je.Last,please?" Mintanya sambil sengih dibuat-buat."Emm..ambil le.."
Entah apa mood malam tu,Kim hanya menurut kehendak Muni.Selalunya mereka jarang bertolak ansur.Masing-masing mahu menang.

22 November 2010 :

      "Kim,jangan bangun lambat sangat tau, Ayah Ngah nak datang ambil barang-barang Iepi tau."
Dalam kelewatan untuk ke kelas tambahan,Muni masih sempat berpesan kepada adiknya yang masih nyenyak diulit mimpi.
      "Kalau Ni habis awal,Ni balik cepat,Ni pun nak jumpa Ayah Ngah." Mulutnya masih lancar berkata-kata walaupun Kim tidak membalas."Ayah Ngah sampai mesej Ni tau!" Masih lagi berpesan.
     
"Ayah Ngah sampai dah" -- Message Sent
New Message: ''Ni tengah kelas,kalau habis awal Ni balik cepat.Ni nak jumpa Ayah Ngah"
             "Assalamu'alaikum..Ayah Ngah balik dah ke?"Soalan terus diaju sebaik kaki melangkah masuk.
    "A'ah,Ayah Ngah nak balik awal,takut sampai lambat kat Kelantan nanti." Terlihat riak kehampaan diwajahnya.
           "Hmm..tak pe lah..Ni nak keluar dengan Kak Fatihah,nak pergi beli barang untuk exam esok tau.Jaga rumah elok-elok."Muni kelihatan kelam kabut pagi itu.Beg diletak dan sebungkus keropok dihulur.
           "Kamu habisakan ye,makan ni dulu.Nanti Ni balik Ni masak.Ni pergi dulu tau!" Kim bergerak ke muka pintu.Ceria wajah Muni.

Dalam jam 1.00 tengah hari,telefon Kim berdering. "New number?" hatinya tertanya-tanya.

"Hello?"disapa dalam ragu-ragu.Talian disebelah sana kedengaran tidak jelas.
"Hello,Kim! Ni kak Fatihah ni.Dik kami eksiden ni.Muni.." Talian terputus.
Telefon berdering lagi.Kali ini nombor lain pula. "Hello?"
"Hello,Kim!Muni eksiden,cepat datang hospital!"
"Ish,orang sorang-sorang je dekat rumah ni,macam mana nak pergi?Mak dekat kampung." Hatinya mula kehairanan."Takkan lah eksiden biasa-biasa nak kena pergi juga?"Hatinya masih binggung.
"Tak pe,tunggu sana,Abang Azam ambil."Talian diputuskan.
"Mak,Muni eksiden,Kim nak pergi hospital ni,nanti apa-apa Kim telefon mak."

Hospital Seri Manjung:
      Kaki melangkah dengan pantas masuk ke wad kecemasan. Kim masih terpinga-pinga.Tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekarang. Kimtidak percaya dengan apa yang dilihat oleh matanya saat ni. Sekujur tubuh yang amat dikenalinya itu sedang terbaring di atas strecher.
    "Adik ni waris mangsa ke?Mak ayah tak ada ke?" Soal pegawai di situ. 
    "Mak ada dekat Beruas,kami tinggal berdua je.Mak on the way ke sini."
     "Okay,adik sign kat sini,bagi tau mak tak payah datang sini,terus ke Hospital Ipoh.Kami kena hantar kakak awk ke sana."Jantung Kim tersentap.Seakan-akan mahu berhenti.Tandatangan cepat-cepat diturunkan.
    Kakinya pantas mengekori strecher ke dalam ambulans.Anak tangga ambulans dipijak,badan dipaksa masuk ke dalam.Telinganya menangkap satu suara yang dikenali,wajah dipaling ke belakang. "Mat,Muni..." Suaranya terhenti.Mamat,abangnya yang tua setahun menjenguk keadaan kakak mereka.Matanya turut berkaca.Seketika kemudian,ambulans meluncur laju menuju ke Hospital Ipoh. Ketika di Seri Iskandar, Muni membuka matanya dan meraba bahagian belakang kepalanya.Hati Kim mula riang,tetapi hanya seketika.Muni memejamkan matanya kembali.

Dari jauh Kim sudah dapat melihat wajah sugul ibunya.Sambil ditenteramkan oleh Kak Liza,Mak setia menanti .Strecher diturunkan.Air mata mula membasahi pipi Mak.Ditahan stecher seketika.Pipi pucat Muni dicium dan dahinya diusap.
        "Ni bangun ye sayang,jangan tinggalkan mak.Mak sayang Ni.Mak datang dah,mak dah janji nak jumpa Ni kan?Kuat ye sayang." Air mata berlinangan.Kak Liza turut tidak dapat menahan sebak,air matanya turut tumpah."Kak,sabar Kak.Biar diorang rawat Muni dulu." Kak Liza sehabis mungkin menenangkan Mak.
Beberapa lama kemudian,Chu membawa Mak dan Abah berjumpa Doktor yang memeriksa keadaan Muni.
"Pak Cik,saya tak boleh nak beri harapan pada Pak Cik dan Mak Cik.Keadaan pesakit amat mendukacitakan.Sel-sel otaknya telah mati.Peluang untuk hidup amat tipis.Jika hiduppun,dia tak akan sama seperti dulu.Dia akan memerlukan penjagaan rapi,seperti orang yang tiada upaya,OKU.Kami perlu hantar dia semula ke Hospital Manjung."
Abah terjelupuk saat mendengar perkhabaran itu,Kak Liza memeluk Mak agar tidak tumbang.Kim bergegas keluar ke tempat menunggu.Air matanya tumpah lagi."Ya Allah! Dugaan apakah ini?" Rintihnya pada Allah.Kim memeluk erat Mak,ditenangkan."Kim ikut Muni ye,Mak naik kereta ikut dari belakang.Mak tak sanggup nak tengok Muni macam tu." Pinta Mak dengan air mata yang berderaian.
Tiba di Hospital Seri Manjung,pesakit dihantar ke wad di tingkat atas. “Wad biasa?ICU?” Acik ‘A bertanya kepada kawannya itu. “ICU penuh,jadi kena jugalah tempatkan di wad biasa.Maaf Sa’a,aku boleh tolong ni je untuk anak saudara kau.” Ujarnya meminta difahami.Peralatan perubatan dipasang.Berselirat wayar di tubuh Muni.Seketika kemudian Mak dan Abah yang ditemani saudara terdekat memasuki wad yang menempatkan Muni.Keadaan semakin hiba.Masing-masing kelihatan sugul.Kim yang seharian tidak menjamah makanan Cuma sekadar sekeping roti canai seolah-olah lupa akan kelaparannya saat ini.Adik-beradik yang lain masih belum tiba.Anum dan Zizi masing-masing dalam perjalanan. Yu tidak dapat balik,peperiksaan akhir sedang berlangsung.
“Bang,jom kita pergi makan dulu.Dah pukul berapa ni,Abang pun tak makan lagi dari tadi.” Tiba-tiba Cik Mail bersuara.Cuba memujuk Abah untuk makan,walaupun sekadar mengisi perut.Pujukan berhasil. “Sekadar mengisi perut.”Bisik hati Abah.

"Kim ikut abang balik ea,dari siang tadi kamu dah uruskan Muni,jom balik ikut abang. Pagi esok kita datang balik."Pujuk Zizi. Kim hanya menurut saja. Hatinya berat mahu meninggalkan Muni. Sesampai di rumah Anum, setelah siap mandi, Kim naik ke bilik dan tidur.

Imbas Kembali
                Signal ke kanan diberikan. Motor yang ditunggangi oleh Muni dan Fatihah bergerak ke bahu jalan disebelah kanan. Sebuah kereta Proton Satria berwarna merah yang dinaiki sepasang kekasih berbangsa Cina bergerak laju ke dari arah belakang.
Dummmm!!!! Kereta  Satria itu menghentam motor yang dinaiki dua anak gadis itu. Fatihah tercampak ke bahu jalan. Muni tercampak ke cermin kereta. Merah! Cermin kerata itu merah disimbahi darah. Muka Muni melekap pada cermin,darah tersembur keluar dari mulutnya.
Panik! Pasangan itu panik. Pedal minyak terus ditekan. Tubuh di atas cermin tidak dihiraukan. Sekujur tubuh itu melambung ke tepi jalan. Melihat keadaan Muni, Fatihah berusaha mengesot merapati kawannya itu. Umum disekitar bergegas   mendekati tempat kejadian.  Amukan  dalam jiwa memaksa rata-rata mata yang menyaksikan menggerakkan kaki mengejar  si durjana bangsat yang tidak berhati perut! Pedal minyak tetap dipijak memaksa kereta terus memecut melarikan diri daripada kesalahan.
Nasibnya benar-benar malang,lampu isyarat yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian menghalangnya.Tiada walau secebis ruang untuknya melarikan diri lagi.Pintu kereta dibuka dengan kasar.Kolar bajunya disentap dengan kuat.Gedebuk! Sebiji penumbuk melekat di wajahnya.Panas mukanya menahan pedih.Cecair merah mengalir keluar dari hidung.Dia kini dikerumuni orang ramai yang jelas terpancar kemarahan dalam mata mereka.
Pada masa yang sama,sebuah kereta berhenti.Kedua-dua tubuh yang terbaring di atas jalan diangkat masuk ke dalam kereta.Pedal minyak ditekan dan meluncur laju menuju ke hospital.Darah terus mengalir dari kepala Muni.Matanya terpejam.Tubuhnya kaku tidak bergerak.

23 November 2010 :
Sepulangannya dari kedai membeli sarapan,Kim dan Zizi terus bersiap-siap untuk ke hospital semula.Tidak mahu lambat-lambat untuk menjenguk Muni.Enjin kereta diseberang jalan dihidupkan.Sesampai di hospital,kelihatan ramai saudara mara dan sahabat handai menziarahi pesakit-pesakit di wad itu .Wajah sugul Mak masih setia menunggu di sisi katil.
“Ni baju yang Abang Din bagi.” Beg plastik berisi sepasang baju bertukar tangan. Anum yang tiba dari Kelantan terus sahaja ke hospital.Tidak mahu bertangguh untuk menjenguk adiknya itu. Anum lantas menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan menukar pakaian.
Siang hari di wad itu,pelbagai wajah bersilih ganti melawat Muni.Tapi sekujur tubuh itu tetap kaku. “Kim pergi solat kejap.” Tuturnya berlalu pergi.Seusai solat fardhu Zohor empat raka’at itu,tangannya pantas diangkat memanjatkan doa pada Ilahi yang berkuasa dalam soal hidup dan mati.
“Ya Allah,Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang sembuhkanlah kakakku ya Allah.Janganlah Engkau uji kami dengan sesuatu yang tidak mampu kami hadapi ya Rahman.Ya Rabb,jika sudah sampai perjanjian antara Engkau dengannya,ambillah dia dan jangan Engkau seksa dia sebegitu rupa.Tabahkan hati kami ini ya Allah.” Terasa sebak saat harapan itu dilafazkan.Bukan kerana tidak sayang,tetapi kerana sayang itu telah menidakkan hati untuk terus melihat Muni terseksa sebegitu rupa.
Suasana malam itu sedikit tegang gara-gara ketidak puasan hati beberapa orng waris pesakit terhadap sikap tidak professional yang ditunjukkan oleh seorang Doktor pelatih dan beberapa kakitangan.
“Apa susah sangat ke nak datang periksa orang tua ni?Kalau dia mati lepas kau periksa aku tak ralat la!” Tengking seorang lelaki dalam lingkungan 30-an kepada seorang Doktor pelatih. “Kalau yang tengah sakit ni bapa kau,dan Doktor tu buat benda yang sama,baru kau sedar ke ha?Aku panggil minta elok-elok periksa,yang kau sedap berbual bergelak ketawa!” Amuk lelaki itu.
Orang ramai hanya mendiamkan sendiri,sekadar menjadi pemerhati.Suasana pilu kembali menyelubungi ruang itu tatkala Doktor mengesahkan kematian pesakit tadi.Tidak lama kemudian,Yu tiba bersama-sama seorang saudara.Seusai memeluk Mak bersama linangan air mata,dia bergegas mengambil wuduk.Surah Yasin yang dimashafkan dicapai dan suaranya mula mengalunkan Kalamullah yang diwahyukan kepada Habibullah Muhammad S.A.W  melebihi 1400 tahun lampau.Suasana sepi menyelubungi wad.Alunan bacaan Yassin menjadi halwa telinga saat ini.
24 November 2011:
Seusai menunaikan solat fardhu subuh, Yu bergegas pulang ke kampus.Meskipun berat hati mahu meninggalkan,namun atas nasihat Mak,akhirnya dia akur.Peperiksaan akhir tetap perlu dihabiskan.
“Ayah Ngah dalam perjalanan.” Perkhabaran yang disampaikan oleh Ya sedikit melegakan hati Mak dan Abah.Ayah Ngah,adik Abah yang juga bapa angkat Muni sahaja masih belum tiba menjenguknya.
Kereta diparkir kemas.Enjin dimatikan dan pintu dibuka.Kakinya pantas menapak menuju ke wad.Isterinya dibiarkan menunggu anak mereka yang tidak sihat.
“Muni,Ayah Ngah datang ni.Bangun ye kuatkan semangat.”Kata-kata semangat dibisikkan di telinga.Sebaknya tertahan. “Sabar Yob,sabar.” Ujarnya sambil memeluk erat abangnya,Abah.
Jam menunjukkan waktu sudah menghampiri 3.10 petang. “Kim,ajar Muni mengucap.” Arah Mak.Tanpa banyak soal,Kim menuju ke katil pesaki.Mulutnya dihampirkan ke telinga Muni.
“Ikut Kim mengucap ye Ni, Asyhadual la Illah ha illallah,Muhammadur Rasulullah..” Sebak masih cuba ditahan lagi. “Asyhadual la Illah ha illallah,Muhammadur Rasulullah..”Kalimah suci itu diulang kembali.Air mata tertahan ditubir mata. “Asyhadual la Illah ha illallah,Muhammadur Rasulullah..”Kali ini dia kalah.Air matanya tumpah kembali.Tidak sanggup menahan sedih.
“Maaf,tolong beri laluan untuk kami periksa pesakit.Ahli keluarga diminta ke tepi.” Pinta Doktor untuk memeriksa pesakit.Tirai hijau ditarik dan menghalang pandangan setiap anak mata.
Sepi.Suara masing-masing terhenti.Apakah?Sebentar tadi  semua yang berhimpun bagaikan mahu tercabut jantung melihat kiraan degupan jantung Muni yang amat perlahan dan kerap terhenti.
“Emm.. Pak Cik..Mak Cik..saya harap dapat bertenang..Anak Pak Cik tak dapat diselamatkan.”
Kata-kata yang ibarat petir itu benar-benar meremukredamkan hati mereka. Mak terduduk dengan air mata yang tidak putus-putus berhenti.Wajah Abah benar-benar bagaikan putus nyawa.Anum kelihatan mahu pengsan.Ya tidak melepaskan pelukan suaminya,benar hatinya amat perit.Zizi menghadapkan wajah ke luar jendela.Air matanya cuba disembunyikan dari terlihat,ternyata tumpah jua.Kim memeluk erat Mak.Sungguh dia tidak dapat menerima berita ini.Kim,yang pertama menemui arwah mula-mula kemalangan,dan dia yang terakhir mengajar ucapan “Asyhadual la Illah ha illallah,Muhammadur Rasulullah”.Wajah anak-anak saudara yang masih kecil dipandang.Masing-masing menangis sepertinya memahami Achik mereka telah pergi buat selama-lamanya.Air mata anak-anak kecil it uterus mengalir.Wajah Ainna kelihatan berat menanggung pemergian Achiknya itu.Wajah kosong Naufal dengan untaian air mata memilukan hati.Begitu juga wajah sugul Alya dan wajah sepi Danny,seolah-olah mereka mengerti benar akan keperitan ini.
Suasana benar-benar pilu.Setiap mata yang berada saat itu bagaikan tidak henti-henti mengalirkan air mata.Setelah perbincangan selesai,kata sepakat diputuskan Mak dipapah menuju ke kereta. “Kita bawa balik.Kebumi dekat sana.Rindu-rindu apa-apa hal sengan Eli nak ziarah.” Putus Mak saat Abah meminta jawapan tentang tempat persemadian terakhir arwah.
“Kim nak uruskan sampai semua selesai! Alang-alang tangan ni yang mula uruskan dari mula,biar sampai selesai.” Tegas Kim saat disuruh pulang mengikuti Abah.Semua tidak membantah.Masing-masing tahu perasaan setiap yang terlibat.Zizi memahami.Diajak adik bongsunya itu ke rumah mayat untuk bersama-sama menguruskan jenazah.Mat yang turut berada di situ hanya mengekori sahaja.Mat kelihatan sugul.Kecewa mungkin kerana tidak dapat berada di sisi arwah buat kali terakhir.Bukan tidak sayangkan kakak,jika bukan kerana menduduki SPM sudah lama dia melekat di sisi katil itu.
Seusai pembedahan lanjutan,jenazah ditutupi semula dengan memakaikan baju sejuk milik Zizi.Itulah pakaian yang digunakan untuk menutup aurat jenazah.Sekujur tubuh yang kaku itu diangkat dan dimasukkan ke dalam van jenazah berwarna hijau itu.Beberapa ketika kemudian,van itu mula bergerak meninggalkan persekitaran rumah mayat.
Jarum jam menunjukkan telah hampir pukul 10.00 malam.Mat terpaksa memujuk hatinya untuk pulang ke asrama.Wajah murungnya dipaksa menghadiahkan sebuah senyuman kepada Mak.Wajah Muni dikucupi buat kali terakhir.

25 November 2011 :
Batang tubuh Kim yang terbaring bersebelahan jenazah digoyangkan.Tidak tersedar entah bila dirinya tertidur.Seingatnya sebentar tadi dia sedang membaca al-Quran,bertadarus bersama-sama Anum dan Yu.Terkebil-kebil matanya tersedar dari lena.Kehadiran Zirah lengkap berpakaian sekolah sedikit sebanyak membantu ia kembali kea lam nyata.Dengan pipi dibasahi air mata,wajah pucat Muni dikucupi. “Maafkan kami Muni,kami tak dapat nak tunggu lama.Kami kena pergi sekolah,SPM.” Bisik hati Zirah.Tubuhnya menghampiri mak.Dipeluk erat tanda turut berduka cita.
 “Kim,jom ikut abang,kita pergi beli barang.”Ajak Zizi.Kim hanya mengangguk.Wajah dicuci dan seluar panjang disarung.Tidak lama kemudian kereta WIra berwarna merah hati itu meluncur meninggalkan kawasan rumah.
“Hari tu abang ada bersembang dengan Doktor tu.Dia cakap kalau ikutkan dari keadaan,sepatutnya Muni tu dah meninggal hari dia kemalangan tu juga.Sebenarnya kita ni macam dah simpan mayat selama tiga hari.Janrung dia je yang berfungsi,yang lain semua dah mati.Badan dia pun dah mula mereput.”Hatinya tersentap saat kisah sebenar keadaan arwah diceritakan.Walaupun nada yang dituturkan Zizi amat sayu,perkhabaran itu benar-benar tidak disangka.
Setiba di rumah,kelihatan orang ramai telah mula memenuhi persekitaran.Kaki dilangkah memasuki bilik.Tuala dicapai dan menuju ke rumah jiran untuk menumpang mandi.
Meskipun bekalan elektrik terputus,pengurusan jenazah tetap perlu dijalankan.Rumah itu mulai sesak dek kunjungan orang ramai tanpa henti.Pelik,rumah itu tidak terasa panas dan sesak.Jenazah telahpun siap dimandikan dah telah dikafankan.Cuma bahagian wajah yang masih tidak ditutup untuk tatapan terakhir.Seorang demi seorang  adik-beradik mengucupi dahi Muni buat kali terakhir. “Eh,lain macam pulak wajah si Muni ni.Nampak berseri-seri pulak,lain dari selalu.”Bisik hati Cik Mail saat kaki melangkah masuk menziarah jenazah untuk kali terakhir.
Wajah pucat tapi nampak berseri-seri.Itulah gambaran keadaan Muni pada saat-saat terakhir.Wajah itu ditutup buat selama-lamanya.Perlahan-lahan pandangan mata dihalangi dek helaian kain putih.Siap semua,jenazah diangkat ke atas pengusung.Bacaan selawat dan puji-pujian terhadap Allah dan Rasul-Nya.Pengusung beroda perlahan-lahan ditolak menuju ke tanah perkuburan.Kim masih setia membantu menolak pengusung.Hatinya masih terasa pilu.Perjalanan dan menemani buat kali terakhir.Lamunannya terhenti saat tiba di Masjid Taufiqiah untuk mendirikan solat jenazah.
Saatnya makin hampir.Jenazah berbalut kain putih itu diangkat merapati lahad.Perlahan-lahan disemadikan di persemadian terakhir itu.Dengan penuh tertib dan berhati-hati tubuh itu dibaringkan menghadap ke arah Baitullahil Haram nun di Makkah.Potongan-potongan papan disusun menutupi jenazah.Perlahan-lahan tanah dikambus.Sedikit demi sedikit ruang itu kian tertutup.
“Bismillahhirrahmannirrahim.Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa’ dan Qidam,Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa,melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala..”


Bacaan talkin mula kedengaran sayu-sayu kedengaran.Seusai doa diaminkan,mereka anak beranak mula mendekati pusara yang masih merah itu.Air disiram  dan bunga ditabur.Berat rasa hati mahu menapak pergi.Akhirnya Mak mengalah.Mak akur untuk bergerak pulang.Walaupun air mata masih menitis,Mak mula menapak pulang. “Ni,mak balik dulu,esok mak datang balik jenguk Ni.”Air mata mengalir lagi saat janji itu diucapkan.Yang tinggal hanya Zizi dan Kim. Kim menanti Zizi untuk pulang bersama-sama. “Ni,esok abang datang lagi.” Seraya itu Zizi menunduk dan wajahnya mencium tanah perkuburan itu.Air matanya menyirami pusara itu buat kali terakhir.
Dalam melangkah pulang,Kim berpaling seketika memandang pusara baru itu.“Jangan lupakan Muni,dan jangan meratap pemergiannya.” Bisik hati kecilnya dan dia terus menapak pergi.


* Diolah daripada sebuah kisah benar.