E-mail: KimPutra.94@gmail.com

KESULTANAN PERAK : Survival Warisan Parameswara




Sultan Muhammad Shah Ibni Sultan Mansur Shah merupakan Sultan Pahang yang pertama. Baginda dihantar untuk dirajakan di Pahang setelah baginda membunuh Tun Besar Bin Tun Perak gara-gara ketidaksengajaan Tun Besar menyepak bola raga sehingga menyebabkan destar Raja Muhammad jatuh. Atas permintaan Tun Perak, Raja Muhammad dihantar dan ditabalkan sebagai Sultan Pahang yang pertama.



Paduka Seri Sultan Mahmud Shah Ibni Paduka Seri Sultan Alaudin Riayat Shah mempunyai tiga isteri yang menurunkan tiga putera yang bergelar 'Sultan'. Tiga isteri baginda tersebut ialah;


1) Raja Wati Binti Sultan Muhammad Shah I (Sultan Pahang I) Ibni Sultan Mansur Shah (Sultan Melaka) merupakan puteri kepada Sultan Muhammad Shah I Pahang, merangkap sepupu kepada baginda Sultan Mahmud Shah. Putera baginda berdua ialah Raja Ahmad.

Sultan Muda Ahmad
Baginda bergelar Raja Muda ketika pemerintahan ayahanda baginda, Sultan Mahmud Shah. Selepas peristiwa pembunuhan terhadap keluarga Bendahara Seri Tun Mutahir Bin Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali, baginda Raja Ahmad telah mengantikan Sultan Mahmud Shah yang telah turun takhta.   Raja Ahmad yang bergelar Sultan Muda Ahmad Shah telah mengambil alih takhta saat Melaka berada diambang kejatuhan dan bergolak. Apabila Melaka tewas dijajah Portugis, Sultan Ahmad Shah serta para pengikutnya telah berkubu di Pagoh manakala Sultan Mahmud Shah telah berkubu di Bentayan. Setelah  Pagoh dan Bentayan diserang Portugis mereka berlindung di Pahang seterusnya ke Bentan.

          Sultan Ahmad Shah pula mendirikan Kota Kopak. Baginda yang mengetahui sikap tidak telus para pembesar telah bertindak melantik para pembesar yang lebih muda dan berkemampuan mentadbir. Baginda dilihat lebih mengutamakan pembesar-pembesar muda berbanding para pembesar senior. Sikap baginda ini dianggap mengancam kedudukan dan kekuasaan para pembesar senior yang akhirnya menghasut Sultan Mahmud Shah untuk menghukum Sultan Muda Ahmad Shah. Sultan Muda Ahmad Shah yang termakan fitnah dan melihat sikap baginda Sultan Ahmad Shah bakal memberi ruang perpecahan yang lebih besar dalam kesatuan umat Melayu telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap baginda Sultan Muda Ahmad Shah.
Pontoh Bernaga
Warisan Kesultanan Melaka kepada Kesultanan Perak
2) Puteri Onang Kening Binti Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Iskandar merupakan puteri dari Kesultanan Kelantan Tua (Dinasti Chermin), iaitu sebelum wujudnya Kerabat Diraja Jembal, Keluarga Long Yunus dan sebagainya.

     Hasil perkahwinan Puteri Onang Kening dengan Paduka Seri Sultan Mahmud Shah dikurniakan putera yang berhak mewarisi takhta Kesultanan Melayu Melaka, iaitu Paduka Seri Sultan Mudzaffar Shah I, Sultan Perak Pertama.

Paduka Seri Sultan Mudzaffar Shah I
      Sultan Ahmad Shah menaiki takhta Melaka, baginda Raja Muzaffar telah diangkat sebagai Raja Muda. Namun, setelah kemangkatan Sultan Ahmad Shah, ayahanda baginda Sultan Mahmud Shah telah menaiki takhta buat kali kedua. Namun, hak Raja Mudzaffar sebagai pewaris takhta telah diketepikan. Jawatan Raja Muda telah dikurniakan kepada Raja Raden Ali, iaitu anakanda Sultan Mahmud Shah dengan Tun Fatimah Binti Bendahara Seri Tun Mutahir.

     Sultan Mahmud Shah seterusnya mengasaskan Kesultanan Johor-Riau. Baginda seterusnya telah bergerak dan menjadi sultan di Kampar, Sumatera. Raja Muda Raja Raden Ali telah mewarisi takhta Johor dan bergelar Sultan Alaudin Riayat Shah II.

        Ketika di Kampar, baginda didatangi dua orang pembesar negeri Perak iaitu Tun Saban dan Nakhoda Kasim yang meminta seorang putera Sultan Mahmud Shah untuk dirajakan di Perak. Sultan Mahmud Shah memperkenan permintaan tersebut dan menghantar Raja Mudzaffar untuk dirajakan di Perak.

     Raja Mudzaffar telah berlayar dan ditabalkan sebagai Sultan Perak pertama di Tanah Abang. Baginda bergelar Sultan Mudzaffar Shah I Ibni Sultan Mahmud Shah. 

     Sultan Mudzaffar Shah mempunyai permaisuri iaitu Tun Terang Binti Tun Ali. Tun Terang merupakan anakanda Tun Fatimah Binti Bendahara Seri Tun Mutahir bersama suami pertamanya, Tun Ali.

Hasil perkahwinan baginda dengan Tun Terang, baginda dikurniai beberapa orang putera dan puteri. Tetapi, takhta Kerajaan Perak diwarisi oleh Sultan Mansur Shah, iaitu putera baginda bersama seorang puteri kepada Sultan Mughal (Sultan Sri Alam), Sultan Acheh. Putera sulung Sultan Mansur Shah ditabalkan sebagai Sultan Acheh dengan gelaran Sultan Alauddin Mansur Shah.

Baginda Paduka Seri Sultan Mudzaffar Shah I mangkat dan dimakamkan di Tanah Abang. Baginda digelar Marhum Tanah Abang.


3) Tun Fatimah Binti Bendahara Seri Tun Mutahir Binti Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali Bin Bendahara Seri Amar Diraja. Keluarganya dikenali sebagai keluarga Melayu-Tamil Muslim memandangkan nendanya, Bendahara Seri Amar Diraja mengahwini Tun Ratwa Wati Binti Mani Purindam. Mani Purindam merupakan seorang saudagar Tamil Muslim.

     Tun Fatimah sebelum dikahwini oleh Paduka Seri Sultan Mahmud Shah telahpun berkahwin dengan Tun Ali Bin Seri Nara Diraja Tun Tahir Bin Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali, iaitu sepupunya sendiri. Seorang puteri hasil perkahwinan bersama Tun Ali, iaitu Tun Terang telah dikahwini oleh Raja Mudzaffar Shah Ibni Sultan Mahmud Shah.

     Hasil perkahwinan Tun Fatimah dan Sultan Mahmud Shah dikurniai beberapa orang putera dan puteri. Salah seorang putera beliau telah mewarisi takhta daripada Sultan Mahmud Shah. Putera tersebut ialah Raja Raden Ali Ibni Sultan Mahmud Shah.

     Setelah Melaka tewas kepada Portugis, Sultan Mahmud Shah telah mengasaskan Kesultanan Johor-Riau. Mengikut adat warisan kesultanan, sekiranya baginda Sultan Mahmud Shah mangkat, putera baginda Raja Mudzaffar Shah berhak mewarisi takhta kerajaan. Namun, Tun Fatimah memujuk dan menggesa baginda mengangkat Raja Raden Ali untuk mewarisi takhta kerajaan. Akhirnya baginda bersetuju dan mengangkat Raja Raden Ali sebagai Raja Muda, manakala Raja Mudzaffar Shah dihantar untuk dirajakan di Negeri Perak berserta alat kebesaran warisan Kesultanan Melaka.

*~ Sultan Mahmud Shah merupakan sultan pemerintah Johor, dan Raja Raden Ali adalah Raja Muda yang bakal mewarisi takhta Johor, dan semestinya alat kebesaran negeri perlu ada untuk istiadat pertabalan. Tetapi, kenapa alat-alat kebesaran negeri diserahkan kepada Raja Mudzaffar Shah untuk dibawa bersama ke Negeri Perak?~


          Mengikut Salasilah Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan, selepas kemangkatan Paduka Seri Sultan Salehuddin Ibni Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak ke-9 yang memerintah dari 1630-1636, maka terputuslah waris Kesultanan Melaka dari zuriat Sultan Mudzaffar Shah dan Puteri Onang Kening yang memerintah Negeri Perak. 

         Paduka Seri Sultan Mudzaffar Shah II atau nama asalnya ialah Raja Sulung Ibni Raja Mahmud Ibni Raja Ali al- Ajali Ibni Sultan Khoja Ahmad Ibni Sultan Ibrahim Shah ( Sultan Negeri Siak ). Sultan Khoja Ahmad merupakan putera hasil perkahwinan Sultan Ibrahim Shah dengan Raja Mahadewi Binti Sultan Mansur Shah Melaka. Sultan Ibrahim Shah Siak atau Megat Kudu merupakan putera Maharaja Peri Sura ( Raja Siak ) yang dibunuh oleh tentera Melaka pada zaman Sultan Mansur Shah.

         Mengikut sejarah, Paduka Seri Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Mudzaffar Shah I mempunyai seorang puteri yang mengahwini seorang Raja Acheh. Hasil perkahwinan tersebut dikurniakan seorang puteri yang akhirnya mengahwini Raja Abdullah Ibni Sultan Abdul Ghaffur Mahiyudin Shah yang bergelar Marhum Muda. Puteri mereka telah mengahwini Sultan Mudzaffar Shah II dan melahirkan Paduka Seri Sultan Mahmud Iskandar Shah.


Paduka Seri Sultan Mahmud Iskandar Shah Ibni Sultan Mudzaffar Shah II merupakan Sultan Perak ke-11.
Bapa baginda iaitu Sultan Mudzaffar Shah II Ibni Raja Mahmud merupakan seorang putera berketurunan Raja Siak. Bonda baginda pula merupakan puteri kepada Raja Muda Abdullah Pahang (Marhum Muda) iaitu pewaris Kesultanan Pahang langsung dari zuriat Sultan Muhammad Shah Ibni Sultan Mansur Shah Melaka.

Lambang Diraja Perak Darul Ridzuan

Konklusi yang dapat dibuat berdasarkan catatan sejarah, survival  Kesultanan Melaka dalam mengekalkan kedaulatan dan penerusan kekuasaannya amatlah getir. 

Terdapat beberapa peristiwa yang menjadi titik tolak yang menyelamatkan keturunan Kesultanan Melaka daripada terus berakhir iaitu;

1) Tindakan Sultan Mansur Shah yang mengahwinkan puteri baginda, Raja Mahadewi dengan Megat Kudu 
(Sultan Ibrahim Shah Siak) yang akhirnya menurunkan jurai keturunan kepada Sultan Mudzaffar Shah II.

2) Tindakan bijak Tun Perak yang meminta supaya Raja Muhammad tidak dilantik sebagai Sultan Melaka, sebaliknya menjadi Sultan Pahang bukan sahaja mengelak berlakunya perpecahan rakyat, bahkan telah membantu survival waris Kesultanan Melaka. 

3) Begitu juga, kebijaksanaan Sultan Mahmud Shah menghantar Raja Mudzaffar Shah berserta alat kebesaran warisan Kerajaan Melaka telah berjaya menyelamatkan alat kebesaran tersebut daripada jatuh ke tangan kelompok yang tidak sepatutnya.

Meskipun kesultanan Perak disambung oleh Sultan Mudzaffar Shah II, baginda tetap mempunyai darah keturunan Kesultanan Melaka daripada sebelah ayahanda baginda. Begitu juga, anakanda baginda, Paduka Seri Sultan Mahmud Iskandar Shah memiliki darah kesultanan Melaka dari sebelah ayahanda dan bonda baginda.

Aigrette Kerajaan

 Sehingga ke hari ini, Kesultanan Melayu Perak telah mewarisi empat Kesultanan Melayu iaitu:

1) Melaka melalui keturunan puteri kepada Sultan Mansur Shah I ibni Sultan Mudzaffar Shah I Ibni Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Alauddin Shah Ibni Sultan Mansur Shah.

2) Kelantan Tua melalui Sultan Mudzaffar Shah I anakanda kepada Puteri Onang Kening Binti Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Iskandar Ibni Raja Kumar.

3) Acheh, juga melalui puteri kepada Sultan Mansur Shah I Ibni Sultan Mudzaffar Shah I yang mengahwini seorang Raja Acheh. Seorang puteri mereka menikahi Raja Muda Abdullah Pahang.

4) Siak melalui keturunan Sultan Mudzaffar Shah II (Raja Sulung) Ibni Raja Mahmud Ibni Raja Ali al-Ajali Ibni Sultan Khoja Hassan Ibni Sultan Ibrahim Shah (Megat Kudu) Ibni Maharaja Peri Sura Raja Siak.

Selain itu, Kesultanan Perak juga masih mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Keluarga Bendahara. Ini kerana Paduka Seri Sultan Mansur Shah I Ibni Sultan Mudzaffar Shah I telah mengahwini seorang puteri kepada Sultan Alauddin Riayat Shah II, putera kepada Tun Fatimah Binti Bendahara Seri Tun Mutahir Bin Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali Bin Mani Purindam.

Selain itu, Bendahara Seri Tun Mutahir sendiri merupakan anakanda kepada Tun Kudu Binti Bendahara Seri Wak Raja Tun Perpatih Sedang. Bendahara Seri Wak Raja Tun Perpatih Sedang Bin Bendahara Seri Wak Raja Tun Perpatih Permuka Berjajar mempunyai tiga orang anak, iaitu Bendahara Paduka Raja Tun Perak, Bendahara Tun Perpatih Putih dan juga Tun Kudu.


Pedang Cura Si Manja Kini



0 comments: