E-mail: KimPutra.94@gmail.com
Showing posts with label Sirah. Show all posts

MAHARAJA: Pemanggil Islam ke Bumi Jepun

Nama: Maharaja Mutsuhito
*(Digelar Maharaja Meiji selepas kemangkatannya)

Lahir: 3 November 1852
Mangkat: 30 Julai 1912
Pemerintahan: 3 Februari 1867-30 Julai 1912
Ayahanda: Maharaja Komei
Bonda: Gundik Diraja Nakayama Yoshiko
Pasangan: Maharani Shoken

Baginda merupakan Maharaja Jepun Ke-122 yang memerintah Negara Matahari Terbit dan menaiki takhta ketika berusia 15 tahun.
Baginda merupakan individu yang bertanggungjawab membawa Jepun ke arah pembangunan dan pemodenan.

Pada 6 November 1867, baginda telah memindahkan ibu negara Jepun dari Kyoto ke Edo (kini Tokyo).

Ketika sedang sibuk membangunkan Jepun, baginda merasakan bahawa Jepun masih kekurangan sesuatu. Atas kesedaran itu, sepucuk surat diutus kepada Khalifah Abdul Hamid II, Khalifah Islam dari Dinasti Uthmaniyyah di Istanbul,Turki.
Khalifah Abdul Hamid II

“Kita berdua adalah Maharaja Timur, dan sudah tentu menjadi tuntutan keperluan sesama kita dan rakyat kita, untuk bersahabat dan saling berhubung, sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat Barat sesama mereka, tatkala Barat itu juga melihat kita sebagai ’satu’ iaitu ‘orang Timur’. Beta melihat orang Barat menghantar misionari mereka ke negara ini untuk menyebarkan agama mereka kerana kebebasan beragama yang ada di sini…
Beta melihat tuan tidak melakukan perkara yang sama. Beta mahu tuan menghantar pendakwah-pendakwah ke negeri ini untuk mengajar dan menyebarkan agama tuan, yang boleh menjadi asas ikatan moral antara kita!”.
*(petikan dari artikel Saiful Islam)
Delegasi Ertugrul

Pada 14 Julai 1889, delegasi Islam dari Istanbul berlayar menuju ke Jepun. Diketuai oleh Kapten Ali Bey dan kapal Ertugrul, bersama 607 anak kapal dan 57 pegawai mereka tiba di Yokohama pada 7 Jun 1890.

Pada 15 September 1890, delegasi Ertugrul memulakan pelayaran pulang walaupun dihalang keras oleh pihak Jepun memandangkan musim taufan sedang melanda.
Pada pagi 16 September 1890, Ertugrul yang sedang melalui detik-detik cemas melanggar terumbu di persekitaran Pulai Oshima dan karam.

Ertugrul bukan sahaja karam bersama 1001 kenangan perjalanannya, hadiah-hadiah dari Maharaja, ia turut tenggelam bersama mesej-mesej umat Islam kepada Khalifah di Istanbul.

Monumen memperingati delegasi Ertugrul

Hikayat Muhammad Ali Hanafiah: Sastera Syiah?



Hikayat Muhammad Ali Hanafiah merupakan Sastera Syiah?

Hikayat Muhammad Ali Hanafiah terkenal dalam pensejarahan Melayu kerana menurut Tun Seri Lanang didalam kitabnya, Sulatus Salatin atau juga dikenali sebagai kitab Sejarah Melayu, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah ini dibaca kepada tentera-tentera Melaka bagi meniup semangat perjuangan menentang penjajahan Portugis.

Dipetik dari entri Hikayat Muhammad Ali Hanafiah dari ms.wikipedia.org (http://ms.wikipedia.org/wiki/Hikayat_Muhammad_Ali_Hanafiah)

Kisah pada malam sesudah Feringgi melancarkan serangannya yang pertama ke atas Melaka, seperti yang tersebut di bawah ini
Maka Sultan ahmad pun menghimpunkan orang, dan suruh berhadir senjata. Maka hari pun malamlah, maka segala hulubalang dan segala anak tuan-tuan semuanya bertunggu dibalai rong. Maka kata segala anak tuan-tuan itu, Apa kita buat bertunggu dibalai rong diam-diam sahaja? Baik kita membaca hikayat perang, supaya kita beroleh faedah daripadanya. Maka kata Tun Muhammad Onta, benar kata tuan-tuan itu, baiklah Tun Indera Sagara pergi memohonkan Hikayat Muhammad Hanafiah, sembahkan mudah-mudahan dapat patik-patik itu mengambil faedah daripadanya. Kerana Feringgi akan melanggar esok hari. Maka Tun Indera Sagara pun masuk mengadap Sultan Ahmad. Maka segala sembah orang itu semuanya dipersembahkannya kebawah duli Sultan Ahmad. Maka oleh Sultan Ahmad dianugerahi Hikayat Amir Hamzah, maka titah Sultan Ahmad pada Tun Indera Sagara, katakan kepada segala anak tuan-tuan itu, hendak pun kita anugerahkan Hikayat Muhammad Hanafiah, takut tiada akan ada berani segala tuan-tuan itu seperti Muhammad Amir Hamzah pun padalah maka kita beri Hikayat Hamzah. Maka Tun Indera Sagara pun keluarlah membawa Hikayat Hamzah, maka segala titah Sultan Ahmad itu semuanya disampaikannya pada segala anak tuan-tuan itu, maka semuanya diam, tiada menyahut. Maka kata Tun Isap pada Tun Indera Sagara, persembahkan ke bawah duli yang dipertuan, seperti Muhammad Hanafiah, patik-patik itu adalah seperti hulubalang berani. Maka oleh Tun Indera Sagara segala kata Tun Isap itu semuanya dipersembahkannya kepada Sultan Ahmad, maka baginda pun tersenyum maka titah Sultan Ahmad, benar katanya itu. Maka dianugerahi pula Hikayat Muhammad Hanafiah.

Siapa Muhammad Ali Hanafiah? 

Beliau ialah Muhammad Bin Ali Bin Abi Thalib, iaitu anak kepada Sayidina Ali R.A dengan isteri yang dinikahinya selepas kematian Sayidatina Fatimah Bin Muhammad Rasulullah.

Ibu Muhammad Bin Ali ialah Haulah (Ada juga yang menyebut Khaulah) dari Bani Hanifah.
Beliau digelar Al-Hanafiah sempena kabilah ibunya.

Dalam kitab Hikayat Muhamad Ali Hanafiah mengandungi unsur-unsur ajaran Syiah Kaisaniah iaitu mempertahankan hak Hassan R.A dan Hussien R.A sebagai Khalifah dan perincian dendam melampau terhadap Muawiyah R.A dan puteranya,Yazid.
Turut diceritakan Hussein menyembuhkan sayap malaikat, Muawiyah tidak mahu beristeri tetapi akhirnya berkahwin dengan wanita tua dan dendam Yazid kerana ditolak pinangan dari dua wanita yang menikahi Hassan dan Hussein.

Juga dalam kitab ini diceritakan bahawa Muhammad Ali Hanafiah meninggal akibat terperangkap di dalam sebuah gua.

Syiah Kaisaniah:

Diasaskan oleh Mukhtar Bin Ubau Al-Thaqafi (khadam kepada Muhammad Bin Ali R.A Bin Abi Thalib) dan Kaisan (Khadam kepada Sayyidina Ali, dan diwarisi oleh Muhammad Ali Hanafiah).
Mereka mempertahankan hak kekhalifahan Hassan dan Hussein. Selepas kesyahidan kedua-duanya, Kaisan dan Mukhtar bermati-matian mempertahankan hak kekhalifahan kepada Muhammad Ali Hanafiah.

Terdapat 2 kelompok daripada Kaisaniah :

1. Yang mendakwa bahawa Muhammad Ali Hanafiah masih belum mati kerana beliau menyelamatkan diri ke sebuah daerah Radhwa (sebuah kawasan pergunungan) ketika diburu pemerintah kerana disebabkan oleh pengikut-pengikutnya yang melampau. Beliau dipercayai masih lagi hidup dan bersembunyi disana. Beliau akan keluar pada hari kiamat sebagai Imam Mahdi.

2. Mereka yang memperjuangkan hak kekhilafahan Muhammad Ali Hanafiah semasa beliau masih lagi hidup. Dan hak tersebut berpindah-pindah kepada orang lain selepas kematiannya.




*Gambar sekadar hiasan
(Ruj: pmram.org)

DRACULA:Dari Wallacia ke Turki

DRACUL: Membesar Dalam Suasana Islam di Istana 

Topkapi Uthmaniyyah?



Vlad Tepes
Radu The Charming

Pada 1436,pemerintah wilayah Wallacia, Vlad II Dracul turun takhta dan digulingkan pada 1442 oleh para penentangnya. Namun beliau kembali ke Wallachia selepas dijamin oleh pemerintah Turki Uthmaniyyah, Sultan Murad II dengan syarat perlu membayar jizyah.


Beliau kemudian menghantar dua orang putera dari isteri keduanya, Vlad III dan Radu III ke istana Uthmaniyyah sebagai mentaati dan menunjukkan kesungguhan kesetiaan beliau dalam perjanjian pakatan dengan kerajaan Uthamniyyah untuk meraih takhta wilayah Wallacia secara total.

Kedua-dua putera ini dihantar sebagai pelayan istana. Bagaimanapun putera-putera dari isteri pertamanya, Mircea II dan Vlad Călugărul tetap tinggal di Wallachia. Keadaan ini diduga sebagai faktor kebencian Vlad III terhadap Turki Uthmaniyyah dan ayahnya sendiri.

Namun,akhirnya Vlad III dan Radu III dibebaskan dan diberi pelajaran-pelajaran ketenteraan dan ilmu logik,Quran dan belajar bahasa Turki dan Parsi.

Radu III akhirnya memeluk Islam. Pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih, ia dikurniakan gelaran Bey, serta mengetuai pasukan Janissari.


Namun,pada tahun 1448 Vlad II Dracul dibunuh oleh musuh ketatnya, John Hunyandi,Pemerintah Hungary manakala Mircea II dibutakan dan ditanam hidup-hidup.
Kerajaan Turki Uthmaniyyah segera menghantar pasukan tentera bagi merebut semula wilayah Wallacia dan menjadikan Vlad III sebagai pemerintah baru,namun tewas. John Hunyadi menepatkan Vladislav II sebagai pemerintah Wallacia.

Vlad III bergerak ke Moldavia dan mendapatkan perlindungan dari bapa saudaranya,Bugdan II. Namun,pada 1451 Bogdan II telah dibunuh. Vlad III bergerak ke Hungary. John Hunyadi menjadikan Vlad III sebagai penasihatnya kerana pengalaman Vlad III di Turki.

Pada 1456, John Hunyadi bergerak ke Beograd untuk merebut wilayah itu dari Turki Uthmaniyyah. Vlad II bergerak ke Wallacia dengan tujuan merebut wilayah tersebut lalu membunuh Vladislav II.

Ia berjaya merebut kembali takhta Wallacia dan membunuh para bangsawan dan keluarga mereka. Ia membunuh dengan kaedah menyula sebatang pancang sebesar lengan seorang dewasa ke dalam dubur mangsa. Kerana itu ia dijuluki Vlad Ţepeş (Vladthe Impaler/ Vlad Sang Penyula).

Sultan Muhammad Al-Fatih menghantar pasukan tentera untuk menewaskan Vlad III Ţepeş. Pasukan Janissari di bawah pimpinan Radu III berjaya menewaskan Vlad Ţepeş yang akhirnya melarikan diri ke Hungary. Radu III dilantik sebagai wakil Sultan di Wallacia dan dianugerahi Bey of Wallacia.

Namun,pada 1475 Radu III mati secara mengejut dan memberi ruang kepada Vlad Ţepeş untuk merampas kembali wilayah Wallacia. Namun penguasaannya hanya sementara apabila ia dikatakan dibunuh oleh pembunuh upahan pada 1477.

Khabar Duka Dari Langit


Angin bertiup perlahan menyapa sebatang tubuh yang sedang menunggang unta itu. Lelaki itu baru usai mendirikan solat Asar. Di Padang Arafah itu, pada petang Jumaat yang tenang dalam musim Haji Wida' lelaki itu didatangi sahabatnya, si penghuni langit.
"..Pada hari ini telah Kami sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah kami cukupkan nikmat Kami kepada kamu, dan telah Kami redha Islam itu agama kamu.." (Al-Maidah:3)
Dia berasa kurang jelas. Ditariknya tali untanya, 'Adba. Perlahan-lahan ia turun dan bersandar pada untanya itu.
" Wahai Muhammad, pada hari ini telah disempurnakan urusan agama kamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan Allah dan begitu juga apa yang terlarang oleh-Nya. Kumpulkanlah para sahabatmu, sesungguhnya semakin dekat perpisahan aku denganmu di sini (dunia ini)." 
Muhammad S.A.W terdiam mendengar perkhabaran dari Jibrail A.S itu. Seusai itu, baginda bergegas pulang ke Makkah dan akhirnya menuju ke Madinah. Tiba di Madinah, para sahabat R.A dikumpulkan, dan baginda membacakan wahyu yang diterimanya itu. Mendengar itu, para sahabat berteriak kegembiraan.
" Agama kita telah sempurna! Agama kita telah sempurna!."
Bagaikan halilintar mendengar itu, jantung Abu Bakar R.A bagaikan mahu terhenti. Matanya berair. Cuba ditahan. Ia lantas berpaling dan bergegas pulang ke rumah. Pintu dikunci. Ia mengurung diri dalam kesedihan berlinang air mata. Kelakuannya memeranjatkan para sahabat. Demi itu, sebahagian sahabat berkumpul di hadapan rumahnya.
" Wahai Abu Bakar, apakah yang membuatkanmu berkeadaan sebegini? Seharusnya engkau berasa gembira kerana agama kita telah sempurna."
Abu Bakar diam. Lidahnya agak berat mahu mengkhabarkannya. Sebak menguasai diri.
" Wahai sahabatku sekalian, kamu semua tidak sedar tentang musibah yang melanda kamu. Apabila sesuatu itu telah sempurna, maka akan terlihat pula kekurangannya. Jika Islam telah sempurna, bererti makin hampir tibanya waktu untuk Rasulullah S.A.W meninggalkan kita. Hassan dan Hussin akan menjadi yatim, para isterinya akan menjadi janda."


Mereka tergamam. Bagaikan tidak percaya. Seketika kemudian, seorang demi seorang mula mengalirkan air mata. Tangisan mereka akhirnya menjadi kuat dan sampai kepada pengetahuan Rasulullah S.A.W lantas baginda bergegas menuju rumah Abu Bakar.
" Wahai sahabatku, apakah yang membuatkan kalian menangis?" Tanya baginda. Ali Ibnu Abi Thalib R.A segera menjawab. " Ya Rasulullah, Abu Bakar mengatakan bahawa dengan turunya wahyu ini, maka mendekatlah waktu engkau untuk meninggalkan kami. Apakah benar ya Rasulullah?"
Riak wajah baginda tiba-tiba berubah. Lantas baginda menjawab, ''Ya benar. Apa yang diperkatakan oleh Abu Bakar adalah benar, dan masanya hampir tiba untuk aku meninggalkan kalian untuk selama-lamanya."

Sebaik mendengar pengakuan Rasulullah, lemah longlai lutut Abu Bakar. Ia kembali menangis sehingga akhirnya pengsan. Umar Ibnu Al-Khattab R.A terdiam. Bagaikan berhenti nadinya saat itu. Ia tertunduk tidak percaya. Uthman Ibnu Affan R.A terduduk. Mengalir air matanya mengenangkan apa yang bakal berlaku. Tubuh Ali menjadi kaku, lemah anggota tubuh mendengar kenyataan itu. Air mata bagaikan tidak mahu berhenti. Suasana menjadi hening. Masing-masing terdiam tanpa bicara. Tidak pasti dan enggan percaya pada sebuah pengakuan jujur dari mulut Sang Nabi.

Hari-hari yang dilalui kelam bagaikan cahaya mentari tidak sampai ke permukaan bumi Madinah ketika itu. Tiada senyuman terukir di wajah para penghuni Daulah Islamiah itu. Masing-masing khuatir dan tidak mahu waktu yang dijanjikan itu menjelma.


Suatu hari, usai solat berjemaah di masjidnya, Rasulullah S.A.W meminta agar para sahabat berkumpul.
Dengan langkah yang perlahan tetapi masih tampak ketegasan dan kewibawaannya, baginda melangkah menuju mimbar baginda. Baginda berhenti sejenak. Menatap tiap-tiap wajah yang berada di hadapan matanya. Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Dalam nada tenang tetapi cukup sempurna untuk didengar, baginda mula berucap.
" Segala puji bagi Allah, ya Muslimin. Sesungguhnya aku ini adalah seorang nabi yang diutus untuk menyeru manusia ke jalan yang lurus dengan izin-Nya. Aku ini adalah sebahagian dari kalian, bagaikan saudara kandung yang kasih sayangnya bagaikan kasih seorang ayah. Oleh itu, kalian mempunyai hak untuk menuntut daripadaku, sesiapa yang ingin berbuat demikian silalah bangun dan ke mari membalasi aku sebelum aku dituntut di akhirat nanti."
Baginda mengulangi seruan itu. Masing-masing tertunduk diam. Tiada yang mahu berdiri. Tidak sanggup rasanya hati untuk menuntut apa-apa dari baginda. Seruan diulang sekali lagi. Tiba-tiba, 'Ukasyah Bin Mushan bangkit berdiri. Setiap mata yang ada di situ tertumpu padanya. Masing-masing terkejut.
" Demi ayah dan ibuku ya Rasulullah, andai engkau tidak mengumumkan ini berkali-kali, nescaya aku tidak akan bangkit berdiri dan tidak ingin aku mengatakan hal ini pada hari ini. Sesungguhnya dalam Peperangan Badar, aku berada bersamamu ya Rasulullah. Pada waktu itu, aku mengikutimu dari belakang. Setelah hampir, aku lantas turun dan menghampirimu dengan maksud agar aku dapat mencium pehamu. Tetapi saat itu, engkau mencabut tongkatmu dan memukul untamu untuk berjalan cepat, tetapi engkau juga telah memukulku di bahagian rusukku. Aku mahu tahu wahai Rasulullah, adakah engkau sengaja memukul aku atau engkau sebenarnya mahu memukul unta itu?"
Hadirin terpampang. Terkejut dengan tindakan 'Ukasyah. Wajah baginda masih tenang dan tetap dengan senyuman yang ibarat tidak pernah lekang dari wajahnya itu. " 'Ukasyah, Rasulullah sengaja memukulmu." Ujar baginda. Wajah dialihkan menghadap Bilal Ibnu Rabbah R.A, pembantu setianya itu. " Bilal, pergi ke rumah puteriku Fatimah, dan ambilkan tongkatku ke mari." Bilal patuh. Ia menuju ke rumah Fatimah sambil tangannya berada di atas kepalanya. " Duhai, Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk diqisas."

Setibanya di rumah Sayyidatina Fatimah R.A, beliau memberi salam dan menyatakan tentang perintah Rasulullah. Fatimah bertanya tentang tujuan kegunaan tongkat itu, tetapi Bilal tidak menjawab. Memahami itu, Fatimah menyerahkan tongkat ayahandanya kepada Bilal. Beliau lantas kembali ke masjid dan menyerahkan tongkat tersebut kepada Rasulullah. Baginda mengambilnya dan menyerahkan kepada 'Ukasyah.



Suasana gempar. Masjid Nabawi sedikit riuh. Masing-masing terkejut dengan apa yang bakal berlaku. Abu Bakar dan Umar yang menyaksikan itu segera bangun dan mendekati Rasulullah dan 'Ukasyah. " Wahai 'Ukasyah, usahlah engkau qisas Rasulullah, pukullah kami sebagai gantinya." Abu Bakar dan Umar berusaha menahan 'Ukasyah dan merelakan diri mereka sebagai gantinya. Namun Rasulullah melarang. " Wahai Abu Bakar dan Umar, duduklah. Allah telah menyediakan tempat buat kalian." Ujar baginda. Abu Bakar dan Umar akur. Terpaksa duduk.

 Ali yang sedari tadi mendiamkan diri kini bangun. " Wahai 'Ukasyah, engkau mengetahui bahawa aku sering berada di samping Rasulullah, oleh itu pukullah aku dan jangan qisas Rasulullah." Sekali lagi baginda melarang. " Wahai Ali, duduklah. Allah telah menetapkan tempatmu dan Dia mengetahui isi hatimu." Ali akur. Dipaksa diri untuk duduk.

Tiba-tiba Hassan dan Hussin, kedua-duanya putera Ali bangun ke hadapan. " Wahai 'Ukasyah, bukanlah engkau tidak mengetahui, sesungguhnya kami ini cucu Rasulullah. Qisaslah kami sekiranya kamu ingin mengqisas Rasulullah." Rasulullah memandang cucu-cucunya itu. " Wahai  putera buah hatiku, duduklah kalian." Baginda kembali berpaling menghadap 'Ukasyah. " Wahai 'Ukasyah, pukullah aku sekiranya kamu ingin memukul."

'Ukasyah memandang baginda. Lantas ia bersuara, " Rasulullah memukulku saat itu aku tidak memakai baju." Mendengar itu, Rasulullah segera menanggalkan bajunya. Melihat baginda berbuat demikian, air mata tidak dapat ditahan. Setiap mata yang ada saat itu tidak henti-henti mengalirkan air mata. Sedih membayangkan tubuh yang mulia itu akan dipukul dengan tongkatnya sendiri.

Tiba-tiba 'Ukasyah datang memeluk dan mencium Rasulullah. Sambil menangis ia berkata;
" Aku tebus dirimu dengan jiwaku ya Rasulullah. Siapakah yang sanggup memukulmu ya Rasulullah. Aku melakukan ini semata-mata kerana ingin menyentuh tubuhmu dengan tubuhku, dan aku mengharapkan agar Allah memelihara diriku kerana berkat kemuliaanmu ya Rasulullah."

Baginda tersenyum. Wajah dikalihkan menghadap para hadirin yang terkesima mendengar penjelasan 'Ukasyah. " Wahai Muslimin, sekiranya kalian ingin melihat ahli syurga, pandanglah wajah 'Ukasyah ini." Tersenyum-senyum baginda mengucapkan itu. Para sahabat tersenyum gembira. Masing-masing berdiri dan bersalaman dengan 'Ukasyah.
"Wahai 'Ukasyah, sungguh engkau benar-benar beruntung kerana memperolehi darjat yang tinggi dan mendapatkan teman paling mulia di syurga kelak, engkau memiliki Rasulullah sebagai temanmu di syurga."

Nasab Muhammad S.A.W

Nama : Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Muttalib Bin  Hashim Bin Abdul Manaf Bin Qusai Bin Kilab Bin Murrah Bin Ka'ab Bin Luay Bin Ghalib Bin Fahr Bin Malik Bin An-Nadr Bin Kinanah Bin Khuzaiman Bin Mudrikah Bin Elias Bin Mudar Bin Nizar Bin Ma'ad Bin Adnan Bin Add Bin Humaisi Bin Salaman Bin Aws Bin Buz Bin Qamwal Bin Ubai Bin Awwam Bin Nashid Bin Haza Bin Bildas Bin Yadlaf Bin Tabikh Bin Jahim Bin Nahish Bin Makhi Bin Ayd Bin Abqar Bin Ubayd Bin Ad-Daa Bin Hamdan Bin Sanbir Bin Yath Rabi Bin Yahzin Bin Yalhan Bin Arami Bin Ayd Bin Deshan Bin Aizar Bin Afnad Bin Aiham Bin Muksar Bin Nahith Bin Zarih Bin Sani Bin Wazzi Bin Adwa' Bin Aram Bin Haidir (Kedar) Bin Ismail A.S (Ishmael) Bin Ibrahim A.S (Abraham) Bin Azar

Bapa : Abdullah Bin Abdul Muttalib Bin Hashim Bin Abdul Manaf Bin Qusai
Ibu : Aminah Binti Wahab Bin Abdul Manaf Bin Qusai

Keputeraan: 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 20 April 571M hari Isnin

MUAWIYAH: Insan Terpalit Fitnah


Diriwayatkan bahawa pada suatu hari bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;
" Islam itu ibarat sebuah kota yang dipagari tembok yang memiliki satu pintu. Fitnah tidak akan menimpa Islam selagi pintu itu masih tertutup, dan aku khuatir apabila pintu itu terbuka, fitnah akan menimpa Islam."
Umar Ibnu al-Khattab bertanyakan apakah pintu itu? Namun baginda tidak menjawab. Kemudiannya beliau menemui Ali Ibnu Abi Thalib bagi bertanyakan soalan yang sama. Ali Ibnu Abi Thalib kemudiannya menjawab: " Wahai Umar, engkaulah pintu itu! Terbukanya pintu itu adalah apabila engkau wafat."

Ternyata hadis baginda Rasulullah S.A.W benar-benar terjadi. Selepas Khalifah Umar Ibnu al-Khattab syahid, umat Islam dilanda keresahan dalam mencari pengganti sehinggalah Uthman Ibnu Affan dibai'ah sebagai khalifah seterusnya. Kemuncak fitnah berlaku pada enam tahun terakhir pemerintahan Khalifah Uthman sehingga membawa kepada pembunuhan beliau. Fitnah ini seterusnya menggelapkan sisi sejarah peribadi dua tokoh Bani Umayyah iaitu khalifah Muawiyah Bin Abu Sufyan dan Khalifah Yazid Bin Muawiyah.

ABU ABDURRAHMAN AL-UMAWI MUAWIYAH IBNU ABU SUFYAN
( 602-680 Masihi)
Khalifah Muawiyah Bin Abu Sufyan Bin Harb Bin Umaiyah Bin Abdul Manaf adalah Khalifah pertama Dinasti Umaiyah dan merupakan Khalifah kelima bagi umat Islam. Beliau merupakan putera kepada Abu Sufyan Bin Harb dan Hindun Binti Utbah. Muawiyah diriwayatkan telah memeluk Islam sebelum peristiwa Fathul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) tetapi menyorokkan keislamannya daripada pengetahuan Abu Sufyan.
Sayyidina Muawiyah Bin Abu Sufyan telah dilantik sebagai Gabenor Syiria bermula pada zaman Khalifah Umar Ibnu Khattab pada tahun 640M.
Menjelang tahun 647M, beliau telah berjaya membentuk armada laut yang mampu menahan serangan tentera Byzantine. Angkatan ini juga berjaya menakluk Cyprus (649M), Rhodes (654M) dan berjaya mengalahkan tentera Byzantine di Lycia pada tahun 655M.

Muawiyah merupakan pemberontak dan penderhaka, BENARKAH?

Kita sering dimomokkan bahawa Muawiyah merupakan seorang pemberontak dan menderhaka kepada Khalifah Ali Bin Abi Thalib R.A, benarkah segala tuduhan tersebut?
Pernahkah kita terfikir, mengapakah Sayyidina Muawiyah enggan membai'ah Sayyidina Ali sebagai khalifah?

1) Muawiyah sebagai Wali Darah.

~ Sayyidina Muawiyah mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat dengan Khalifah Uthman Bin Affan R.A. Khalifah Uthman Bin Affan R.A merupakan anggota Bani Umaiyah sebagaimana halnya Sayyidina Muawiyah. Selepas Khalifah Uthman Bin Affan R.A syahid dibunuh para pemberontak, Muawiyah merasakan dirinya bertanggungjawab untuk membela dan menuntut keadilah terhadap pembunuhan Khalifah Uthman. Hal ini kerana putera-putera Khalifah Uthman masih kecil dan Muawiyah sebagai anggota Bani Umaiyah yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam pentadbiran Islam meletakkannya untuk berada dibarisan hadapan sebagai Wali Darah, iaitu penuntut pembelaan terhadap pembunuhan khalifah.

2) Muawiyah menganggap pelantikan khalifah baru tidak boleh dilakukan sebelum hukuman terhadap pembunuh khalifah tidak dilakukan.

~ Sebagai Wali Darah terhadap pembunuhan khalifah, Muawiyah merasakan perlunya hukuman dijatuhkan keatas pembunuh khalifah sebelum pengganti khalifah dilantik. Pada pandangannya, perkara ini perlu bagi menegakkan keadilan terhadap pembunuhan khalifah.

      Namun, bagi pihak Sayyidina Ali, beliau menghadapi masalah dalam menjatuhkan hukuman terhadap para pemberontak yang menyerang Khalifah Uthman. Hal ini kerana jumlah pemberontak dan identiti mereka yang menceroboh dan menyerang Khalifah Uthman adalah samar-samar dan terdapat keraguan. Hal ini menyukarkan Sayyidina Ali dalam usahanya menyiasat dan mencari pembunuh sebenar khalifah. Pada waktu tersebut, beliau sendiri menghadapi masalah berhadapan dengan musuh dalam selimut yang berpura-pura mentaati beliau. Hal ini menyebabkan beliau sukar untuk menjatuhkan hukuman.

     Bagi Sayyidina Ali, perpecahan dalam kalangan umat Islam menyukarkan beliau mengadili kes pembunuhan Khalifah Uthman, sebaliknya beliau mengutamakan penyatuan ummah bagi memudahkan beliau mengadili kes tersebut.

         Sayyidina Ali sememangnya terkenal sebagai sahabat Rasulullah S.A.W yang cukup berhati-hati dalam mengadili sesuatu masalah. Tindakan beliau yang seolah-olah melambatkan hukuman keatas golongan pemberontak pada zaman Khalifah Uthman digunakan sebaik-baiknya oleh kaum Munafiqin untuk menghasut Sayyidina Muawiyah bagi menentang Sayyidina Ali.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Ali, puak Syiah yang memusuhi Islam semenjak kejatuhan Kekaisaran Parsi bertindak menjadi batu api memecahbelahkan umat Islam. Sebahagian mereka bertindak menjadi pengikut Sayyidina Ali dan sebahagian lain menyokong Sayyidina Muawiyah. Golongan pendukukung kedua-dua tokoh ini yang sebenarnya mereka-reka cerita sehingga membawa kepada peperangan antara kedua-dua sahabat Rasulullah S.A.W ini.


3) Muawiyah bukan pemberontak
Pemberontak seharusnya golongan yang bergerak menuju kepada pemimpin dan memerangi pemimpin tersebut.
~ Jika dikatakan bahawa Muawiyah merupakan pemberontak, seharusnya Muawiyah bergerak dari Syam menuju ke Kufah bagi memerangi Sayyidina Ali R.A. Namun, dalam rekod sejarah, Muawiyah secara jelas tidak memberi bai'ah dan tidak pula bergerak menuju ke Kufah bagi memerangi khalifah, sebaliknya menetap di Syam dan mendesak Sayyidina Ali untuk menjatuhkan hukuman keatas pembunuh Khalifah Uthman.

     Bagaimanapun, dalam kes ini Sayyidina Ali yang berkuasa menjadi Amirul Mukminin telah bertindak mempersiapkan pasukan tentera dan bergerak menuju ke Syam bagi memerangi Muawiyah sehingga tercetusnya Perang Siffin.

    Sejarah juga mencatatkan bahawa, selepas kewafatan Khalifah Ali, kekhalifahan beralih kepada puteranya, Hassan Bin Ali. Hanya untuk beberapa bulan, Khalifah Hassan Bin Ali telah menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah dengan syarat Muawiyah perlu memerintah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah, Ahlul Bait perlulah diberi penghormatan yang sepatutnya dan jawatan khalifah perlu diserahkan kepada Hassan setelah Muawiyah wafat.

Jika Muawiyah pemberontak, mengapakah Sayyidina Hassan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah?

Mengapa Khalifah Ali membawa pasukan memerangi Muawiyah?
Perlu diingatkan bahawa pada waktu tersebut, perkhabaran yang disampaikan sering mengandungi fitnah dan pembohongan. Tindakan Sayyidina Ali ini perlu ditimbang berdasarkan faktor luaran dan dalaman yang mendorong berlakunya Perang Siffin.

Perang Siffin berakhir dengan perdamaian iaitu melalui Tahkim. Jika Muawiyah dilihat sebagai pemberontak yang menggugat ummah, seharusnya Khalifah Ali telah memerangi Muawiyah sehabis-habisnya. Tetapi tindakan sebaliknya telah terjadi.

Tindakan Khalifah Ali mengakhiri Perang Siffin melalui Tahkim menyaksikan terbentuknya satu golongan yang disebut sebagai Khawarij. Mereka terdiri daripada penyokong Khalifah Ali yang menentang Tahkim.

Persoalanya, mengapakah mereka menentang Tahkim sekiranya mereka menyokong khalifah? Mengapakah mereka menolak Tahkim yang dilihat sebagai langkah terawal menyatupadukan ummah?

Hal ini sudah tentu kerana mereka khuatir ummah akan bersatu setelah Khalifah Ali dan Sayyidina Muawiyah berdamai. Kaum Khawarij juga direkodkan telah melakukan kekacauan dan pemberontakan sebagai protes terhadap majlis Tahkim.
Makam Khalifah Muawiyah Bin Abu Sufyan

Keutamaan Sayyidina Muawiyah

Rasulullah S.A.W bersabda: " Tentera pertama umatku yang berperang dengan meredah lautan sudah pasti mendapat syurga.
Hadis Nabi ini berjaya direalisasikan oleh Muawiyah apabila mengetuai armada laut pertama umat Islam pada tahun 28H pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman Ibnu Affan R.A.

Baginda Khatimul Anbiya' juga pernah mendoakan Muawiyah dengan doa
"Ya Allah jadikanlah dia (Muawiyah) sebagai pemimpin yang terpimpin dan pimpinlah (manusia) dengannya."
juga dengan doa ; " Ya Allah ajarlah dia dengan Kitab dan hisab dan jauhilah ia dari azab."

Muawiyah pernah dicela dihadapan Sayyidina Umar Ibnu al-Khattab R.A lantas Umar membelanya. Beliau berkata; " Jangalah kamu mencela pemuda Quraisy ini (Muawiyah). Dia adalah seorang yang boleh ketawa ketika marah. Janganlah diambil sesuatu padanya selain atas persetujuannya dan tidak boleh diambil apa-apa yang ada diatas kepalanya melainkan dari bawah kedua tapak kakinya."

Sayyidina Umar Ibnu al-Khattab juga sering berkata jika berjumpa dengan Muawiyah;
" Dialah Kaisar bangsa Arab."

 Sayyidina Ali Bin Abi Thalib pernah berkata;
" Janganlah kalian membenci (pemerintahan) Muawiyah. Seandainya kalian kehilangan dia, kalian akan menyaksikan beberapa kepala terlepas dari badannya (mati dibunuh)."

Akhirulkalam, biarpun artikel ini cuba membela Muawiyah daripada fitnah terhadap dirinya, saya tidak menafikan bahawa tetap ada pada diri Muawiyah itu beberapa khilaf sebagaimana layaknya seorang manusia itu melakukan kesilapan. Namun, harus diingatkan juga betapa beliau telah melakukan sumbangan yang besar terhadap peradaban dan Islam itu sendiri. Beliau juga berjaya menutup sementara pintu fitnah yang melanda umat Islam bermula kewafatan Khalifah Umar Ibnu al-Kattab sepanjang pemerintahannya.