E-mail: KimPutra.94@gmail.com

Menilai Semula Sejarah Ketamadunan Melayu Negeri Perak



1. Gangga Negara direkodkan sebagai kerajaan/pusat pemerintahan paling awal wujud di Negeri Perak, dengan diyakini wujud tidak lewat dari abad kedua. Dalam erti kata lain, Gangga Negara wujud sebelum abad kedua, menjadikannya hampir seusia dengan Langkasuka.

2. Ptolomey, seorang astronomi Greek yang hidup pada abad kedua masihi (sekitar 168M) pernah menyebut tentang 'Coconagara' dalam bukunya, Geographike Huphegesis yang ditulis pada 150M. G. Coedes dan Kolonel Low meyakini bahawa 'Coconagara' ialah Gangga Negara. *Abad kedua merujuk kepada tempoh masa antara tahun 101 hingga 200 Masehi.

3. Paling tidak, Gangga Negara telahpun wujud pada abad kelima Masehi berdasarkan penemuan arca-arca Buddha dari abad kelima dan keenam Masehi.

4. Gangga Negara terletak dalam daerah Dinding (Manjung kini), di kawasan Selatan Gunung Bubu, arah Timur Bukit Segari di tepi Sungai Dendang.

5. Langkasuka pula berada di utara Semenanjung Tanah Melayu wujud seawal abad kedua hingga ke-14 Masehi, sebelum digantikan oleh Kesultanan Melayu Patani. Ini bermakna Langkasuka wujud selama sekitar 1300 tahun.

6. Kerajaan Srivijaya di Sumatera diasaskan pada 683 Masehi (Abad ketujuh) oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa seperti yang tercatat di Batu Bersurat Kedukan Bukit, dengan Palembang sebagai salah sebuah ibu negerinya.

7. Gangga Negara dan Palembang runtuh antara tahun 1025 hingga 1026 apabila diserang oleh Raja Rajendra Chola I dari India Selatan.

9. Srivijaya kehilangan Palembang selepas 342 tahun penubuhannya dan bertahan selewat-lewatnya hingga 1262. Ini bermakna Srivijaya berdiri selama 579 tahun, namun sejarah dan latar belakangnya tetap dapat diketahui.

10. Manakala kerajaan Gangga Negara runtuh selepas melebihi 900 tahun ditubuhkan.

11. Sejarah Srivijaya dapat ditelusuri selepas 1025 apabila menjadikan Jambi sebagai ibu negeri, sebelum disambung oleh Kesultanan Melayu Melaka pada 1292.

12. Namun sejarah Gangga Negara terus terpadam tanpa catatan yang jelas. Bagaimana sebuah kerajaan yang telah membina sebuah ketamadunan melebihi 800 tahun hilang tanpa catatan?


13. Gangga Negara kemudiannya digantikan oleh Kerajaan Melayu Beruas, yang dikatakan diasaskan oleh Malikul Mansur dari Pasai, yang dikatakan diusir oleh kekandanya selepas baginda melakukan perbuatan sumbang di istana. Selain itu, sebuah lagi kerajaan ialah Kerajaan Manjung.

14. Menurut Hikayat Raja-Raja Pasai, Malikul Mansur dan Malikul Mahmud merupakan putera kepada Malikul Zahir, dan cucunda kepada Malikus Saleh (Merah Silu). Malikul Mahmud memerintah Pasai, sementara Malikul Mansur memerintah Samudera.

15. Jika bersandarkan fakta dan hikayat tersebut, Kerajaan Melayu Beruas kemungkinan ditubuhkan sekitar 1346-1347, iaitu tahun penyatuan Samudera-Pasai, dengan Tun Aria Bijaya Diraja merupakan antara Raja Beruas terakhir.

16. Tidak dipastikan bilakah Kerajaan Melayu Beruas berakhir, namun dipercayai termansuh apabila tertubuhnya Kesultanan Melayu Perak pada 1528. Jika begitu, Kerajaan Melayu Beruas berusia 181 tahun (diperkirakan jarak masa antara tahun 1347 hingga 1528).

17. Sebelum tertubuhnya Kesultanan Melayu Perak, Beruas merupakan ibu negeri/pusat pemerintahan bagi Negeri Perak.

18. Jika Beruas ialah pusat pemerintahan Perak sebelum penubuhan Kesultanan Melayu Perak, mengapa direkodkan bahawa Sultan Mudzaffar Shah I Ibni Sultan Mahmud Shah (Melaka) terus ke Tanah Abang untuk ditabalkan, tetapi tidak ke Beruas - pusat pemerintahan negeri ketika itu?

19. Namun, menurut Yang Mulia Raja Kobat Salehudin Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Sultan Mudzaffar Shah I terlebih dahulu mendarat di Beruas, sebelum mudik ke Tanah Abang untuk ditabalkan.

20. Mengikut catatan, Sultan Mudzaffar Shah I turut menikahi seorang puteri Perak yang dikatakan anakanda kepada Sultan Mughal (Pemerintah Beruas). Siapakah Sultan Mughal ini?

21. Jika dikatakan bahawa Sultan Mughal ialah Sultan Alaidin Ali Mughayat Shah dari Acheh, baginda bukanlah pemerintah mahupun menaungi Perak, begitu juga Sultan Iskandar Thani Alaudin Mughayat Shah Ibni Sultan Ahmad Shah I (Pahang) bukanlah individu yang sesuai kerana baginda memerintah Acheh sekitar 1636-1641. Adakah Sultan Mughal itu sendiri ialah pemerintah Beruas atau Manjung?


22. Jika kesemua (21) perkara diatas adalah suatu perkara yang benar dalam sejarah, Kerajaan Negeri Perak sewajarnya memikirkan semula untuk menyambung kembali Projek Penelitian Sejarah Beruas (25 November hingga 25 Disember 1991) agar sejarah Beruas (yang merupakan asas sejarah Perak) dapat disingkap dengan lebih jelas.

23. Sejarah ketamadunan Melayu Perak bukanlah bermula seawal 1528 seiring penubuhan Kesultanan Melayu Perak, bahkan terlebih awal sebelum itu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Beruas merupakan titik asas dalam mengenali sejarah ketamadunan Melayu Perak.

Rujukan:

1) https://sembangkuala.wordpress.com/2013/04/14/bahagian-i-penghijrahan-raja-muda-muzaffar-shah-ibni-sultan-mahmud-melaka-dari-negeri-kampar-ke-negeri-perak/
2) https://sembangkuala.wordpress.com/2013/06/16/sambungan-bahagian-ii-penghijrahan-raja-muda-muzaffar-shah-ibni-sultan-mahmud-melaka-dari-negeri-kampar-ke-negeri-perak/
3) http://sultan.perak.gov.my/informasi/senarai-sultan-perak.html
4) http://royalark.net/Malaysia/perak2.htm
5) http://royalark.net/Malaysia/pahang2.htm

0 comments: