Adruja: Puteri Singa Pemenggal Kepala
gambar hiasan |
Kerajaan Grahi merupakan sebuah kerajaan Melayu lama yang tertegak di utara Semenanjung Tanah Melayu.
Ketika pemerintahan Maharaja Grahi ketiga, Raja Sang Tawal (Sultan Muhammad), lahir seorang puteri yang bakal memahat sejarah agung bangsa Melayu. Dipercayai bahawa ketika itu, masyarakat Grahi sebilangannya masih beragama Hindu, atau sekurang-kurangnya masih kuat dengan pengaruh Hindu.
Puteri kesayangan Raja Sang Tawal ini bernama Adruja Wijayamala Singha yang bererti 'Raja besar,seroja sakti sang singa'. Kerana sikapnya yang tegas dan garang, baginda puteri digelar 'Dewi Urduga'.
Saudara kandung Adruja ialah Raja Bharubhasa, Raja Singhadiraja, Puteri Cendana dan Puteri Linang Cahaya.
Kelahiran Adruja ialah ketika Kerajaan Grahi diancam serangan Siam Sukhothai dibawah pemerintahan Raja Rama Khamheang. Nenda Adruja, iaitu Raja Sakranta pernah menghalang perluasan kuasa yang dilakukan oleh Raja Rama Khamheang.
Adruja dibesarkan dengan minat yang sangat mendalam terhadap ilmu perang. Sejak kecil lagi, puteri ini mahir menunggang kuda, memanah dan bermain kelewang (sejenis senjata). Biarpun bersikap seperti lelaki, Adruja mempunyai minat terhadap wangi-wangian dan memiliki wangian khas yang diperbuat daripada campuran kayu cendana dan bunga melur.
Meningkat remaja, dalam usia belasan tahun Adruja telah mengikuti ayahandanya berangkat ke medan perang, dan menjadi pembawa bendera Kerajaan Grahi. Adruja bertindak sebagai pendamping dan merawat ayahandanya setiap kali berlaku peperangan.
Melihatkan keadaan angkatan perang Grahi yang tidak mempunyai samangat juang yang tinggi, Adruja mengemukakan cadangannya membentuk satu pasukan khas yang terdiri daripada golongan wanita. Hal ini bagi membantu pertahanan Grahi, selain untuk membela nasib kaum wanita yang sering diperkosa oleh tentera Sukhothai apabila berlaku pencerobohan.
Raja Sang Tawal pada awalnya menolak cadangan tersebut, namun berubah fikiran dan akhirnya menerima. baginda juga berusaha mengahwinkan puteri kesayangannya, namun Adruja menolak dengan keras.
Setelah mendapat perkenan, Adruja memulakan usahanya mengumpul wanita untuk menubuhkan pasukan khas yang dicita-citakannya. Namun usahanya ditolak dan tidak mendapat sambutan. Berang dengan respon dari kaum wanita, Adruja memarahi dan memprovok mereka dengan mengungkit perbuatan tentera Sukhothai yang ingin menjarah bumi Grahi. Hasilnya, 41 orang wanita (janda muda) menyahut seruan Adruja dan akhirnya tertubuh satu pasukan khas bernama Pasukan Seri Wijayamala.
Raja Sang Tawal dan para menterinya sedang berbincang dan melihat selembar peta perang saat Adruja masuk menghadap. Daun tingkap istana dikuak, kelihatan sepasukan wanita bersenjata siap berkumpul kemas di halaman istana. Sekumpulan panglima memperlekehkan kemampuan pasukan Seri Wijayamala dan menyebabkan Adruja murka. Adruja menarik salah seorang panglima lalu dibawa ke jendela istana. Beliau kemudian memerintahkan seorang pengikutnya mara ke hadapan dan memanah ke arah panglima tersebut. Panah membelah angin dan melekat di daun tingkat, hanya sejengkal dari muka panglima tersebut.
Keberanian dan kecekapan Adruja serta pasukannya menyebabkan semua panglima terdiam.
Suatu hari, pasukan tentera Sukhothai menceroboh sebuah perkampungan di pinggir Kota Grahi. Kealpaan tentera Grahi menyebabkan tentera Sukhothai menjarah seisi kampung. Nyaris, pasukan Seri Wijayamala menyedari dan membuat serangan balas menyebabkan pasukan tentera Sukhothai tewas.
Mendengar berita kekalahan tersebut, Raja Rama Khamheang murka dan memerintahkan pasukan tentera untuk memerangi Kerajaan Grahi atas pimpinan baginda sendiri. Persiapan dilakukan dan mereka mula bergerak ke selatan menuju Grahi.
Persidangan tergempar diadakan. Raja Sang Tawal memutuskan untuk memimpin tentera keluar menyekat dan memerangi Rama Khamheang sebelum tiba di Kota Grahi. Adruja diarahkan untuk tinggal di Kota Grahi dengan tegas.
Seawal pagi, ketika tentera Grahi telah keluar menuju medan perang, Kota Grahi dikejutkan dengan pencerobohan pasukan tentera Sukhothai. Raja Rama Khamheang telah membahagikan tenteranya kepada dua kumpulan, satu untuk berhadapan dengan tentera Grahi dan satu lagi menceroboh Kota Grahi.
Melihat kekecohan tersebut, Adruja memerintahkan pasukan Seri Wijayamala untuk memukul undur pasukan Sukhothai di dalam kota. Persaingan sengit berlaku dan ramai penduduk kota terbunuh. Akhirnya pasukan Seri Wijayamala berjaya mempertahankan Kota Grahi dan membunuh tentera Sukhothai.
Marah dan kecewa dengan kerosakan dan pembunuhan yang berlaku, Adruja memimpin Seri Wijayamala menuju ke medan perang sebagai pasukan tambahan untuk membantu Raja Sang Tawal. Adruja mengikat kain kuning di kepalanya dan memerintahkan ahli Seri Wijayamala mengikat kain hijau di kepala masing-masing.
Ternyata, pasukan Raja Sang Tawal terpukul teruk memandangkan pasukan tentera Sukhothai memiliki pasukan tentera bergajah. Gajah perang terlatih ternyata menyebabkan pasukan Grahi hampir-hampir kalah.
Dengan persediaan yang ada, pasukan Seri Wijayamala mula membuat serangan balas dan menguatkan semula kekuatan pasukan Grahi.
Dalam kekecohan perang, Adruja dan beberapa orang dari pasukannya mengatur langkah mencari Rama Khamheang. Mereka mendekati gajah tunggangan Rama Khamheang dan melontar tombak lalu menyebabkan Rama Khamheang terbunuh. Jasadnya terjatuh dari rengga (binaan khas seperti tandu diatas gajah).
Adruja lantas mendapatkan jasad tersebut lalu menusuk dengan kelewang (yang diberi nama Kilantan) menyebabkan perut Rama Khamhenag terburai dan menusuk sehingga ke tengkoraknya. Tindakannya menyebabkan segala organ raja itu pecah lalu kelewangnya dicabut. Dengan sekali tetakan, kepala Raja Rama Khamheang terputus dari badannya.
Adruja lantas memerintahkan pasukannya mengherat jasad tanpa kepala itu untuk dibuang ke laut. Tentera Sukhothai yang berang cuba untuk menghalang namun dibunuh oleh pasukan Seri Wijayamala yang lain.
Belalai gajah-gajah perang dicantas menyebabkan tunggangan perang tersebut bertindak liar akibat kesakitan dan merempuh pasukan Sukhothai sendiri.
Pasukan Sukhothai mengalami mimpi ngeri, bukan sahaja kalah teruk bahkan raja mereka turut maut dengan ngeri dan tiada jasad untuk disemadikan. Kepala Rama Khamheang dibawa pulang ke Grahi sebagai tanda kekalahan Sukhothai. Beberapa bulan kemudian, sekumpulan sami dari Sukhothai menuju Grahi. Mereka membawa 10 pedati berisi emas dan perak untuk menebus kembali kepala Rama Khamheang.
Monumen Raja Rama Khamheang |
Kemangkatan Raja Rama Khamheang yang dibunuh dengan kejam telah menyebabkan anakandanya, Raja Loethai bersumpah untuk menghapuskan bangsa Melayu dari Grahi. Setelah lengkap persiapan dibuat, baginda memimpin pasukan Sukhothai memerangi Grahi.
Akhirnya, Kerajaan Grahi tumbang apabila tewas diceroboh oleh tentera Sukhothai. Raja Sang tawal berserta kerabat, pembesar dan pemgikutnya berundur dan mendirikan Kota Mahligai. Baginda ditabal sebagai pemerintah Langkasuka. Pemerintahan Raja Sang Tawal kemudiannya digantikan oleh puteranya, Raja Bharubhasa. Ketika pemerintasan Raja Bharubhasa, Langkasuka mula diislamkan secara meluas.
Sebelum mangkat, Raja Sang Tawal telah menganugerahkan sebuah negeri kepada Adruja Wijayamala Singha. Negeri ini dikenali sebagai Kerajaan Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau juga dikenali sebagai Kesultanan Kisaran Payung.
*(Dipercayai Kerajaan Kisaran Payung ini terletak di jajahan Kuala Krai.)
Di sini, Adruja digelar sebagai Cik Siti Wan Kembang yang kemudiannya menjadi gelaran rasmi kepada pemerintah perempuan di wilayah tersebut.
Adruja Wijayamala Singha mangkat setelah sepuluh tahun memerintah Kesultanan Kisaran Payung. Saudara kandungnya, Raja Bharubhasa melepaskan takhta Langkasuka dan ditabalkan sebagai Sultan Serendah Sekebun Bunga-Kisaran Payung dengan gelaran Sultan Mahmud Shah. Adinda baginda, Raja Singadhiraja menaiki takhta Langkasuka dan bergelar Sultan Sulaiman.
Kerajaan Serendah Sekebun Bunga-Kisaran Payung diperintah selama beberapa generasi oleh keturunan Raja Bharubhasa, sehinggalah waris terakhir, Wang Kembang Binti Sultan Ahmad menjadi Raja Perempuan.
Adruja Wijayamala dan Wan Kembang Sultan Ahmad |
Cik Siti Wang Kembang II telah menukar nama kerajaan ini menjadi Serendah Sekebun Bunga-Cerang Tegayung dan menjadi waris terakhir Raja Bharubhasa. Kemangkatan Cik Siti Wan Kembang II tanpa meninggalkan waris menyebabkan Kesultanan Jembal mengambil alih dan meletakkan negeri ini sebagai sebahagian daripada wilayah Kesultanan Jembal.
Sumber:
(http://sejarahbangsamelayuyanghilang.blogspot.com/2011/12/adruja-wijayamala-singa-puteri-wirawati.html)
DULU KAU PERNAH TEGUR TULISAN AKU PASAL ADA KESILAPAN.. AKU BUAT 'KERAS' JE.. SETELAH AKU BACA BEBETUL, MEMANG ADA SILAPNYA TULISAN AKU TU.. DAH PON DIPERBAIKI.. DULU PUNYA CERITA, LAMA DAH...
ReplyDelete