E-mail: KimPutra.94@gmail.com

MUAWIYAH: Insan Terpalit Fitnah


Diriwayatkan bahawa pada suatu hari bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;
" Islam itu ibarat sebuah kota yang dipagari tembok yang memiliki satu pintu. Fitnah tidak akan menimpa Islam selagi pintu itu masih tertutup, dan aku khuatir apabila pintu itu terbuka, fitnah akan menimpa Islam."
Umar Ibnu al-Khattab bertanyakan apakah pintu itu? Namun baginda tidak menjawab. Kemudiannya beliau menemui Ali Ibnu Abi Thalib bagi bertanyakan soalan yang sama. Ali Ibnu Abi Thalib kemudiannya menjawab: " Wahai Umar, engkaulah pintu itu! Terbukanya pintu itu adalah apabila engkau wafat."

Ternyata hadis baginda Rasulullah S.A.W benar-benar terjadi. Selepas Khalifah Umar Ibnu al-Khattab syahid, umat Islam dilanda keresahan dalam mencari pengganti sehinggalah Uthman Ibnu Affan dibai'ah sebagai khalifah seterusnya. Kemuncak fitnah berlaku pada enam tahun terakhir pemerintahan Khalifah Uthman sehingga membawa kepada pembunuhan beliau. Fitnah ini seterusnya menggelapkan sisi sejarah peribadi dua tokoh Bani Umayyah iaitu khalifah Muawiyah Bin Abu Sufyan dan Khalifah Yazid Bin Muawiyah.

ABU ABDURRAHMAN AL-UMAWI MUAWIYAH IBNU ABU SUFYAN
( 602-680 Masihi)
Khalifah Muawiyah Bin Abu Sufyan Bin Harb Bin Umaiyah Bin Abdul Manaf adalah Khalifah pertama Dinasti Umaiyah dan merupakan Khalifah kelima bagi umat Islam. Beliau merupakan putera kepada Abu Sufyan Bin Harb dan Hindun Binti Utbah. Muawiyah diriwayatkan telah memeluk Islam sebelum peristiwa Fathul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) tetapi menyorokkan keislamannya daripada pengetahuan Abu Sufyan.
Sayyidina Muawiyah Bin Abu Sufyan telah dilantik sebagai Gabenor Syiria bermula pada zaman Khalifah Umar Ibnu Khattab pada tahun 640M.
Menjelang tahun 647M, beliau telah berjaya membentuk armada laut yang mampu menahan serangan tentera Byzantine. Angkatan ini juga berjaya menakluk Cyprus (649M), Rhodes (654M) dan berjaya mengalahkan tentera Byzantine di Lycia pada tahun 655M.

Muawiyah merupakan pemberontak dan penderhaka, BENARKAH?

Kita sering dimomokkan bahawa Muawiyah merupakan seorang pemberontak dan menderhaka kepada Khalifah Ali Bin Abi Thalib R.A, benarkah segala tuduhan tersebut?
Pernahkah kita terfikir, mengapakah Sayyidina Muawiyah enggan membai'ah Sayyidina Ali sebagai khalifah?

1) Muawiyah sebagai Wali Darah.

~ Sayyidina Muawiyah mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat dengan Khalifah Uthman Bin Affan R.A. Khalifah Uthman Bin Affan R.A merupakan anggota Bani Umaiyah sebagaimana halnya Sayyidina Muawiyah. Selepas Khalifah Uthman Bin Affan R.A syahid dibunuh para pemberontak, Muawiyah merasakan dirinya bertanggungjawab untuk membela dan menuntut keadilah terhadap pembunuhan Khalifah Uthman. Hal ini kerana putera-putera Khalifah Uthman masih kecil dan Muawiyah sebagai anggota Bani Umaiyah yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam pentadbiran Islam meletakkannya untuk berada dibarisan hadapan sebagai Wali Darah, iaitu penuntut pembelaan terhadap pembunuhan khalifah.

2) Muawiyah menganggap pelantikan khalifah baru tidak boleh dilakukan sebelum hukuman terhadap pembunuh khalifah tidak dilakukan.

~ Sebagai Wali Darah terhadap pembunuhan khalifah, Muawiyah merasakan perlunya hukuman dijatuhkan keatas pembunuh khalifah sebelum pengganti khalifah dilantik. Pada pandangannya, perkara ini perlu bagi menegakkan keadilan terhadap pembunuhan khalifah.

      Namun, bagi pihak Sayyidina Ali, beliau menghadapi masalah dalam menjatuhkan hukuman terhadap para pemberontak yang menyerang Khalifah Uthman. Hal ini kerana jumlah pemberontak dan identiti mereka yang menceroboh dan menyerang Khalifah Uthman adalah samar-samar dan terdapat keraguan. Hal ini menyukarkan Sayyidina Ali dalam usahanya menyiasat dan mencari pembunuh sebenar khalifah. Pada waktu tersebut, beliau sendiri menghadapi masalah berhadapan dengan musuh dalam selimut yang berpura-pura mentaati beliau. Hal ini menyebabkan beliau sukar untuk menjatuhkan hukuman.

     Bagi Sayyidina Ali, perpecahan dalam kalangan umat Islam menyukarkan beliau mengadili kes pembunuhan Khalifah Uthman, sebaliknya beliau mengutamakan penyatuan ummah bagi memudahkan beliau mengadili kes tersebut.

         Sayyidina Ali sememangnya terkenal sebagai sahabat Rasulullah S.A.W yang cukup berhati-hati dalam mengadili sesuatu masalah. Tindakan beliau yang seolah-olah melambatkan hukuman keatas golongan pemberontak pada zaman Khalifah Uthman digunakan sebaik-baiknya oleh kaum Munafiqin untuk menghasut Sayyidina Muawiyah bagi menentang Sayyidina Ali.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Ali, puak Syiah yang memusuhi Islam semenjak kejatuhan Kekaisaran Parsi bertindak menjadi batu api memecahbelahkan umat Islam. Sebahagian mereka bertindak menjadi pengikut Sayyidina Ali dan sebahagian lain menyokong Sayyidina Muawiyah. Golongan pendukukung kedua-dua tokoh ini yang sebenarnya mereka-reka cerita sehingga membawa kepada peperangan antara kedua-dua sahabat Rasulullah S.A.W ini.


3) Muawiyah bukan pemberontak
Pemberontak seharusnya golongan yang bergerak menuju kepada pemimpin dan memerangi pemimpin tersebut.
~ Jika dikatakan bahawa Muawiyah merupakan pemberontak, seharusnya Muawiyah bergerak dari Syam menuju ke Kufah bagi memerangi Sayyidina Ali R.A. Namun, dalam rekod sejarah, Muawiyah secara jelas tidak memberi bai'ah dan tidak pula bergerak menuju ke Kufah bagi memerangi khalifah, sebaliknya menetap di Syam dan mendesak Sayyidina Ali untuk menjatuhkan hukuman keatas pembunuh Khalifah Uthman.

     Bagaimanapun, dalam kes ini Sayyidina Ali yang berkuasa menjadi Amirul Mukminin telah bertindak mempersiapkan pasukan tentera dan bergerak menuju ke Syam bagi memerangi Muawiyah sehingga tercetusnya Perang Siffin.

    Sejarah juga mencatatkan bahawa, selepas kewafatan Khalifah Ali, kekhalifahan beralih kepada puteranya, Hassan Bin Ali. Hanya untuk beberapa bulan, Khalifah Hassan Bin Ali telah menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah dengan syarat Muawiyah perlu memerintah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah, Ahlul Bait perlulah diberi penghormatan yang sepatutnya dan jawatan khalifah perlu diserahkan kepada Hassan setelah Muawiyah wafat.

Jika Muawiyah pemberontak, mengapakah Sayyidina Hassan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah?

Mengapa Khalifah Ali membawa pasukan memerangi Muawiyah?
Perlu diingatkan bahawa pada waktu tersebut, perkhabaran yang disampaikan sering mengandungi fitnah dan pembohongan. Tindakan Sayyidina Ali ini perlu ditimbang berdasarkan faktor luaran dan dalaman yang mendorong berlakunya Perang Siffin.

Perang Siffin berakhir dengan perdamaian iaitu melalui Tahkim. Jika Muawiyah dilihat sebagai pemberontak yang menggugat ummah, seharusnya Khalifah Ali telah memerangi Muawiyah sehabis-habisnya. Tetapi tindakan sebaliknya telah terjadi.

Tindakan Khalifah Ali mengakhiri Perang Siffin melalui Tahkim menyaksikan terbentuknya satu golongan yang disebut sebagai Khawarij. Mereka terdiri daripada penyokong Khalifah Ali yang menentang Tahkim.

Persoalanya, mengapakah mereka menentang Tahkim sekiranya mereka menyokong khalifah? Mengapakah mereka menolak Tahkim yang dilihat sebagai langkah terawal menyatupadukan ummah?

Hal ini sudah tentu kerana mereka khuatir ummah akan bersatu setelah Khalifah Ali dan Sayyidina Muawiyah berdamai. Kaum Khawarij juga direkodkan telah melakukan kekacauan dan pemberontakan sebagai protes terhadap majlis Tahkim.
Makam Khalifah Muawiyah Bin Abu Sufyan

Keutamaan Sayyidina Muawiyah

Rasulullah S.A.W bersabda: " Tentera pertama umatku yang berperang dengan meredah lautan sudah pasti mendapat syurga.
Hadis Nabi ini berjaya direalisasikan oleh Muawiyah apabila mengetuai armada laut pertama umat Islam pada tahun 28H pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman Ibnu Affan R.A.

Baginda Khatimul Anbiya' juga pernah mendoakan Muawiyah dengan doa
"Ya Allah jadikanlah dia (Muawiyah) sebagai pemimpin yang terpimpin dan pimpinlah (manusia) dengannya."
juga dengan doa ; " Ya Allah ajarlah dia dengan Kitab dan hisab dan jauhilah ia dari azab."

Muawiyah pernah dicela dihadapan Sayyidina Umar Ibnu al-Khattab R.A lantas Umar membelanya. Beliau berkata; " Jangalah kamu mencela pemuda Quraisy ini (Muawiyah). Dia adalah seorang yang boleh ketawa ketika marah. Janganlah diambil sesuatu padanya selain atas persetujuannya dan tidak boleh diambil apa-apa yang ada diatas kepalanya melainkan dari bawah kedua tapak kakinya."

Sayyidina Umar Ibnu al-Khattab juga sering berkata jika berjumpa dengan Muawiyah;
" Dialah Kaisar bangsa Arab."

 Sayyidina Ali Bin Abi Thalib pernah berkata;
" Janganlah kalian membenci (pemerintahan) Muawiyah. Seandainya kalian kehilangan dia, kalian akan menyaksikan beberapa kepala terlepas dari badannya (mati dibunuh)."

Akhirulkalam, biarpun artikel ini cuba membela Muawiyah daripada fitnah terhadap dirinya, saya tidak menafikan bahawa tetap ada pada diri Muawiyah itu beberapa khilaf sebagaimana layaknya seorang manusia itu melakukan kesilapan. Namun, harus diingatkan juga betapa beliau telah melakukan sumbangan yang besar terhadap peradaban dan Islam itu sendiri. Beliau juga berjaya menutup sementara pintu fitnah yang melanda umat Islam bermula kewafatan Khalifah Umar Ibnu al-Kattab sepanjang pemerintahannya.

0 comments:

KESULTANAN PERAK : Survival Warisan Parameswara




Sultan Muhammad Shah Ibni Sultan Mansur Shah merupakan Sultan Pahang yang pertama. Baginda dihantar untuk dirajakan di Pahang setelah baginda membunuh Tun Besar Bin Tun Perak gara-gara ketidaksengajaan Tun Besar menyepak bola raga sehingga menyebabkan destar Raja Muhammad jatuh. Atas permintaan Tun Perak, Raja Muhammad dihantar dan ditabalkan sebagai Sultan Pahang yang pertama.


1 comments:

MELAYU: Mukadimah Awal

Bangsa MELAYU?



~ Suatu bangsa besar yang terdiri daripada pelbagai suku. Secara kasar, suku Banjar, Jawa, Bugis, Minang, dan lain-lain lagi termasuk dalam keluarga Bangsa Melayu. 
~ Bangsa yang menduduki wilayah yang dikenali sebagai Nusantara ( Malaysia, Indonesia, Singapura, Borneo, Selatan Filipina, Champa, Kemboja, Selatan Vietnam, Wilayah Islam di selatan Thailand).
~ Melayu juga terdapat di Cape Town dan Madagascar ( Etnik Merina : telah dikristiankan) [Melayu Diaspora]
~ Kebanyakan catatan kuno yang merujuk kepada daerah petempatan Melayu ialah kawasan bergunung.
~ Ptolemy ( 90-158M) melakar sebuah peta dan terdapat sebuah tanjung bernama Maleu-kolon.
   Maleu-kolon diyakini berasal daripada perkataan Sanskrit; Malayakolam ataupun Malaikurram.
~ Teks agama Hindu; Vayu Purana (bab 48) menyebut tentang Malayadvipa ( Benua gunung-ganang) yang merujuk kawasan di Timur yang terdapat banyak emas dan perak. Terdapat gunung diberi nama Mahamalaya atau juga Malaya.
~ Catatan China juga menyebut tentang Kunlun (merujuk kepada banjaran gunung Tibet-India) yang merujuk kepada masyarakat sekitar Asia Tenggara.
~ Dalam catatan kuno, Semenanjung Tanah Melayu disebut sebagai Survanabhumi, Survadvipa dan Aurea Chersonesus yang bermaksud Semenanjung Emas. Nusantara juga dirujuk dengan nama Malay Achipelago.
~ cari lokasi Gunung Ledang dan Mount Ophir melalui aplikasi ''Google Maps", hasil carian merujuk gunung yang sama.
~ *Mount Ophir disebut didalam Kitab Bible sebagai kawasan punca kemewahan. King Solomon ( Nabi Sulaiman A.S) dikatakan mendapatkan bekalan emas dari Mount Ophir.
~ Terdapat beberapa kerajaan kuno di Semenanjung Tanah Melayu seperti Kedah Tua, Langkasuka, Pan Pan, serta Gangga Negara (dan Kerajaan Melayu Beruas).
~ Khalifah Muawiyah Bin Abi Sufyan pernah menghantar pendakwah Islam ke Tanah Jawa (Bumi Melayu)
~ Melaka ditubuhkan pada 1262M, asas kepada ketinggian tamadun Melayu.
~ Kerajaan-kerajaan Melayu yang terkenal : Melaka, Acheh, Kedah, Samudera-Pasai, Demak, Pattani dan banyak lagi.
~ Bertindak sebagai markas perkembangan Islam di Timur.
~ Kemunculan Wali Songo ( Wali Sembilan) di Jawa meningkatkan aktiviti dakwah dan keislaman warga Nusantara.
~ Penawanan Melaka oleh Portugis pada 1511 diibaratkan sebagai 'nakbah' (bencana) awal umat Melayu
~ Perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824 ( Persetiaan London 1824) merupakan punca pemecahan sempadan wilayah Melayu.
~ *Sejarah penjajahan dan layanan bangsa penjajah terhadap masyarakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu berbeza dengan layanan terhadap bangsa lain di Asia Tenggara.





0 comments: