E-mail: KimPutra.94@gmail.com

SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN Al-MAGHFURLAH SHAH: Raja Perundangan Malaysia


30 TAHUN DALAM KARIER PERUNDANGAN DAN 30 TAHUN BERTAKHTA DI SINGGAHSANA KERAJAAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Setelah mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Nottingham, United Kingdom pada 1953, Almarhum memulakan langkah pertama dalam karier perundangan setelah sah menjadi ahli dalam The English Bar pada 23 November 1954.

Memulakan perkhidmatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, baginda kemudian menyertai Perkhidmatan Undang-undang dan Kehakiman Persekutuan Tanah Melayu sebagai Majistret Kelas Pertama dan Presiden Mahkamah Sesyen.

Almarhum kemudiannya menyandang jawatan Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa sebelum menjadi Penasihat Undang-Undang Pahang dan seterusnya sebagai Penasihat Undang-Undang Johor.

Karier almarhum semakin kukuh apabila dilantik sebagai Pendaftar Mahkamah Tinggi Persekutuan Tanah Melayu sebelum dilantik ke jawatan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Pada tahun 1965 ketika berusia 37 tahun, almarhum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan menjadikan baginda sebagai hakim termuda dalam sejarah kehakiman Komanwel..

Lapan tahun kemudian iaitu 1973, almarhum dilantik pula menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya pada 1979.

12 November 1982 menjadi detik bersejarah apabila almarhum mencapai puncak karier perundangan baginda apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Mohamad Suffian Hashim yang bersara. Perlantikan ini membolehkan almarhum dikurniakan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang mejadikan baginda sebagai satu-satunya Sultan yang bergelar 'Tun'.

Pada tahun 1983, almarhum dilantik sebagai Raja Muda Perak, menggantikan Almarhum Raja Muda Ahmad Saifuddin yang mangkat. Perlantikan ini atas izin dan kehendak Almarhum Raja Di Hilir Raja Ahmad Hisham atas faktor kesihatan. Hal ini menjadikan baginda sebagai pewaris takhta yang memiliki karier profesional.

Jika anakandanya popular dengan gelaran Raja Dr Nazrin Shah (Sultan Nazrin Muizuddin Shah sejak 2014), baginda ketika bergelar Raja Muda Perak popular dengan gelaran Raja Tun Azlan Shah.

Namun, baginda akhirnya meletak jawatan sebagai Ketua Hakim Negara bagi membolehkan baginda dilantik sebagai Sultan Perak ke-34 pada 3 Februari 1984 ekoran kemangkatan mengejut Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkil Shah, Sultan Perak ke-33.

Kes berprofil tinggi yang dikendalikan oleh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah adalah yang melibatkan Almarhum Sultan Iskandar Mahmood Shah ketika Almarhum Sultan Iskandar bergelar Raja Muda Johor. Kes tersebut ialah insiden pukul yang dibicara pada 2 Januari 1973 dan kes tembak (manslaughter) pada 1977. Kedua-dua kes dibicarakan ketika Almarhum Sultan Azlan menjawat jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Berikut merupakan petikan daripada titah ucapan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah tentang sistem pemerintahan beraja yang menjadi peringatan penting tentang hubungan raja (dan bangsawan) dengan perundangan;

"Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekali pun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya" - Petikan titah ucapan Almarhum Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980.

Rajah Muda Sarawak Terakhir


(Source: wikipedia)

Lahir sebagai Anthony Walter Dayrell Brooke, beliau lahir pada 10 Disember 1912. Anak kepada pasangan Tuan Muda Bertram Willes Dayrell Brooke dan Dayang Muda Gladys Milton Palme (kemudian memeluk Islam pada Februari 1932 dan menukar nama kepada Khairunnisa Binti Abdullah).

Dilantik sebagai Rajah Muda Sarawak pada 25 Ogos 1937 sebagai pewaris takhta oleh bapa saudaranya, Rajah Putih Charles Vyner Brooke.
Bapanya merupakan adik kepada Rajah Putih Charles Vyner Brooke.

Digugurkan beberapa kali dari jawatan Rajah muda, Anthony Brooke kembali menjadi rajah Muda pada 1945.

Setelah Rajah Putih Vyner Brooke menyerahkan Sarawak sebagai tanah jajahan pada 1946 kepada British, Rajah Muda Anthony secara terbuka menentang keputusan ini. Sehingga pada 1948 apabila Sir Duncan Stewart dibunuh oleh para nasionalis Sarawak, iaitu Rosli Dhoby, Awang Ramli, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek, Rajah Muda Anthony turut dituduh terlibat dalam komplot pembunuhan Gabenor British Sarawak kedua itu.

Sehingga 1951, akhirnya Rajah Muda Anthony Brooke mengisytiharkan bahawa beliau tidak lagi menuntut takhta Sarawak. Beliau akhirnya menetap di New Zealand sehingga kematiannya.

Rajah Muda Anthony Brooke meninggal pada usia 98 tahun pada 2 Mac 2011 di Wanganui, New Zealand, iaitu tepat 60 tahun selepas kematian Rosli Dhobi dan Ramli Awang Amit (mereka dihukum gantung sampai nati pada 2 Mac 1950). Abu mayatnya kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Keluarga Brooke, Kuching, Sarawak pada 2013. Cucunya, Jason Desmond Anthony Brooke kini aktif dalam menjalankan aktiviti untuk melestarikan warisan Dinasti Brooke Sarawak, dan mengetuai Brooke Trust.

(Source: myheritage.com)

(Source: The Borneo Post)


Ref: 
1) https://en.wikipedia.org/wiki/Anthony_Walter_Dayrell_Brooke
2) https://www.myheritage.com/photo-1500951_153151472_153151472/rajah-muda-of-sarawak-anthony-walter-dayrell-brooke
3) http://www.theborneopost.com/2011/06/04/expo-on-the-last-rajah-muda-at-pustaka-negeri/

eCONVERSION MARA

Panduan Memohon Pengurangan Bayaran Balik Pinjaman Pelajaran MARA Melalui Sistem eCONVERSION

Anda peminjam skim pinjaman pelajaran MARA? Sudah tamat belajar? Ayuhlah isi eConversion.
Syarat permohonan pengurangan balik pinjaman MARA: http://apps.mara.gov.my/conversiononline/SYARAT.pdf
Berikut panduan secara mudah:
1) Sediakan:
a) No MyKad
b) No Akaun/No Bil MARA (Cth: 3300500566858). Kalau lupa No Akaun MARA, rujuk dalam surat tawaran pinjaman, atau buka eBAKI untuk semak No Akaun MARA.
Lupa kata laluan? Hubungi:
I) 03-2613 5082
 II) 03-2613 5084
III) 03-2613 5085
IV) 03-2613 5086
c) Sijil Ijazah/Bacelor/Diploma dll (Degree certificate).
Sijil perakuan anda dikurniakan ijazah/diploma. Yang ada tulis "..dengan ini si fulan dikurniakan ijazah/diploma.."
d) Transkrip akademik. Sehelai kertas yang mengandungi ringkasan keputusan peperiksaan sepanjang belajar.
2) Ketik (HAHAHAHA, ok klik) laman web berikut: http://apps.mara.gov.my/conversiononline/
3) Peringkat pengajian: Isi peringkat pengajian yang ditaja oleh MARA dan perlu dibayar balik. Kalau ditaja dari Asasi sampai ijazah, dan dua-dua perlu dibayar balik, isi dua-dua peringkat. Kalau tajaan untuk Asasi tidak perlu dibayar semula, isi peringkat ijazah saja.
4) Tempoh pengajian: Aku isi ikut tempoh terima elaun (Contoh: September 2012 hingga Ogos 2016). Boleh juga semak lejar dalam sistem eBAKI.
5) Isi semua maklumat yang diperlukan.
6) Yang sudah bekerja, isi maklumat pekerjaan dan majikan.
7) Siap isi, klik "Cetak". *Print la ye sebab nak hantar*
8) Ambil sampul surat, masukkan borang eConversion yang diisi atas talian (online) tadi, sijil ijazah dan transkrip akademik.
9) Pastikan sijil bacelor dan transkrip akademik ada cop pengesahan dari pegawai kerajaan/badan berkanun yang Gred A ataupun Gred B.
10) Pos ketiga-tiga dokumen itu ke alamat:
Unit Conversion,
Bahagian Kawalan Kredit,
Tingkat 3, Ibu Pejabat MARA,
21, Jalan Raja Laut,
50609 Kuala Lumpur.
11) Kalau rajin nak ke Ibu Pejabat MARA, sila naik Tingkat 3, Bahagian Kawalan Kredit betul-betul bertentangan dengan Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA. Ambil nombor giliran (tekan Butang A).
12) PASTIKAN KESEMUA dokumen sampai ke Unit Conversion DALAM TEMPOH 30 HARI DARI TARIKH ISI borang eConversion. Kalau isi bulan November, Disember, tapi kesemua dokumen belum dihantar lagi, SILA ISI SEMULA.
13) Permohonan diproses dan jawapan akan diberi melalui surat yang disertakan jadual pembayaran balik.
14) Bagi yang sambung belajar ke peringkat Master/PhD, kalau nak buat penangguhan bayaran, hantar surat pengesahan belajar ke Unit Conversion juga. Pastikan dalam surat tu ada maklumat pengajian (kursus, tempoh pengajian). Surat ni boleh minta institusi pengajian keluarkan. Contohnya SGS UPM, SGS UTM, IPS UM, Pusat Siswazah UKM dll.
15) Bayaran Balik Pinjaman
Bayaran balik pinjaman pelajaran MARA dijadualkan bermula 6 bulan hingga 12 bulan selepas pelajar tamat tajaan. Sila rujuk jadual bayaran balik yang diposkan ke alamat kediaman pelajar dan penjamin. Rujuk 'Soalan Lazim' di eBAKI.
16) Kalau tak isi eCONVERSION maka kena bayar 100% dari jumlah pinjaman sebenar. Kalau pinjam RM60, 000.00 maka kena bayar RM60, 000.00
Sekian.
Sebarang soalan boleh rujuk/hubungi:
1) E-mel: bkkconversion@mara.gov.my
2) 03-26132179
3) 03-26132180
4) 03-26132181
5) 03-26132171
6) 03-26132156
7) 03-26132183
Selamat berusaha untuk telefon. The struggle is real. #tabah#janganputusasa #cukupkankredit
p/s: Aku bukan staff MARA. Tolong suruh MARA ambik aku kerja please. HAHA

Susur Masa Kesultanan Perak

Berikut ialah susur masa untuk memahami hubungan kekeluargaan antara Kesultanan Melaka, Perak, Johor dan Kelantan.

p/s: Semua perkiraan tahun dari 1267-1488 ada ca, atau perkiraan sekitar yang hampir tepat mengikut rekod.

1267:
Paduka Sri Sang Tawal, putera kepada Maharaja Jawaka Raja Sankrata menjadi Maharaja Grahi. Memiliki beberapa anakanda termasuk Raja Singhadhiraja, Raja Bharubasa, Puteri Linang Cahaya, Puteri Chandana dan Puteri Adruja Wijayamala Singha (Paduka Che Siti Wan Kembang I)

1295:
Grahi tewas kepada Siam (Bangsa Thai). Sang Tawal mengasaskan Langkasuka.

1324:
Sri Maharaja Sang Utama Parameswara (Parameswara I), Batara Sri Tribhuwana menjadi Raja Temasek/Singapura lama. Baginda merupakan putera kepada Maharaja Sang Sapurba. Parameswara I memiliki dua putera:
1) Raja Kechil Besar, kemudian menggantikan ayahandanya sebagai Raja Temasek. 
2) Raja Kechil Muda, kemudian menjadi Bendahara

1339:
Raja Bharubhasa menaiki takhta Langkasuka, mengantikan ayahandanya Raja Sang Tawal yang mangkat. Raja Bharubhasa kemudian bergelar Paduka Sri Sultan Mahmud Shah, Raja Langkasuka. Langkasuka menaungi negeri-negeri kecil termasuk negeri Chermin-Jiddah dan Patani.
Sultan Mahmud kemudian mengasaskan pusat pentadbiran di Bukit Panau. Memiliki beberapa orang anakanda termasuklah 
1) Maharaja Kumara Radin Mas Ariya di-Gunung (Radin Mas Pamari, Raja Chermin)
2) Sultan Muhammad Tahir (Raja Patani)
3) Siti Zubaidah (Dewi Nareswari) yang popular dalam Syair Siti Zubaidah dan berkahwin dengan Raja Champa, Sultan Zainal Abidin.



1344:
Paduka Seri Rama Adikerma, anakanda Dharmaraja (Parameswara II) lahir.

1345:
Langkasuka tewas kepada Siam (Bangsa Thai). Dipaksa membayar ufti.

1357:
Tentera Majapahit pimpinan Gadja Mada menewaskan Siam (Bangsa Thai). Langkasuka dinaungi Majapahit.

1362: 
Sultan Mahmud Shah mangkat. Radin Mas Pamari menaiki takhta menjadi Sultan Baki Shah. 
Sultan Baki Shah memiliki beberapa orang anakanda termasuklah;
1) Sultan Sadik Muhammad Shah
2) Raja Kemas Jiwa Sang Aji Jaya Ningrat 
3) Puteri Selindung Bulan, yang menikahi Sayyid Hussain Jamadil Kubra dan dikurniakan dua putera, 
    A) Sayyid Ali Nurul Alam
         a) Wan Hussain menjadi pateh (seakan menteri) di Majapahit.
         b) Sharif Abdullah menjadi Raja Champa
         c) Wan Demali Alimuddin menjadi Pateh Karmawijaya dan kemudian Laksamana di Bentan. 
    B) Sayyid Muhammad Kubungsuan bergelar Udaya Ningrat. 

1366:
Sri Maharaja Sang Utama Parameswara menerima pengesahan daripada Maharaja China sebagai pemerintah Temasek/Singapura lama yang sah dan berdaulat. Berjaya mengurangkan ancaman Siam.

1372:
Parameswara I mangkat. Anakandanya, Raja Kechil Besar menaiki takhta bergelar Paduka Seri Pekerma Wira Diraja. Melantik adindanya, Raja Kechil Muda menjadi Bendahara bergelar Tun Perpatih Permuka Berjajar.

1386:
Pekerma Wira mangkat. Anakandanya menaiki takhta bergelar Paduka Seri Rana Wira Kerma. Wira Kerma mempunyai seorang putera, Dharmaraja (Desia Raja) dan seorang puteri.

1388:
Raja Tengah, cucunda Raja Muda Seri Rama Adikerma lahir. 

1399:
Paduka Seri Rana Wira Kerma mangkat. Anakandanya, Dharmaraja menaiki takhta bergelar Paduka Seri Maharaja Parameswara (Parameswara II). Parameswara II memiliki dua putera, Raja Muda Paduka Seri Rama Adikerma dan Seri Wangsa Di-Raja

1401:
Temasek diserang oleh Majapahit, atas pengkhianatan pembesar negeri bernama Sang Rajuna Tapa yang berdendam atas kematian puterinya yang dihukum bunuh kerana fitnah.
Parameswara II berundur ke tanah besar, dan akhirnya mendirikan Kesultanan Melaka.

1405:
Parameswara II menerima lawatan rombongan wakil Maharaja China.

1411:
Parameswara II dan rombongan diraja mengunjungi Maharaja China di Nanking.

1412: 
Anakanda saudara Parameswara II, Bendahara Sri Amar Di-Raja dihantar membuat kunjungan hormat ke China.

1413:
Bendahara Sri Amar Di-Raja sekali lagi dihantar membuat kunjungan hormat ke China.
Parameswara II mangkat. Digantikan oleh anakandanya, Raja Muda Paduka Seri Rama Adikerma bergelar Paduka Seri Rama Adikerma Raja.

1414:
Paduka Rama Adikerma Raja melakukan kunjungan diraja ke Peking, China.

1416:
Paduka Rama Adikerma Raja memeluk Islam, menjadi Paduka Seri Sultan Iskandar Shah.

1418:
Sultan Baki Shah mangkat. Anakandanya menaiki takhta sebagai Sultan Sadik Muhammad Shah. Memindahkan pusat pemerintahan ke Ninggiri. 

1419:
Paduka Seri Sultan Iskandar Shah membuat kunjungan diraja ke Peking, China selama tiga tahun.

1422: 
Rombongan diraja Sultan Iskandar Shah kembali ke Melaka dari China.

1423:
Sultan Iskandar Shah mangkat. Digantikan oleh cucundanya, Raja Tengah Ibni Raja Besar Muda Ahmad, bergelar Paduka Seri Sultan Muhammad Shah. Sultan Muhammad Shah memiliki beberapa anakanda, termasuklah;
1) Raja Mambang
2) Raja Mahkota
3) Raja Hitam Ibrahim
4) Raja Abu Kasim
5) Raja Fatimah, mengahwini pemerintah Siak, Sultan Ibrahim (Megat Kudu) Ibni Paduka Seri Maharaja Parameswara Siak. 

1424:
Sultan Muhammad Shah membuat kunjungan diraja ke Peking, China bagi memaklumkan kemangkatan ayahandanya.


1429:
Sultan Sadik Muhammad Shah mangkat. Adindanya, Raja Kemas Jiwa Sang Aji Jaya Ningarat menaiki takhta sebagai Sultan Iskandar Shah.

1432:
1) Sultan Iskandar Shah mengisytiharkan kerajaannya sebagai Majapahit II.
2) Sultan Iskandar Shah melantik anakanda saudaranya, Sayyid Nurul Alam menjadi Perdana Menteri Kelantan-Majapahit II bergelar Pateh Aria Gadja Mada. 

November 1433:
Sultan Muhammad Shah, adindanya Radin Bala dan rombongan diraja bertolak ke China.

Mei 1434:
Sultan Muhammad Shah dan rombongan diraja tiba di Peking, China.

1435: 
1) Sultan Muhammad Shah dan rombongan diraja meninggalkan China, kembali ke Melaka.

2) Kelahiran Hang Tuah Bin Hang Mahmud di Bentan

1442:
Kelahiran Raja Abdullah, putera kepada Raja Abu Kasim Ibni Sultan Muhammad Shah.

1443:
Putera bongsu Sultan Muhammad Shah, Raja Hitam Ibrahim lahir.

1444:
Sultan Muhammad Shah mangkat. Baginda digantikan oleh putera bongsunya, Raja Hitam Ibrahim yang baru berusia setahun sebagai Sultan Ibrahim Dewa Shah apabila bonda Sultan Muhammad Shah menolak pemilihan Raja Abu Kasim sebagai pemerintah baru. Pemerintahan Melaka dipangku oleh Raja Rokan yang merupakan nenda dari sebelah ibu kepada Sultan Ibrahim Dewa Shah. 

1445
1) Pemberontakan penyokong Raja Abu Kasim sehingga menyebabkan Sultan Ibrahim Dewa Shah terbunuh, dan digelarkan sebagai Sultan Abu Syahid Ibrahim. Raja Abu Kasim menaiki takhta bergelar Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah Ibni Sultan Muhammad Shah.

2) Dibawah pimpinan Tun Perak Bin Bendahara Seri Wak Raja Tun Perpatih Sendang, tentera Melaka berjaya menyekat serangan Siam.


1450:
Kelahiran Sharif Hidayatullah, putera kepada Sharif Abdullah Bin Sayyid Ali Nurul Alam dan isterinya, Ratu Mas Rara Santang (Sharifa Muda'im). 

1456:
1) Tun Perak Bin Bendahara Seri Wak Raja Tun Perpatih Sendang dilantik menjadi Bendahara Melaka dengan gelaran Bendahara Paduka Raja, menggantikan Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali Bin Bendahara Seri Amar Diraja.

2) Kelahiran Raja Husain Ibni Raja Abdullah Ibni Sultan Muzaffar Shah. 

1459:
Sultan Muzaffar Shah mangkat. Baginda digantikan oleh anakandanya yang berusia 17 tahun, Raja Abdullah sebagai Sultan Mansur Shah.
Sultan Mansur Shah mempunyai beberapa orang isteri, termasuklah;
1) Puteri Wanang Seri Lela Wangsa, dikurniakan beberapa anakanda termasuklah;
    A) Raja Muda Muhammad
    B) Raja Ahmad
2) Li Po
    A) Paduka Mimat
3) Raja Perempuan Besar Raden Galoh Chandra Kirana
    A) Raja Muda Sulaiman 
4) Adinda kepada Bendahara Paduka Raja
    A) Raja di-Baroh
    B) Raja Husain  
5) Tun Sadah Binti Sri Nara Diraja Tun Ali
    A) Raja Maha Dewi, mengahwini Sultan Ibrahim dari Siak.
    B) Raja Chandra

1467:
Siam menakluki Kelantan-Majapahit II. Sultan Iskandar Shah berundur ke Champa dan mangkat. Baginda digantikan oleh anakandanya, Sultan Mansur Shah yang kemudian berjaya merebut kembali kerajaannya.

1470:
1) Tun Besar Bin Bendahara Paduka Raja Tun Perak dibunuh atas arahan Raja Muda Muhammad Ibni Sultan Mansur Shah. Bagi menuntut keadilan secara terhormat tanpa menderhaka kepada sultan, Bendahara Paduka Raja Tun Perak menuntut agar Raja Muda Muhammad dilucutkan hak menjadi waris takhta Melaka. 

2) Raja Muda Muhammad dihantar untuk dirajakan di Pahang. Raja Muda Muhammad menjadi pengasas Kesultanan Pahang bergelar Paduka Seri Sultan Muhammad Shah Ibni Sultan Mansur Shah. Sultan Muhammad Shah menikahi Mengindra Puteri Binti Sultan Mansur Shah, Sultan Kelantan dan dikurniakan beberapa anakanda termasuklah;
   A) Raja Jamil
   B) Raja Muzaffar
   C) Raja Wati

3) Raja Sulaiman Ibni Sultan Mansur Shah dilantik menjadi Raja Muda Melaka.

1471:
Anakanda Sayyid Ali Nurul Alam, iaitu Sharif Abdullah menjadi Raja Champa, bergelar Sultan Maulana Sharif Abu Abdullah Mahmud Umdatuddin (Wan Bo Tri Tri). Pernikahannya dengan Ratu Mas Rara Santang dikurniakan dua putera;
1) Sharif Hidayahtullah (Sunan Gunung Jati), yang menikahi Nyai Kawunganten dan dikurniakan beberapa anakanda termasuklah;
     A) Ratu Wulung Ayu
     B) Maulana Hasanuddin @ Pangeran Sabakingkin
2) Wan Abul Muzaffar Waliullah, memiliki beberapa orang anakanda termasuklah;
     A) Datu Kelantan Nik Jamaluddin, memiliki dua putera;
         a) Raja Loyor
         b) Raja Ekok
     B) Nik Mustafa 

1474:
1) Laksamana Tun Tuah Bin Hang Mahmud dihukum mati oleh Sultan Mansur Shah, namun Bendahara Paduka Raja Tun Perak menyelamatkan Tun Tuah dengan menyuruh Tun Tuah hidup dalam buangan tanpa pengetahuan sultan.

2) Temenggung Hang Jebat membuat amukan dan menawan istana sultan. Raja Muda Sulaiman terbunuh.

3) Raja Husain Ibni Sultan Mansur Shah dilantik menjadi Raja Muda.

1475:
1) Wakil pemerintah Melaka di Terengganu, Tun Telanai Bin Bendahara Paduka Raja Tun Perak dibunuh atas arahan Sultan Muhammad Shah dari Pahang.

2) Sultan Muhammad Shah mangkat. Takhta Pahang diambil alih oleh anakandanya, Raja Jamil bergelar Paduka Seri Sultan Abdul Jamil Shah buat seketika sebelum bertindak melepaskan takhta buat anakandanya, Paduka Seri Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Abdul Jamil.

3) Raja Ahmad Ibni Sultan Mansur Shah, adinda kepada Sultan Muhammad Shah bertindak memangku pemerintahan Pahang, dan akhirnya menguasai takhta sebagai Sultan Pahang yang sah, bergelar Paduka Seri Sultan Ahmad Shah Ibni Sultan Mansur Shah.

1477:
Sultan Mansur Shah mangkat. Raja Muda Husain menaiki takhta bergelar Paduka Seri Sultan Alaudin Riayat Shah dalam usia 21 tahun.

1488:
Sultan Mahmud Shah menaiki takhta Kerajaan Melaka setelah ayahandanya, Sultan Alaudin Riayat Shah Ibni Sultan Mansur Shah mangkat sekitar usia 32 tahun di Pagoh, Johor.

1497:
Sultan Ahmad Shah Ibni Sultan Mansur Shah menyerahkan takhta Pahang kepada cucunda saudaranya, Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Abdul Jamil Shah.

1499: 
Kerajaan Melaka berjaya menakluki Kelantan. Putera-puteri Sultan Mansur Shah (Kelantan) ditawan dan dibawa ke Melaka, termasuk Raja Gombak, Puteri Unang Kening/Kemuning, Puteri Unang Jupa dan Puteri Unang Jobak.

1500:
Perkahwinan antara Sultan Mahmud Shah (Melaka) dan Puteri Unang Kening, Puteri Unang Jupa dan putera Melaka, Puteri Unang Jobak dan Sang Naya Hang Nadim.

1505:
Kelahiran Raja Muzaffar, putera kepada Sultan Mahmud Shah dan isteri ketiga baginda, Puteri Unang Kening. Raja Muzaffar turut mempunyai saudara seibu yang lain;
1) Raja Nara
2) Raja Sri Dewi, menikahi sepupunya Raja Mansur Ibni Sultan Gombak
3) Raja Fatimah, menikahi dua pupunya, Sultan Khoja Ahmad Shah Ibni Raja Abdullah, Sultan Siak
4) (puteri), menikahi Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang 

1510:
1) Sultan Mahmud Shah berkahwin dengan Tun Fatimah Binti Tun Mutahir, janda kepada Tun Ali Bin Tun Mutahir.
2) Sultan Mahmud Shah turun takhta, digantikan oleh Raja Muda Ahmad sebagai Sultan Muda Ahmad.

1511:
Melaka jatuh ke tangan Portugis. Raja Muzaffar baru berusia 6 tahun ikut serta anggota kerabat diraja berundur meninggalkan Melaka.

1513:
1) Sultan Muda Ahmad dibunuh atas arahan Sultan Mahmud Shah, atas pengaruh para pembesar. Dimakamkan di Kopak, Bentan.
2) Pada usia 8 tahun, Raja Muzaffar dilantik menjadi Raja Muda.
2) Kelahiran adinda berlainan ibu, Raja Kechil Besar Raja Alaudin, putera Sultan Mahmud Shah dan Tun Fatimah.
3) Dilucutkan jawatan sebagai Raja Muda dan digantikan oleh Raja Alaudin yang baru berusia 40 hari.

1519:
Sultan Mansur Shah mangkat. Takhta Pahang beralih kepada Raja Muzaffar dan bergelar Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Muhammad Shah. Baginda menikahi sepupunya, Raja Putri Olah dan dikurniakan beberapa orang anakanda termasuklah;
1) Raja Jainad
2) Raja Ismail
3) Raja Puspa Dewi

1520:
Perkahwinan antara Raja Muzaffar yang berusia 15 tahun, dan saudara tirinya Tun Trang Binti Tun Ali, anak Raja Perempuan Tun Fatimah dan suaminya yang terdahulu. Dikurniakan;
1) Raja Ahmad, mengahwini puteri Sultan Zainal Abidin Al-Kahar dari Aceh
    A) Sultan Alauddin Mansur Shah, Sultan Acheh VIII
2) Raja Abdul Jalil
3) Raja Dewi
4) Raja Fatimah
5) Raja Khadijah
6) Raja Tengah

1522:
Raja Gombak, yang merupakan bapa saudara Raja Muzaffar menaiki takhta Kelantan sebagai Sultan Gombak Ibni Sultan Mansur Shah.

1526:
Sultan Gombak mangkat. Digantikan oleh cucundanya, Raja Ahmad sebagai Sultan Ahmad Shah Ibni Raja Mansur, putera Raja Mansur Ibni Sultan Gombak dan isterinya, Raja Sri Dewi Binti Sultan Mahmud Shah, saudara perempuan seibu sebapa dengan Raja Muzaffar Shah.

1528:
1) Raja Muzaffar mengasaskan Kesultanan Perak dalam usia 23 tahun, bergelar Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I Ibni Sultan Mahmud Shah.

2) Sultan Mahmud Shah meninggalkan Kopak, Bentan menuju ke Kampar, Sumatera.

3) Raja Alaudin mengasaskan Kesultanan Johor dalam usia 15 tahun, menjadi sultan pertama dan bergelar Sultan Alaudin Riayat Shah Ibni Sultan Mahmud Shah.

1529:
Sultan Johor, Sultan Alaudin Riayat Shah berkahwin dengan Raja Kesuma Dewi Binti Sultan Mansur Shah, Sultan Pahang. Dikurniakan:
1) Raja Muzaffar @ Radin Bahar
2) Raja Kechil Besar Mahmud, mengahwini Raja Khalijah Binti Sultan Zainal Abidin, puteri Sultan Pahang.
3) Raja Putri Fatimah, mengahwini Sultan Mansur Shah II Ibni Sultan Zainal Abidin, Sultan Pahang. Kemudian berkahwin dengan Raja Umar Bin Raja Ahmad.
4) (puteri), mengahwini Sultan Mansur Shah I Ibni Sultan Muzaffar Shah, Sultan Perak.
1530:
1) Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Alaudin Riayat Shah mangkat di Kampar, Sumatera.

2) Sultan Pahang, Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Muhammad Shah mangkat. Baginda digantikan oleh puteranya, Raja Jainad sebagai Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah.

1542:
Sultan Muzaffar Shah (Pahang) mangkat. Takhta diserahkan kepada adindanya, Raja Ismail yang bergelar Paduka Seri Sultan Zainal Abidin. Baginda mengahwini:
1) Raja Putri Dewi Binti Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka
    A) Raja Mansur
    B) Raja Jamal
    C) Raja Khalijah, mengahwini Raja Kechil Besar Mahmud Ibni Sultan Alauddin Riayat Shah dari                 Johor.
    D) Raja Putri Bongsu
2) Tun Kemala Binti Bendahara Sri Buwana
    A) Raja Kadir

1547:
Sultan Ahmad Shah (Kelantan) mangkat, digantikan oleh anakandanya Raja Mansur sebagai Sultan Mansur Shah. Sultan Mansur Shah merupakan saudara kandung kepada Paduka Che Siti Wan Kembang II.

1549:
Sultan Muzaffar Shah (Perak) mangkat dalam usia 44 tahun di Tanah Abang dan dimakamkan di Teluk Bakong. Digantikan oleh anakanda baginda, Paduka Seri Sultan Mansur Shah I.

1555:
Sultan Zainal Abidin (Pahang) mangkat. Anakandanya Raja Mansur menaiki takhta sebagai Paduka Seri Sultan Mansur Shah II. Mengahwini:
1) Raja Putri Fatimah Binti Sultan Alaudin Riayat Shah, puteri Sultan Johor
    A) Raja Saleh, Nataraja Shah
    B) Putri Kechil Besar Raja Putri Putih, mengahwini Raja Asif Ibni Sultan Khoja Ahmad, putera Sultan Siak.
2) Putri Bakal Binti Raja Ahmad, dari Terengganu.
    A) Raja Jalal
    B) Raja Jalil
    C) Raja Putri Tengah
    D) Raja Putri Dewi  

1560:
Sultan Mansur Shah II (Pahang) mangkat. Dua orang adindanya, menaiki takhta Pahang sebagai pemerintah bersama, iaitu Raja Jamal sebagai Paduka Seri Sultan Abdul Jamal Shah Ibni Sultan Zainal Abidin, dan Raja Kadir sebagai Paduka Seri Sultan Abdul Kadir Alaudin Shah Ibni Sultan Zainal Abdidin.

1561:
Sultan Kelantan yang merupakan cucunda saudara Sultan Muzaffar Shah (Perak), iaitu Sultan Mansur Shah mangkat. Digantikan oleh puteranya, Sultan Ibrahim Shah.

1564:
Sultan Johor, Sultan Alauddin Riayat Shah Ibni Sultan Mahmud Shah mangkat dalam usia 51 tahun di Aceh. Takhta diambil alih oleh puteranya, Raja Muzaffar bergelar Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah II.

1564:
Sultan Johor, Sultan Alaudin Riayat Shah mangkat dalam usia 51 tahun di Aceh.





1565:
Takhta Kesultanan Kelantan beralih dari Sultan Ibrahim Shah Ibni Sultan Mansur Shah kepada Raja Umar Ibni Raja Ahmad dari Terengganu. 

1570:
1) Sultan Muzaffar Shah II (Johor) mangkat. Puteranya menaiki takhta sebagai Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Shah.

2) Raja Umar Ibni Raja Ahmad meninggalkan Kelantan. Takhta Kelantan kembali kepada Sultan Ibrahim Shah.

1571:
1) Raja Umar Ibni Raja Ahmad mengahwini bonda Sultan Abdul Jalil Shah, Sultan Johor.

2) Sultan Abdul Jalil Shah, Sultan Johor telah mangkat.

3) Raja Umar menaiki takhta Johor sebagai Paduka Seri Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II.
  
1577: 
Sultan Mansur Shah I Ibni Sultan Muzaffar Shah mangkat (ghaib). Anakanda baginda menaiki takhta sebagai Sultan Ahmad Tajuddin Shah.

1578:
Nik Mustaffa Bin Wan Abul Muzaffar menaiki takhta Champa sebagai Sultan Abdul Hamid Shah.

1579:
Sultan Ibrahim Shah (Kelantan) mangkat. Baginda digantikan oleh Raja Loyor Bin Nik Jamaluddin, cucunda Raja Champa Sultan Maulana Sharif Abu Abdullah Mahmud Umdatuddin Ibni Sayyid Ali Nurul Alam. Raja Loyor bergelar Sultan Adiluddin. 

1580: 
Cucunda Sultan Muzaffar Shah (Perak), Raja Mansur Ibni Raja Ahmad Ibni Sultan Muzaffar Shah menaiki takhta sebagai Sultan Acheh ke-8, bergelar Sultan Alauddin Mansur Shah. 

1584: 
Sultan Ahmad Tajuddin Shah mangkat. Adinda baginda menaiki takhta sebagai Sultan Tajul Ariffin Shah Ibni Sultan Mansur Shah.

1585: 
Sultan Alauddin Mansur Shah Ibni Raja Ahmad, Sultan Aceh mangkat dibunuh pesaing politik.

1590:
Sultan Abdul Jamal Shah dan Sultan Abdul Kadir Alaudin Shah, pemerintah bersama Pahang mangkat. Kemungkinan dibunuh. Raja Ahmad Ibni Sultan Abdul Kadir Alaudin Shah menaiki takhta bergelar Paduka Seri Sultan Ahmad Shah II.

1592:
Sultan Ahmad Shah II (Pahang) digantikan oleh kekanda sulungnya, Sultan Abdul Ghaffur Muhiuddin Shah Ibni Sultan Abdul Kadir Alaudin Shah. Baginda menikahi:
1) Raja Putri Zohra Binti Sultan Saiful Rijal, dari Brunei.
     A) Raja Muda Abdullah, mengahwini Putri Perak, puteri Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Muzaffar Shah dari Perak.
          a) Raja Putri Fatimah Puteh, mengahwini Sultan Muzaffar Shah III Jalilullah, Sultan Perak.
2) Paduka Seri Sultan Shah Alam Binti Sultan Bahadur Shah, (Raja Ungu/Phra Nang Chao Ying), Raja Perempuan Patani
    A) Paduka Seri Raja Kuning (Phra Nang Chao Ying), Raja Perempuan Patani

1594: 
Sultan Tajul Ariffin Shah mangkat. Cucunda saudara baginda, Raja Ali menaiki takhta sebagai Sultan Alauddin Shah Ibni Raja Kechil Lasa Inu Ibni Sultan Ahmad Tajuddin.

1597:
1) Takhta Kelantan beralih kepada Sultan Muhammad Ibni Sultan Ibrahim.

2) Sultan Johor, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II mangkat. Puteranya, Raja Mansur menaiki takhta sebagai Paduka Seri Sultan Alauddin Riayat Shah III.

1602:
Takhta Kesultanan Kelantan kembali kepada Sultan Adiluddin Ibni Nik Mustaffa. Berakhirnya pemerintahan keturunan secara langsung daripada Paduka Raja Sang Tawal. 

1603: 
Sultan Alauddin Shah Ibni Raja Kechil Lasa Inu mangkat. Digantikan oleh Raja Mukaddam, bergelar Sultan Mukaddam Shah. Baginda ialah cucunda Sultan Mansur Shah I Ibni Sultan Muzaffar Shah dari puteri baginda yang berkahwin dengan kerabat diraja Aceh.

1605:
Sultan Adiluddin mangkat. Takhta Kelantan diambil alih oleh adindanya, Raja Ekok sebagai Sultan Samiruddin.

1613:
Aceh menyerang Johor. Sultan Alauddin Riayat Shah III ditawan dan dibawa ke Aceh.

1614:
1) Sultan Johor, Sultan Alauddin Riayat Shah III kembali memerintah Johor.

2) Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghaffur Muhiuddin Shah mangkat dibunuh oleh anakandanya yang akhirnya menaiki takhta sebagai Paduka Seri Sultan Alauddin Riayat Shah. Turut terbunuh ialah Raja Muda Pahang, Raja Muda Abdullah Ibni Sultan Abdul Ghaffur Muhiuddin Shah.

1615:
1) Aceh menakluki Johor dan Pahang.

2) Sultan Alauddin Riayat Shah III mangkat. Takhta Johor diambil alih oleh adindanya, Raja Abdullah sebagai Paduka Seri Sultan Abdullah Mu'ayat Shah. 

3) Sultan Pahang, Sultan Alauddin Riayat Shah diusir. Aceh melantik Raja Bujang, putera Sultan Alauddin Riayat Shah III, dari Johor sebagai Sultan Pahang bergelar Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Shah III.

1617:
1) Sultan Abdul Jalil Shah III diusir dari Pahang oleh Aceh. Pahang ditabdir oleh Aceh.
2) Mantan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah II ditawan dan dibawa ke Aceh, bersama putera-puteri baginda, Raja Mughal dan Raja Putri Kamarliah. Di Aceh, Raja Mughal dikahwinkan dengan Putri Sri Alam Binti Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Shah, Sultan Aceh. 

1619: 
Sultan Mukaddam Shah mangkat. Adinda bongsu Sultan Alauddin Shah, Raja Mansur menaiki takhta Perak sebagai Sultan Mansur Shah II Ibni Raja Kechil Lasa Inu.

1623:
Sultan Johor, Sultan Abdullah Mu'ayat Shah mangkat. Takhta Johor diserahkan kepada Sultan Abdul Jalil Shah III. Pahang disatukan dibawah pemerintahan Johor. 

1624:
Sultan Abdul Jalil Shah III berkahwin dengan Phra Nang Chao Ying Paduka Seri Raja Kuning Binti Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin Shah, Raja Perempuan Patani. 


1627: 
Sultan Mansur Shah II ditawan ke Aceh. Aceh melantik adinda Sultan Mukaddam Shah, Raja Mahmud sebagai Sultan Perak ke-8 bergelar Sultan Mahmud Shah I.

1630: 
Sultan Mahmud Shah I mangkat. Anakanda baginda, Raja Kobat menaiki takhta bergelar Sultan Salehuddin Shah Ibni Sultan Mahmud Shah.

1632:
Phra Nang Chao Ying Paduka Seri Raja Kuning Binti Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin Shah, Raja Perempuan Patani sekali lagi berkahwin, dengan Yang Dipertuan Muda, anakanda Sultan Alauddin Riayat Shah III yang ketika itu menjadi wakil pemerintah di Terengganu.

1635: 
Sultan Salehuddin Shah mangkat di Aceh. Keturunan langsung dari Kesultanan Melaka dalam Kesultanan Perak berakhir.

1636: 
1) Sultan Aceh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Shah mangkat. Baginda digantikan oleh menantunya, putera diraja dari Pahang iaitu Raja Mughal bergelar Paduka Seri Sultan Iskandar Thani Alauddin Mughayat Shah.

2) Kesultanan Aceh melantik Raja Muzaffar, kerabat diraja Siak yang juga merupakan menantu Raja Kechil Lasa Inu Ibni Sultan Ahmad Tajuddin sebagai Sultan Perak ke-10. Baginda bergelar Sultan Muzaffar Shah II Jalilullah Ibni Raja Mahmud. Pertabalan baginda memulakan Dinasti Siak dalam Kesultanan Perak yang hanya mewarisi darah Kesultanan Melaka melalui waris ibu.

1641:
Sultan Iskandar Thani Alauddin Mughayat Shah mangkat. Takhta Aceh diserahkan kepada permaisuri baginda, Putri Sri Alam bergelar Paduka Seri Sultanah Ratu Safiatuddin Tajul Alam Shah Johan Berdaulat Binti Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Shah. 

1649:
Phra Nang Chao Ying Paduka Seri Raja Kuning Binti Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin Shah, Raja Perempuan Patani mangkat.

1654:
Sultan Muzaffar Shah III Jaliullah mangkat. Puteranya, Raja Mahmud ditabal menjadi sultan bergelar Paduka Seri Sultan Mahmud Iskandar Shah Auliallah. 

1675:
Ratu Safiatuddin Tajul Alam mangkat tanpa waris. Baginda telah menamakan Seri Para Puteri Binti Malik Mahmud Qithul Kahar Shah, keturunan dari Sultan Alauddin Qahar, Sultan Aceh III sebagai pengganti. Seri Para Puteri bergelar Paduka Seri Sultanah Nurul Alam Naqiatuddin Shah.

1677:
Sultan Abdul Jalil Shah III mangkat. Takhta Johor diserahkan kepada anakanda Raja Bajau Ibni Sultan Abdullah Mu'ayat Shah, bergelar Paduka Seri Sultan Ibrahim Shah Ibni Yamtuan Muda Raja Bajau.

1678:
Sultanah Aceh, Sultanah Nurul Alam mangkat. Baginda digantikan oleh puterinya, Puteri Raja Setia yang bergelar Paduka Seri Sultanah Inayat Zakiatuddin Shah.

1688:
Sultanah Aceh, Sultanah Inayat Zakiatuddin Shah mangkat. Takhta Aceh diserahkan kepada Paduka Seri Baginda Sultanah Zainatuddin Kamalat Shah. 

1685:
Sultan Ibrahim Shah mangkat. Takhta Johor diserahkan kepada anakandanya, Paduka Seri Sultan Mahmud Shah II.

1699:
1) Sultan Mahmud Shah II mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama di Kota Tinggi, Johor. Kesultanan Johor dari keturunan Kesultanan Melaka berakhir. Kesultanan Johor dari Dinasti Bendahara bermula dengan pertabalan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV Ibni Dato' Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid. Menandakan bermulanya era pemerintahan Johor dari keturunan campuran Melayu-Arab.

2) Sultanah Aceh, Sultanah Zainatuddin Kamalat Shah diturunkan takhta. Menandakan berakhirnya era pemerintahan empat Sultanah Aceh. Takhta Aceh diserahkan kepada bangsawan keturunan Arab, Sultan Badrul Alam Sharif Hashim Jamaluddin. Menandakan bermulanya era pemerintahan Aceh dari keturunan campuran Melayu-Arab.


Rujukan:
1) http://www.royalark.net/Malaysia/malacca2.htm
2) http://www.royalark.net/Malaysia/kelantan.htm
3) http://www.royalark.net/Malaysia/pahang2.htm
4) http://www.royalark.net/Malaysia/perak.htm
5) http://sejarahbangsamelayuyanghilang.blogspot.my/2011/12/adruja-wijayamala-singa-puteri-wirawati.html