E-mail: KimPutra.94@gmail.com

BERUAS: Peradaban Yang Dimitoskan



Beruas kini merupakan sebuah mukim kecil dalam Daerah Manjung. Berkurun sebelum itu, Beruas merupakan tapak dua buah kerajaan purba yang menjalankan kegiatan perdagangan antarabangsa. Gangga Negara dan Kerajaan Melayu Beruas yang gemilang dengan kapal-kapal dagang berlabuh. Banyak bahtera mudik ke pelabuhan tidak terkira berapa banyaknya. Dari ketinggian istana di atas bukit, terpancarlah kemegahan dan kepesatan dua kerajaan, diatas tapak yang sama tetapi dengan susur masa yang berbeza.

Beruas merupakan tapak awal pensejarahan beradaban Melayu Perak. Bahkan, Beruas merupakan pusat kemasukan Islam dan mewujudkan sejarah Islam dan Melayu di Perak. Dua buah kerajaan purba iaitu Kerajaan Gangga Negara dan Kerajaan Melayu Beruas pernah bertapak dan wujud di Beruas dengan pembuktian artifak-artifak sejarah yang kini dipamerkan di Muzium Beruas. Namun begitu, bukanlah mudah untuk merungkai misteri tarikh serta lokasi kewujudan dan keberadaan kedua-dua kerajaan ini.

GANGGA NEGARA
Menurut  kajian yang dijalankan oleh Tuan Haji Abdul Hamid Zamburi, berdasarkan buku Geographike Huphegesis yang ditulis oleh Ptolemy sekitar 150M ada menyebut tentang sebuah tempat bernama Coconagara yang terletak di Avrea Cheronesvs (Golden Khersonese/Semenanjung Emas; iaitu merujuk kepada Tanah Melayu). Secara fonetiknya, sebutan Coconagara seakan-akan menyamai sebutan Gangga Negara. G. Coedes dalam The Indianized States of Southeast Asia berpendapat bahawa Coconagara itu terletak di tebing Sungai Dinding, sementara Kolonel Low pula mencadangkan ianya terletak di Sungai Dinding dan Beruas. Jika perkara ini tepat, maka ketamadunan Melayu di Beruas telah wujud sekurang-kurang sejak abad kedua tahun Masihi, iaitu merujuk kepada tahun penulisan Ptolemy.

Menurut catatan Hikayat Merong Mahawangsa, Gangga Negara telah diasaskan oleh anakanda Merong Mahawangsa yang bernama Raja Ganjil Sarjuna. Kerajaan ini terletak di kawasan Beruas, sekitar selatan Gunung Bubu, kea rah timur Bukit Segari dan di tepi Sungai Dendang. Kerajaan ini turut merangkumi kawasan Pengkalan (Ipoh), Lembah Kinta, Bidor, Tanjung Rambutan dan Sungai Siput, selain berubah-ubah dipercayai ekoran perubahan aliran sungai.

Gangga Negara merupakan sebuah kerajaan Melayu-Hindu. Gangga Negara dipercayai sempena nama Sungai Ganges di India, manakala negara bererti negeri dalam bahasa Sanskrit. Empayar Gangga Negara musnah ekoran serangan dan penjarahan Raja Rajendra Chola Deva I dari Coromandel, India sekitar 1025-1026. Dipercayai bahawa Raja Gangga Negara, iaitu Raja Gangga Shah Johan terkorban dalam peperangan tersebut.

KERAJAAN MELAYU BERUAS
Gangga Negara digantikan oleh sebuah kerajaan Melayu-Islam yang terkemudiannya, iaitu Kerajaan Beruas. Sebelum Kerajaan Beruas ditubuhkan, kawasan ini dikenali sebagai Belukar Sambang. Nama ini disebabkan kawasan bekas Kerajaan Gangga Negara yang gersang. Seterusnya, kawasan ini dikenali sebagai Beruas, bersempena pokok Beruas yang banyak tumbuh di sekitarnya. Beruas ialah sejenis buah menyerupai manggis.
Buah Beruas

Menurut catatan, Kerajaan Beruas diasaskan oleh Malik Al-Mansur, iaitu seorang putera dari Samudera-Pasai (dalam wilayah Acheh) yang dibuang negeri oleh kekandanya, Sultan Malik Al-Mahmud. Menurut Hikayat Raja-Raja Pasai menceritakan bahawa selepas kemangkatan Sultan Muhammad Az-Zahir sebagai pemerintah Kerajaan Pasai, ayahandanya Sultan Malik Al-Salih (Merah Silu) menyatukan pemerintahan Kerajaan Samudera dan Kerajaan Pasai.

Setelah kedua-dua putera Sultan Muhammad Az-Zahir dewasa, Sultan Malik Al-Salih akhirnya menyerahkan takhta Kerajaan Pasai kepada Sultan Malik Al-Mahmud, manakala taktha Kerajaan Samudera diserahkan kepada Sultan Malik Al-Mansur pada 1336. Pada tahun 1346, Sultan Malik Al-Mahmud dari Kerajaan Pasai telah menyerang dan mengusir Sultan Malik Al-Mansur dari Kerajaan Samudera. Hal ini disebabkan tindakan Sultan Malik Al-Mansur yang mengambil seorang perempuan (berkemungkinan gundik) dari Istana Pasai milik Sultan Malik Al-Mahmud. Sultan Malik Al-Mansur meninggalkan Samudera dan menubuhkan Kerajaan Beruas. Oleh itu, adalah diperkirakan bahawa Kerajaan Beruas ditubuhkan diantara tahun 1346-1347, iaitu sebelum Kesultanan Melaka bermula.

Sultan Malik Al-Mansur turut dibantu oleh dua sahabat baik baginda, iaitu Samsul Baharin dan Daik Ismail sebagai pembesar negeri. Pemerintahan Beruas diteruskan oleh Shamsul Baharin dan Daik Ismail selepas ketiadaan Sultan Malik Al-Mansur. Sehingga kini, masih terdapat sebuah bukit yang bernama Bukit Shamsul Baharin sebagai bukti kewujudan tokoh ini.

Kerajaan Beruas berkembang sebagai sebuah kerajaan perdagangan dengan pelabuhan yang besar dan hasil utamanya adalah bijih timah. Seteru utama Kerajaan Beruas ialah Kerajaan Manjung yang berjiran dengannya. Menurut Sejarah Melayu, seorang Raja Beruas pernah datang menghadap Sultan Mahmud Shah (1488-1511) di Melaka memohon bantuan untuk menyerang Kerajaan Manjung. Sultan Mahmud Shah berkenan membantu dan menyerang Kerajaan Manjung. Kerajaan Manjung akhirnya diperintah oleh Kerajaan Beruas dibawah pengawasan Melaka. Raja Beruas dikurniakan gelaran Tun Aria Bija Diraja. Sebagai balasan terhadap naungan keatas Beruas, Raja Beruas membayar ufti sebanyak enam ribu timah setiap tahun.

Hubungan Kekerabatan Kesultanan Johor Lama, Perak dan Beruas dapat dilihat melalui perkahwinan kerabat diraja Beruas yang terakhir dengan kerabat-kerabat Bendahara Johor Lama dan Kesultanan Perak.

Keluarga Diraja Beruas
(yang dapat dikesan di penghujung keberadaan Kerajaan Beruas)

1) Tun Aria Bija Diraja Beruas, Raja Beruas mempunyai anak:
     1A) Tun Said
    1B) Orang Kaya Tun Rana; mengahwini Tun Minda Binti Sri Nara Wangsa Tun Abdullah Bin  Seri Nara Diraja Tun Ali. Mempunyai seorang anak, Dato’ Singgora.

     1C) Tun Lela Wangsa
     1D) Tun Mah

2) Tun Sebat (Puteri Siat), saudara perempuan Raja Beruas. 
Dikahwinkan dengan Tun Isap Berakah Bin Bendahara Paduka Raja Tun Khoja Ahmad Bin Bendahara Paduka Tuan Tun Pikrama Bin Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Perkahwinan ini dikurniakan tiga orang putera;

2A) Tun Amat (Tun Pikrama Wira)
2B) Tun Mahmud (Seri Akar Diraja), berkahwin dengan Tun Mah Binti Tun Aria Bija Diraja Beruas


2C) Tun Biajid (Bendahara Seri Maharaja Johor), mengahwini Tun Munah Binti Tun Hassan Bin Tun Biajid Rupat Bin  Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan dikurniakan empat puteri:

1) Tun Hidap, mengahwini Bendahara Seri Maharaja Tun Isap Misai Bin Bendahara Tun Nara Wangsa Tun Mahmud Bin Bendahara Seri Nara Diraja Tun Tahir Bin Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali; dikurniakan anak:
  1A) Tun Jahid
     1B) Tun Kechil (Tun Dharmapala Johara), mengahwini Raja Mahmud Bin Raja Asif Bin Sultan Khoja Ahmad (Sultan Siak). Dikurniakan putera; Sultan Mudzaffar Shah II Jalilullah, Sultan Perak kesepuluh.

2) Tun Cateria, mengahwini Seri Akar Diraja Tun Merkah. Dikurniai anak bernama Tun Sadah.

3) Tun Mas Ayu, mengahwini Raja Muhammad Bin Sultan Mudzaffar Shah I Ibni Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak).

4) Tun Mas Jiwa, mengahwini Temenggung Tun Ibrahim dan dikurniai seorang anak, Dato’ Botan.

Penerokaan sejarah Beruas menjadi makin aktif selepas lawatan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah ke Beruas pada awal tahun 1986. Ekspedisi arkeologi di Beruas turut mencuri tumpuan Raja Muda Perak ketika itu, Almarhum Raja Ahmed Sifuddin Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah.
Sehingga kini, telah ditemui pelbagai artifak dan bukti arkeologi di sekitar Beruas. Serpihan tembikar, manik, wang lama, meriam dan pelbagai lagi dipamerkan di Muzium Beruas. Terdapat kesan bangunan di sekitar Bukit Shamsul Baharin seperti dinding batu, selain kawasan persekitarannya yang seakan-akan lembah. Terdapat juga sebuah tasik (sungai mati) bernama Mani Dendang di sebelah Sekolah Kebangsaan Gangga Negara, dan pernah ditemui sauh kapal. Sebuah binaan kapal sepanjang 2.1 meter pernah ditemui di Kampung Ara, selain keberadaan Padang Antah Berantah yang dikatakan menjadi medan pertempuran antara tentera Rajendra Chola dan Gangga Negara, serta Kota Kulit Kerang yang hanya boleh dilihat kesannya sahaja. Di Kampung Kota, masih terdapat makam-makam lama dengan batu nisan Acheh, terutama makam dua orang Raja Beruas.

Seperti aliran sungainya yang telah berubah dan lesu yang ditinggalkan, begitulah keadaan Beruas kini tenggelam dalam kelesuan rajanya. Terkuburlah misteri raja-raja Beruas dan Gangga Negara tanpa dirungkai sepenuhnya.


Makam Raja Beruas

Artifak zaman Gangga Negara




Rujukan:
1) http://hikmahmelayu.blogspot.com/2014_12_01_archive.html
2) http://melayuonline.com/ind/history/dig/63/kesultanan-samudera-pasai
3) http://ahistoryofperak.blogspot.com/2012/03/chapter-ii-coming-of-malays.html
4) http://www.sma2bangkinang.blogspot.com/2008/04/kala-roboh-kota-melaka.html
5) http://www.royalark.net/Malaysia/malacca5.htm

6) http://www.royalark.net/Malaysia/perak2.htm

13 comments:

Mimpi Ngeri Monarki Rusia




Monarki Rusia mencapai zaman kegelapan ketika pemerintahan rajanya yang terakhir, Tsar Nikolai II Alexandrovich Romanov.
Tsar Nikolai II Romanov diisytiharkan sebagai raja pada 1 November 1894 berikutan kemangkatan ayahandanya, Tsar Alexander III. Pertabalannya hanya berlangsung pada 26 Mei 1896.

Tsar Nikolai II mengahwini Tsaritsa Alexandra Feodorovna dan memiliki empat puteri dan seorang putera iaitu;

1) Velikaya Kniaginya Olga Nikolaevna
2) Velikaya Kniaginya Tatiana Nikolaevna
3) Velikaya Kniaginya Maria Nikolaevna
4) Velikaya Kniaginya Anastasia Nikolaevna
5) Tsesarevich Alexei Nikolaevich

Menariknya, Tsar Nikolai II mempunyai seorang sepupu yang mempunyai wajah yang amat mirip, iaitu King George V of United Kingdom. Bonda Tsar Nikolai II, Dowager Queen Maria Feodorovna merupakan adik kepada Dowager Queen Alexandra iaitu bonda King George V. Kedua-duanya merupakan puteri kepada Raja Denmark, King Christian IX.

Kiri: Tsar Nikolai Alexandrovich Romaniv
Kanan: King George V of United Kingdom  

Kegagalan Tsar Nikolai II mengawal ekonomi Rusia menyebabkan baginda tidak disukai oleh rakyat. Kekalahan dalam Peperangan Rusia-Jepun pada 1905 menyebabkan pengaruh Tsar Nikolai II semakin lemah dan kebencian rakyat semakin meningkat. Peperangan ini dilihat sebagai suatu pembaziran yang besar.

Tragedi "Bloody Sunday" pada tahun sama akibat demonstrasi oleh para buruh turut menjejaskan imej Tsar Nikolai II, ditambah tindakan George Gapon yang menghasut rakyat menentang pemerintahan beraja Rusia.

Revolusia 1905 menyebabkan suasana di Rusia semakin tegang sehingga memaksa Tsar Nikolai II menubuhkan dewan perwakilan yang dinamai Duma. Namun, hubungan Tsar Nikolai II dengan anggota Duma tidak baik dan berlaku banyak percanggahan pendapat.

Keputusan Tsar Nikolai II mengheret Rusia menyertai Perang Dunia Pertama merupakan kesilapan besar. Peperangan menyebabkan kos sara hidup meningkat berlipat kali ganda. Rakyat mula memberontak dan mendesak pembubaran monarki Rusia. Revolusi turut disokong oleh tentera sehingga Duma menetapkan bahawa Tsar Nikolai II perlu melepaskan takhta.

Pada 15 Mac 1917, Tsar Nikolai II Alexandrovich Romanov secara rasmi melepaskan takhta kepada adiknya, Tsesarevich Mikhail Alexandrovich (Yang hanya menjadi pemerintah tanpa kuasa).

Pemerintah Bolsheviks melalui Vladimir Lenin dan Yakov Sverdlov telah mengarahkan Yakov Yurovsky untuk membunuh Tsar Nikolai II.

Pada 17 Julai 1918, Tsar Nikolai II Alexandrovich Romanov, Tsaritsa Alexandra Feodorovna dan kesemua putera puteri mereka telah dibunuh dengan kejam dan dikebumikan tanpa jejak.

Pada 1979, rangka Tsar Nikolai II, Tsatritsa Alexandra, Olga, Tatiana dan Anastasia ditemui oleh Alexander Avdonin, seorang ahli arkeologi.
Kelima-lima rangka ini dieskavasi keluar pada Januari 1998 sebelum disemadikan semula dengan istiadat diraja dan mengikut upacara Kristian Ortodoks Rusia pada 17 Julai 1998 di Saint Peter and Paul Carthedral, iaitu 80 tahun selepas kematian mereka. Rangka Tsesarevich Alexie dan kakaknya, Maria ditemui pada 2007 dan disahkan pada 2009.


Pembunuhan Tsar Nikolai II Alexandrovich Romanov dan keluarga memberi duka besar buat bondanya, Dowager Tsaritsa Maria Feodorovna. Selepas pengusiran keluarga diraja, Dowager Tsaritsa Maria Feodorovna berhijrah ke London pada 1919 atas desakan kakaknya, Dowager Queen Alexandra of United Kingdom. Tidak beberapa lama kemudian, Tsaritsa Maria pulang ke negara kelahirannya, Denmark dan tinggal bersama anakanda saudaranya, King Christian X sebelum tinggal berasingan di Copenhagen. Tsaritsa Maria Feodorovna mangkat pada 13 Oktober 1928 sebelum sempat membongkar rahsia pembunuhan puteranya, Tsar Nikolai II Alexandrovich Romanov dan keluarga baginda.

0 comments: