E-mail: KimPutra.94@gmail.com

Khabar Duka Dari Langit


Angin bertiup perlahan menyapa sebatang tubuh yang sedang menunggang unta itu. Lelaki itu baru usai mendirikan solat Asar. Di Padang Arafah itu, pada petang Jumaat yang tenang dalam musim Haji Wida' lelaki itu didatangi sahabatnya, si penghuni langit.
"..Pada hari ini telah Kami sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah kami cukupkan nikmat Kami kepada kamu, dan telah Kami redha Islam itu agama kamu.." (Al-Maidah:3)
Dia berasa kurang jelas. Ditariknya tali untanya, 'Adba. Perlahan-lahan ia turun dan bersandar pada untanya itu.
" Wahai Muhammad, pada hari ini telah disempurnakan urusan agama kamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan Allah dan begitu juga apa yang terlarang oleh-Nya. Kumpulkanlah para sahabatmu, sesungguhnya semakin dekat perpisahan aku denganmu di sini (dunia ini)." 
Muhammad S.A.W terdiam mendengar perkhabaran dari Jibrail A.S itu. Seusai itu, baginda bergegas pulang ke Makkah dan akhirnya menuju ke Madinah. Tiba di Madinah, para sahabat R.A dikumpulkan, dan baginda membacakan wahyu yang diterimanya itu. Mendengar itu, para sahabat berteriak kegembiraan.
" Agama kita telah sempurna! Agama kita telah sempurna!."
Bagaikan halilintar mendengar itu, jantung Abu Bakar R.A bagaikan mahu terhenti. Matanya berair. Cuba ditahan. Ia lantas berpaling dan bergegas pulang ke rumah. Pintu dikunci. Ia mengurung diri dalam kesedihan berlinang air mata. Kelakuannya memeranjatkan para sahabat. Demi itu, sebahagian sahabat berkumpul di hadapan rumahnya.
" Wahai Abu Bakar, apakah yang membuatkanmu berkeadaan sebegini? Seharusnya engkau berasa gembira kerana agama kita telah sempurna."
Abu Bakar diam. Lidahnya agak berat mahu mengkhabarkannya. Sebak menguasai diri.
" Wahai sahabatku sekalian, kamu semua tidak sedar tentang musibah yang melanda kamu. Apabila sesuatu itu telah sempurna, maka akan terlihat pula kekurangannya. Jika Islam telah sempurna, bererti makin hampir tibanya waktu untuk Rasulullah S.A.W meninggalkan kita. Hassan dan Hussin akan menjadi yatim, para isterinya akan menjadi janda."


Mereka tergamam. Bagaikan tidak percaya. Seketika kemudian, seorang demi seorang mula mengalirkan air mata. Tangisan mereka akhirnya menjadi kuat dan sampai kepada pengetahuan Rasulullah S.A.W lantas baginda bergegas menuju rumah Abu Bakar.
" Wahai sahabatku, apakah yang membuatkan kalian menangis?" Tanya baginda. Ali Ibnu Abi Thalib R.A segera menjawab. " Ya Rasulullah, Abu Bakar mengatakan bahawa dengan turunya wahyu ini, maka mendekatlah waktu engkau untuk meninggalkan kami. Apakah benar ya Rasulullah?"
Riak wajah baginda tiba-tiba berubah. Lantas baginda menjawab, ''Ya benar. Apa yang diperkatakan oleh Abu Bakar adalah benar, dan masanya hampir tiba untuk aku meninggalkan kalian untuk selama-lamanya."

Sebaik mendengar pengakuan Rasulullah, lemah longlai lutut Abu Bakar. Ia kembali menangis sehingga akhirnya pengsan. Umar Ibnu Al-Khattab R.A terdiam. Bagaikan berhenti nadinya saat itu. Ia tertunduk tidak percaya. Uthman Ibnu Affan R.A terduduk. Mengalir air matanya mengenangkan apa yang bakal berlaku. Tubuh Ali menjadi kaku, lemah anggota tubuh mendengar kenyataan itu. Air mata bagaikan tidak mahu berhenti. Suasana menjadi hening. Masing-masing terdiam tanpa bicara. Tidak pasti dan enggan percaya pada sebuah pengakuan jujur dari mulut Sang Nabi.

Hari-hari yang dilalui kelam bagaikan cahaya mentari tidak sampai ke permukaan bumi Madinah ketika itu. Tiada senyuman terukir di wajah para penghuni Daulah Islamiah itu. Masing-masing khuatir dan tidak mahu waktu yang dijanjikan itu menjelma.


Suatu hari, usai solat berjemaah di masjidnya, Rasulullah S.A.W meminta agar para sahabat berkumpul.
Dengan langkah yang perlahan tetapi masih tampak ketegasan dan kewibawaannya, baginda melangkah menuju mimbar baginda. Baginda berhenti sejenak. Menatap tiap-tiap wajah yang berada di hadapan matanya. Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Dalam nada tenang tetapi cukup sempurna untuk didengar, baginda mula berucap.
" Segala puji bagi Allah, ya Muslimin. Sesungguhnya aku ini adalah seorang nabi yang diutus untuk menyeru manusia ke jalan yang lurus dengan izin-Nya. Aku ini adalah sebahagian dari kalian, bagaikan saudara kandung yang kasih sayangnya bagaikan kasih seorang ayah. Oleh itu, kalian mempunyai hak untuk menuntut daripadaku, sesiapa yang ingin berbuat demikian silalah bangun dan ke mari membalasi aku sebelum aku dituntut di akhirat nanti."
Baginda mengulangi seruan itu. Masing-masing tertunduk diam. Tiada yang mahu berdiri. Tidak sanggup rasanya hati untuk menuntut apa-apa dari baginda. Seruan diulang sekali lagi. Tiba-tiba, 'Ukasyah Bin Mushan bangkit berdiri. Setiap mata yang ada di situ tertumpu padanya. Masing-masing terkejut.
" Demi ayah dan ibuku ya Rasulullah, andai engkau tidak mengumumkan ini berkali-kali, nescaya aku tidak akan bangkit berdiri dan tidak ingin aku mengatakan hal ini pada hari ini. Sesungguhnya dalam Peperangan Badar, aku berada bersamamu ya Rasulullah. Pada waktu itu, aku mengikutimu dari belakang. Setelah hampir, aku lantas turun dan menghampirimu dengan maksud agar aku dapat mencium pehamu. Tetapi saat itu, engkau mencabut tongkatmu dan memukul untamu untuk berjalan cepat, tetapi engkau juga telah memukulku di bahagian rusukku. Aku mahu tahu wahai Rasulullah, adakah engkau sengaja memukul aku atau engkau sebenarnya mahu memukul unta itu?"
Hadirin terpampang. Terkejut dengan tindakan 'Ukasyah. Wajah baginda masih tenang dan tetap dengan senyuman yang ibarat tidak pernah lekang dari wajahnya itu. " 'Ukasyah, Rasulullah sengaja memukulmu." Ujar baginda. Wajah dialihkan menghadap Bilal Ibnu Rabbah R.A, pembantu setianya itu. " Bilal, pergi ke rumah puteriku Fatimah, dan ambilkan tongkatku ke mari." Bilal patuh. Ia menuju ke rumah Fatimah sambil tangannya berada di atas kepalanya. " Duhai, Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk diqisas."

Setibanya di rumah Sayyidatina Fatimah R.A, beliau memberi salam dan menyatakan tentang perintah Rasulullah. Fatimah bertanya tentang tujuan kegunaan tongkat itu, tetapi Bilal tidak menjawab. Memahami itu, Fatimah menyerahkan tongkat ayahandanya kepada Bilal. Beliau lantas kembali ke masjid dan menyerahkan tongkat tersebut kepada Rasulullah. Baginda mengambilnya dan menyerahkan kepada 'Ukasyah.



Suasana gempar. Masjid Nabawi sedikit riuh. Masing-masing terkejut dengan apa yang bakal berlaku. Abu Bakar dan Umar yang menyaksikan itu segera bangun dan mendekati Rasulullah dan 'Ukasyah. " Wahai 'Ukasyah, usahlah engkau qisas Rasulullah, pukullah kami sebagai gantinya." Abu Bakar dan Umar berusaha menahan 'Ukasyah dan merelakan diri mereka sebagai gantinya. Namun Rasulullah melarang. " Wahai Abu Bakar dan Umar, duduklah. Allah telah menyediakan tempat buat kalian." Ujar baginda. Abu Bakar dan Umar akur. Terpaksa duduk.

 Ali yang sedari tadi mendiamkan diri kini bangun. " Wahai 'Ukasyah, engkau mengetahui bahawa aku sering berada di samping Rasulullah, oleh itu pukullah aku dan jangan qisas Rasulullah." Sekali lagi baginda melarang. " Wahai Ali, duduklah. Allah telah menetapkan tempatmu dan Dia mengetahui isi hatimu." Ali akur. Dipaksa diri untuk duduk.

Tiba-tiba Hassan dan Hussin, kedua-duanya putera Ali bangun ke hadapan. " Wahai 'Ukasyah, bukanlah engkau tidak mengetahui, sesungguhnya kami ini cucu Rasulullah. Qisaslah kami sekiranya kamu ingin mengqisas Rasulullah." Rasulullah memandang cucu-cucunya itu. " Wahai  putera buah hatiku, duduklah kalian." Baginda kembali berpaling menghadap 'Ukasyah. " Wahai 'Ukasyah, pukullah aku sekiranya kamu ingin memukul."

'Ukasyah memandang baginda. Lantas ia bersuara, " Rasulullah memukulku saat itu aku tidak memakai baju." Mendengar itu, Rasulullah segera menanggalkan bajunya. Melihat baginda berbuat demikian, air mata tidak dapat ditahan. Setiap mata yang ada saat itu tidak henti-henti mengalirkan air mata. Sedih membayangkan tubuh yang mulia itu akan dipukul dengan tongkatnya sendiri.

Tiba-tiba 'Ukasyah datang memeluk dan mencium Rasulullah. Sambil menangis ia berkata;
" Aku tebus dirimu dengan jiwaku ya Rasulullah. Siapakah yang sanggup memukulmu ya Rasulullah. Aku melakukan ini semata-mata kerana ingin menyentuh tubuhmu dengan tubuhku, dan aku mengharapkan agar Allah memelihara diriku kerana berkat kemuliaanmu ya Rasulullah."

Baginda tersenyum. Wajah dikalihkan menghadap para hadirin yang terkesima mendengar penjelasan 'Ukasyah. " Wahai Muslimin, sekiranya kalian ingin melihat ahli syurga, pandanglah wajah 'Ukasyah ini." Tersenyum-senyum baginda mengucapkan itu. Para sahabat tersenyum gembira. Masing-masing berdiri dan bersalaman dengan 'Ukasyah.
"Wahai 'Ukasyah, sungguh engkau benar-benar beruntung kerana memperolehi darjat yang tinggi dan mendapatkan teman paling mulia di syurga kelak, engkau memiliki Rasulullah sebagai temanmu di syurga."

0 comments:

Nasab Muhammad S.A.W

Nama : Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Muttalib Bin  Hashim Bin Abdul Manaf Bin Qusai Bin Kilab Bin Murrah Bin Ka'ab Bin Luay Bin Ghalib Bin Fahr Bin Malik Bin An-Nadr Bin Kinanah Bin Khuzaiman Bin Mudrikah Bin Elias Bin Mudar Bin Nizar Bin Ma'ad Bin Adnan Bin Add Bin Humaisi Bin Salaman Bin Aws Bin Buz Bin Qamwal Bin Ubai Bin Awwam Bin Nashid Bin Haza Bin Bildas Bin Yadlaf Bin Tabikh Bin Jahim Bin Nahish Bin Makhi Bin Ayd Bin Abqar Bin Ubayd Bin Ad-Daa Bin Hamdan Bin Sanbir Bin Yath Rabi Bin Yahzin Bin Yalhan Bin Arami Bin Ayd Bin Deshan Bin Aizar Bin Afnad Bin Aiham Bin Muksar Bin Nahith Bin Zarih Bin Sani Bin Wazzi Bin Adwa' Bin Aram Bin Haidir (Kedar) Bin Ismail A.S (Ishmael) Bin Ibrahim A.S (Abraham) Bin Azar

Bapa : Abdullah Bin Abdul Muttalib Bin Hashim Bin Abdul Manaf Bin Qusai
Ibu : Aminah Binti Wahab Bin Abdul Manaf Bin Qusai

Keputeraan: 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 20 April 571M hari Isnin

0 comments: